Pap Smear, Bantu Kesan Kanser Serviks

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Serviks merupakan kawasan pada bahagian wanita, antara faraj dan rahim. Apabila sel-sel di serviks menjadi tidak normal dan cepat berkembang, kanser serviks boleh berlaku – ia boleh mengancam nyawa jika tidak dikesan atau tidak dirawat. Sesetengah jenis virus, yang dikenali sebagai virus human papillomavirus (HPV) adalah penyebab utama hampir kesemua kes kanser serviks. Pemeriksaan Pap Smear boleh membantu untuk mengesan kanser serviks pada peringkat awal.

Artikel ini akan membantu anda untuk mengetahui tentang kanser serviks dan apakah itu ujian Pap Smear.

Apa itu kanser serviks?

Seperti kebanyakan kanser, ia bermula apabila sel-sel di serviks, iaitu bahagian pangkal rahim, mula berkembang di luar kawalan. Sel-sel baru berkembang dengan pantas sehingga menghasilkan tumor di dalam serviks.

Kanser ini adalah antara kanser yang paling popular bagi individu wanita di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, pemeriksaan Pap Smear secara rutin dan berkala boleh membantu mengesan risiko kanser serviks dengan awal. Kanser serviks kebiasaannya boleh sembuh jika dikesan awal. Tambahan pula, terdapat banyak metod untuk mengawal risiko kanser serviks yang membuatkan kes kanser serviks semakin berkurang.

Apakah kebarangkalian kanser serviks?

Ia adalah sangat kerap. Kanser serviks adalah antara salah satu kanser yang paling cenderung untuk dihidapi oleh individu wanita. Ia boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda.

Benarkah kanser serviks berbahaya?

Serviks adalah bahagian sempit pada bahagian bawah rahim atau lebih dikenali sebagai pangkal rahim. Kewujudan kanser ini boleh menjejaskan laluan masuk ke rahim. Perkembangan kanser ini adalah secara perlahan-lahan.

Kanser serviks berlaku apabila sel-sel serviks membiak secara luar biasa dan menyerang tisu-tisu dan organ-organ lain dalam badan. Apabila ia menyerang, kanser ini menjejaskan tisu bahagian dalam pada serviks dan ia berkemungkinan merebak ke bahagian badan lain terutamanya paru-paru, hati, pundi kencing, faraj dan rektum – saluran terakhir pada bahagian usus besar.

Ia cenderung untuk dialami oleh individu wanita berusia antara 30 hingga 45 tahun yang aktif dalam hubungan seksual.

Simptom kanser serviks

Individu yang mempunyai kanser serviks pada tahap awal kebiasaannya tidak mempunyai sebarang simptom. Simptom hanya mula berlaku apabila kanser berkembang dan merebak ke tisu berdekatan. Apabila keadaan ini berlaku, antara beberapa simptom umum yang sering berlaku adalah seperti:

  • Pendarahan faraj tidak normal, seperti pendarahan selepas hubungan seks, pendarahan selepas menopaus, pendarahan dan tompokan darah antara tempoh haid, waktu haid yang lebih lama dan lebih banyak daripada biasa. Pendarahan selepas douching atau selepas ujian pelvik juga boleh berlaku.
  • Pelepasan luar biasa dan tidak normal dari faraj, berbau- mungkin mengandungi darah dan mungkin berlaku antara tempoh atau selepas menopaus.
  • Sakit semasa melakukan hubungan seks.
  • Kesakitan pada pelvik.

Jika kanser sudah merebak ke tisu berdekatan, antara simptom yang mungkin dihadapi adalah:

  • Mengalami masalah kegagalan buah pinggang disebabkan halangan pada saluran kencing atau usus kerana kanser merebak.
  • Kesukaran membuang air kecil, kesakitan semasa kencing atau darah dalam air kencing.
  • Sakit belakang atau membengkak pada kaki.
  • Cirit-birit, kesakitan atau pendarahan dari rektum selepas membuang air besar.
  • Keletihan, kehilangan berat badan dan selera makan, rasa sakit yang umum.
  • Perut membengkak, rasa mual, muntah dan sembelit.

Tanda dan simptom yang disenaraikan di atas juga boleh disebabkan oleh keadaan dan masalah kesihatan selain daripada kanser serviks. Contohnya, ia mungkin diakibatkan oleh jangkitan yang menyebabkan rasa sakit atau pendarahan. Tetapi, jika anda mengalami antara simptom yang disebutkan, langkah terbaik anda dengan berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan yang lebih terperinci. Pengabaian terhadap sebarang simptom boleh menyebabkan kanser berkembang kepada tahap yang lebih berbahaya dan mengurangkan peluang untuk mendapatkan rawatan yang lebih berkesan.

Punca kanser serviks

Kanser berlaku disebabkan bahagian yang tidak terkawal dan pertumbuhan sel-sel tidak normal. Kebanyakan sel dalam badan mempunyai jangka hayat yang ditetapkan, dan apabila ia mati, badan akan menjana sel baru untuk menggantikannya.

Pap Smear, Bantu Kesan Kanser Serviks - kanser serviks

Tetapi, sel-sel tidak normal boleh menimbulkan dua masalah:

  • Ia tidak mati
  • Ia terus berkembang atau berpecah

Dua masalah ini seterusnya mengakibatkan pembentukan sel-sel yang berlebihan, yang akhirnya menyebabkan pembentukan benjolan, atau tumor atau ketumbuhan. Namun, sehingga ke hari ini, saintis dan penyelidik tidak mengetahui mengapa sel-sel tersebut boleh menjadi kanser.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor lain yang mungkin meningkatkan risiko kanser serviks kepada anda, seperti:

  • HPV – merupakan jangkitan penyakit kelamin terdapat lebih 100 jenis HPV yang boleh wujud, dan sekurang-kurangnya 13 daripadanya boleh menyebabkan kanser serviks.
  • Mempunyai ramai pasangan seksual atau terlibat secara aktif dalam melakukan hubungan seksual pada usia muda – penyebaran jenis HPV penyebab kanser selalu berlaku kerana hubungan seksual dengan pasangan yang mempunyai HPV. Individu wanita yang mempunyai banyak pasangan seksual, mempunyai risiko jangkitan HPV yang tinggi. Ini sekali gus meningkatkan risiko perkembangan kanser serviks.
  • Merokok – antara faktor yang meningkatkan risiko kanser serviks, termasuk kanser yang lain.
  • Sistem imunisasi lemah – risiko kanser serviks adalah tinggi kepada individu yang mempunyai HIV atau AIDS, dan individu yang menjalani pembedahan pemindahan organ atau tisu – membawa kepada penggunaan ubatan imunosupresif.
  • Pil kawalan kehamilan – penggunaan beberapa jenis pil kontraseptif untuk tempoh panjang boleh meningkatkan risiko.
  • Penyebaran jangkitan penyakit kelamin lain Chlamydia, gonorrhea dan sifilis meningkatkan risiko kanser serviks.
  • Status sosio-ekonomi – kadar pesakit kanser serviks adalah tinggi di kawasan berpendapatan rendah.

Apa itu Pap Smear?

Pap Smear atau ujian Pap ialah prosedur pemeriksaan dan sejenis ujian saringan yang dijalankan bagi kanser serviks. Seperti ujian saringan yang lain, ia bertujuan mengesan penyakit kanser serviks dengan awal agar rawatan dapat diberikan dengan lebih efektif.

Untuk lebih spesifik, ia mengesan kewujudan sel-sel pramatang atau kanser yang berlaku di serviks – pada bahagian pembukaan uterus. Semasa membuat Pap Smear, doktor akan ‘mengikis’ atau mengambil sedikit sel-sel dari serviks anda dan akan mengujinya untuk pertumbuhan yang tidak normal.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Institut Kanser Negara, kanser serviks adalah antara 10 kanser paling kerap di Malaysia dengan kedudukan ke-7. Dengan mengesannya pada tahap awal, banyak nyawa akan dapat diselamatkan.

Sebab perlu lakukan ujian Pap Smear

Sama ada lelaki mahupun wanita boleh mendapat jangkitan HPV (Human Papillomavirus) melalui hubungan seks. Bagi individu yang aktif secara seksual adalah amat berisiko untuk dijangkiti HPV dan melakukan ujian Pap ini adalah amat penting, sekurang-kurangnya setiap 3 tahun sekali.

Pap Smear tidak boleh digunakan untuk mengesan jangkitan menular seksual lain. Namun, kadang-kadang, ia dapat mengesan pertumbuhan sel yang boleh menyebabkan kanser lain.

Bagaimana Pap Smear dijalankan?

Pap Smear, Bantu Kesan Kanser Serviks - bagaimana pap smear dilakukan

Serviks atau pangkal rahim terletak di antara rahim dan faraj (vagina).

Spekulum dimasukkan ke dalam faraj untuk membuka faraj supaya serviks lebih mudah diakses. Kemudian, sel permukaan serviks akan diambil menggunakan spatula atau berus serviks. Sel tersebut seterusnya dihantar ke makmal untuk pemeriksaan.

Ujian ini tidak mengambil masa yang lama, sekitar 5 minit sahaja dan tidak menyakitkan. Mungkin hanya menyebabkan sedikit ketidakselesaan. Anda haruslah tidak melakukan hubungan seksual 24 jam sebelum ujian. Elakkan juga penggunaan gel spermisid sehari sebelum ujian.

Keputusan ujian selalunya mengambil masa selama beberapa minggu.

Siapakah harus melakukan ujian Pap Smear?

Kebiasaannya individu wanita yang mencapai usia 20 tahun hingga 65 tahun dan pernah menjalankan hubungan seks adalah digalakkan untuk melakukan ujian Pap Smear ini.

Risiko mendapat kanser serviks meningkat jika anda:

  • Menghidap HIV.
  • Sistem imun lemah disebabkan kemoterapi atau pemindahan organ.

Sekiranya anda HIV positif atau mempunyai sistem imunisasi badan yang lemah akibat kemoterapi atau pemindahan organ, doktor boleh memberikan lebih banyak ujian kepada anda kerana terdapat risiko tinggi untuk mendapat jangkitan dan kanser.

Pemeriksaan Pap Smear ini dijalankan setiap 3 tahun sekali. Jika keputusan adalah normal sehingga umur 65 tahun, anda boleh berhenti menjalaninya.

Untuk individu berusia 30 tahun dan telah menjalani ujian ini yang normal 3 kali berturut-turut, boleh mendapatkan pandangan doktor sama ada anda boleh mendapatkan satu ujian untuk setiap 5 tahun jika ujian digabungkan dengan pemeriksaan HPV.

Wanita yang berusia lebih 65 tahun dengan sejarah ujian yang normal, boleh berhenti menjalani ujian ini pada masa hadapan.

Walaupun anda menjalani hubungan monogami, iaitu hubungan seks dengan hanya satu pasangan, anda masih perlu menjalani ujian Pap kerana HPV boleh menjadi tidak aktif untuk satu tempoh masa yang lama dan kemudian menjadi aktif secara tiba-tiba.

Apakah maksud keputusan ujian Pap Smear?

Selepas mengambil ujian, hasil yang diperolehi boleh menjadi normal atau tidak normal (abnormal). Jika keputusan anda adalah normal, anda mungkin tidak perlu melakukan ujian ini selama 3 tahun lagi.

Keputusan normal bermakna tiada sel abnormal yang dikesan. Ia kadangkala disebut sebagai negatif. Keputusan normal bermakna anda hanya perlu menjalani ujian seterusnya selepas 3 tahun.

Bagi keputusan abnormal pula, ia tidak semestinya bermakna anda mempunyai kanser. Ia hanya bermakna terdapat sel abnormal pada serviks anda dan ada kemungkinan kanser. Sel abnormal tersebut mungkin salah satu daripada berikut:

  • Atipikal.
  • Ringan.
  • Sederhana.
  • Displasia teruk.
  • Karsinoma-in-situ.

Bergantung kepada keputusan anda, doktor mungkin akan mencadangkan dan meminta anda untuk ujian dilakukan dengan lebih kerap, atau menjalankan prosedur kolposkopi. Prosedur ini membolehkan doktor melihat serviks anda dengan lebih dekat, atau biopsi mungkin dilakukan. Ia adalah untuk memberikan diagnosis lanjut.

Pap smear adalah tepat dan jitu, malah ujian ini akan mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit kanser serviks sebanyak 80 peratus. Seperti kebanyakan ujian kesihatan yang lain, prosedur ujian ini mungkin mendatangkan ketidakselesaan, bagaimanapun, rasa tidak selesa itu boleh membantu mengesan sebarang perkara tidak normal dalam badan anda.

Individu dewasa, terutama mereka yang berusia lebih 20 tahun dan ke atas perlu mendapatkan ujian ini secara teratur kerana dapat mengesan penyakit tertentu yang memerlukan rawatan segera.

Jika anda mempunyai kebimbangan atau pertanyaan, sila berjumpa doktor anda untuk mendapatkan nasihat perubatan, diagnosis dan pemeriksaan lanjut.

Sila dapatkan ujian Pap Smear

Jika anda seorang wanita, atau mempunyai ahli keluarga dan rakan-rakan yang harus menjalani ujian ini, sila dapatkan pemeriksaan di klinik kesihatan awam secara percuma atau di klinik-klinik swasta.

Anda hanya perlu melabur sedikit masa dan wang untuk mencegah penyakit kanser serviks yang boleh membawa maut jika lambat dirawat. Perubahan yang kecil mampu memberikan kesan yang besar.

Mengapa wanita harus berjumpa pakar Obstetrik dan Ginekologi setiap tahun?

Ramai wanita menganggap lawatan ke Obstetrik dan Ginekologi (OB/GYN) suatu pengalaman yang memalukan dan cuba mengelakkannya sebanyak mungkin. Seperti yang dinyatakan di atas, bahawa ujian Pap Smear adalah disyorkan untuk dilakukan bagi setiap tiga tahun sekali. Walau bagaimanapun, anda masih perlu berjumpa OB/GYN anda sekurang-kurangnya sekali setahun kerana lawatan tahunan ini akan memberikan anda banyak manfaat kesihatan.

Pap Smear, Bantu Kesan Kanser Serviks - ob gyn

Sebab mengapa harus berjumpa OB/GYN?

  • Ia memberikan gambaran semasa tahap kesihatan anda

Lawatan OB/GYN bukan hanya berkisar mengenai organ pembiakan anda. Semasa lawatan biasa OB/GYN, doktor anda akan melakukan ujian fizikal untuk menilai tanda-tanda vital, indeks jisim badan, pemeriksaan kawasan abdomen dan nodus limfa. Anda juga akan menjalani ujian pelvis dan beberapa ujian lain. Jika ada sebarang masalah yang sedang berlaku dengan keadaan kesihatan anda, lawatan OB/GYN akan membantu anda mengesannya.

  • Ia boleh membantu menangani gangguan haid anda

Sekiranya anda mendapati tempoh haid anda menjadi tidak teratur sejak kebelakangan ini, sudah tiba masanya untuk anda melawat OB/GYN. Tempoh haid yang tidak teratur boleh menjadi tanda amaran terhadap masalah kesuburan. Apa sahaja perubahan dalam haid anda hendaklah dimaklumkan kepada OB/GYN supaya mereka dapat memberi rawatan tepat pada masanya.

  • Ia berupaya mengesan penyakit kelamin (STD) pada anda

Wanita yang aktif secara seksual harus diuji untuk penyakit kelamin seperti chlamydia dan gonorrhea setiap tahun. Sekiranya tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan ketidaksuburan. Wanita yang mempunyai pelbagai pasangan harus lebih serius mengenai pemeriksaan berkala kerana mereka menghadapi risiko yang lebih tinggi. Selain ujian STD, lawatan OB/GYN juga mungkin menawarkan ujian untuk masalah pundi kencing, disfungsi seksual, penyakit gastrousus dan tulang.

  • Ia memeriksa kaedah kawalan kelahiran anda

Jika anda menggunakan kaedah kawalan kelahiran melalui ubat preskripsi seperti pil kawalan kelahiran, suntikan, tampalan, IUD dan cincin faraj, anda harus diperiksa oleh OB/GYN anda setiap tahun. Diafragma perlu disesuaikan semula sekurang-kurangnya setiap tiga tahun, selepas bersalin atau berlaku perubahan berat badan. Sekiranya anda memerlukan nasihat tentang kehamilan atau perancangan keluarga, OB/GYN anda adalah pihak yang betul untuk dirujuk.

  • Ia mengajar anda maklumat-maklumat penting

Semasa lawatan tahunan OB/GYN, anda boleh mempelajari banyak petua kesihatan seperti bagaimana memeriksa sendiri payudara, cara mengamalkan seks yang selamat, dan lain-lain. Doktor akan membantu anda memahami cara menjaga tubuh anda. Mereka juga akan menunjukkan kepada anda apa yang normal dan apa yang tidak, supaya anda boleh mengesan masalah dan mendapatkan bantuan perubatan lebih awal.

Tambahan pula, apabila bercakap mengenai isu kesihatan anda, anda haruslah menjadi orang yang pertama mengambil inisiatif. Ambil perhatian terhadap apa yang sedang berlaku kepada badan anda dan laporkan sebarang dapatan di lawatan OB/GYN yang berikutnya. Antara simptom yang boleh dilaporkan termasuklah pendarahan yang tidak normal, jangkitan vagina yang berulang, hubungan kelamin yang menyakitkan, dan sakit payudara.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut