backup og meta

Positif HPV Bukan Penamat Kehidupan Seks! Ini 5 Cara Bersama Tanpa Menjangkiti Pasangan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 13/03/2024

    Positif HPV Bukan Penamat Kehidupan Seks! Ini 5 Cara Bersama Tanpa Menjangkiti Pasangan

    Lebih separuh daripada golongan lelaki dan wanita yang aktif secara seksual dijangkiti virus STD human papillomavirus (HPV) pada suatu jangka masa dalam hidup mereka.

    Sekiranya anda dijangkiti virus STD ini, disebabkan gejala atau ujian positif, kalian masih boleh bersama dengan selamat dan mengurangkan risiko menjangkiti pasangan!

    Pun begitu, masalah timbul apabila kebanyakan penghidap tidak sedar bahawa mereka memilikinya, kerana tidak bergejala, menurut Dr. Vanessa Cullins, Pakar Obstetrik-Ginekologi dan Naib Presiden Urusan Perubatan di Planned Parenthood Federation of America.

    Untuk pengetahuan pembaca, majoriti penderita HPV tidak mempunyai simptom atau jatuh sakit, yang bakal menyukarkan mereka untuk kesan kehadiran virus STD ini.

    HPV & jangkitan virus STD

    HPV merupakan antara virus STD yang paling kerap menyerang mereka yang aktif secara seksual.

    Jangkitan ini juga biasanya tidak berbahaya dan dapat hilang sendiri, namun beberapa jenis HPV boleh menyebabkan kanser atau ketuat kelamin!

    Terdapat lebih daripada 200 jenis papillomavirus manusia.

    Kira-kira 40 jenis daripadanya boleh menjangkiti kawasan kemaluan; vulva, faraj, serviks, rektum, dubur, zakar, dan skrotum.

    Tidak terkecuali juga, mulut dan tekak anda! Jenis-jenis HPV ini tersebar melalui aktiviti hubungan seksual.

    Malang sekali, tidak ada penawar untuk virus STD ini. Tetapi, terdapat banyak cara yang boleh dibuat bagi memastikan ia tidak memberi impak negatif pada kesihatan.

    Antaranya, wujud vaksin yang terbukti mampu melindungi anda daripada mendapat jenis HPV tertentu. Ketuat kemaluan pula boleh dikeluarkan oleh doktor.

    Bagi jenis HPV berisiko tinggi, ia biasanya dapat dirawat dengan mudah sebelum bertukar menjadi barah. Di sinilah ujian Pap/HPV secara berkala memainkan peranan!

    Positif HPV: 5 cara bersama tanpa jangkiti pasangan

    Jika anda secara sedar atau sebaliknya, dijangkiti HPV, langkah-langkah pencegahan harus sentiasa diamalkan untuk melindungi diri dan pasangan seksual!

    #1 Sentiasa gunakan kondom!

    virus STD

    HPV seperti diketahui, tular melalui kontak langsung, jadi kalian wajib menggunakan kondom setiap kali bersama, lebih-lebih lagi jika anda positif HPV.

    Penggunaan kondom secara konsisten akan dapat mengurangkan risiko penularan HPV, tetapi bukan mencegahnya secara total.

    Jangkitan virus STD ini boleh berlaku di kawasan kulit yang tidak dilindungi oleh kondom.

    Selain itu, kalian perlu menggunakan kondom atau dental dams untuk seks faraj, oral, atau dubur, dan jangan sekali-kali menggunakan semula kondom yang pernah dipakai.

    #2 Dapatkan vaksin dan galakkan pasangan untuk divaksinasi

    Centers for Disease Control and Prevention (CDC) mengesyorkan agar semua kanak-kanak lelaki dan perempuan diberikan vaksin HPV sekitar usia 11 atau 12 tahun.

    Sekiranya anda tidak mendapat vaksin semasa usia remaja, mungkin masih belum terlambat.

    Vaksin ini diberikan secara percuma kepada pelajar perempuan yang berusia 13 tahun oleh kementerian kesihatan Malaysia. Bagi mereka yang ingin mendapatkan vaksinasi ini terutamanya wanita, anda boleh datang ke fasiliti kerajaan atau swasta untuk mendapatkan maklumat tentang vaksinansi ini dan cara mendapatkan suntikan.

    #3 Belajar untuk kenal pasti gejala

    Tiada salahnya untuk persiapkan diri terhadap sebarang risiko masa hadapan dengan belajar dan memahami simptom-simptom jangkitan berkaitan HPV, kan?

    Virus STD seperti HPV berpotensi menyebabkan ketuat kemaluan, yang biasanya muncul sebagai benjolan kecil, rata atau berkelompok di kawasan alat sulit.

    Sekiranya tanda-tanda ini diabaikan dan tidak dirawat, ketuat kelamin ini berisiko menumbuh lebih besar!

    Tambahan itu, jika anda atau pasangan sedang menjalani rawatan berkaitan jangkitan HPV, kalian harus berhenti melakukan hubungan seks sehingga rawatan selesai.

    #4 Lakukan pemeriksaan perubatan & pergigian berkala

    U.S. Preventive Services Task Force (USPSTF) mengesyorkan agar para wanita mula menjalani pemeriksaan kanser pangkal rahim di usia 21 tahun.

    Dalam lingkungan usia 21 dan 29 tahun, menurut USPSTF, wanita harus menjalani ujian Pap setiap 3 tahun untuk mengesan sebarang tanda-tanda awal kanser.

    Bagi wanita berumur 30 hingga 65 tahun pula, USPSTF mengesyorkan pemeriksaan ujian Pap sahaja setiap 3 tahun, atau menggabungkannya dengan ujian HPV setiap 5 tahun.

    Hampir kesemua kes kanser serviks berpunca daripada jangkitan HPV, dan biasanya dapat disembuhkan jika dikesan pada peringkat awal.

    #5 Jaga kebersihan bahagian intim

    virus STD

    Selepas melakukan hubungan seks, pastikan untuk membuang air kecil bagi membasmi kuman dari uretra anda.

    Cuci juga alat kelamin dan kawasan sekitarnya dengan sabun bebas kimia bersama air.

    Bilasan ini semestinya dapat bantu membersihkan sebarang bakteria atau virus yang berisiko menjangkiti anda!

    Akhir kata…

    Ingat, sentiasa amalkan langkah-langkah penjagaan seperti penulis kongsikan di atas, untuk melindungi diri dan pasangan seksual anda.

    Bagi yang sudah pun positif HPV, usah bersedih! Ini tidak menjadi noktah penamat buat kehidupan seks kalian…

    Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan atau persoalan, dapatkan khidmat nasihat daripada doktor di klinik atau hospital berhampiran ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 13/03/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan