Kanser Serviks Sejenis Penyakit Senyap Tapi BERBAHAYA, Ia Boleh Dicegah Mengikut Cara Ini

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 11/11/2020 . 5 minit bacaan
Share now

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Serviks, sila dapatkannya di sini.

Kanser serviks merupakan kanser yang senyap tetapi berbahaya. Walaupun kanser ini tidak diketahui puncanya, ada beberapa cara yang pesakit boleh lakukan untuk mencegah kanser serviks. Kebanyakan perubahan ini mungkin perlu dilakukan dari segi gaya hidup. 

Setiap tahun, lebih daripada 1000 orang wanita di Amerika Syarikat didiagnos dengan kanser serviks. Malah, ada di antara wanita ini yang tidak dapat dirawat kerana telah menghidap kanser pada tahap yang terakhir ketika didiagnos.

Di Malaysia, dianggarkan 18 daripada 100,000 wanita menghidap kanser serviks. Hampir 7.9% daripada kes kanser di hospital adalah disebabkan oleh kanser serviks. 

Selain itu, kematian untuk kanser serviks di Malaysia mencatatkan peratusan sebanyak hampir 10.5%, yang bermakna 1 daripada 10 pesakit kanser di Malaysia meninggal dunia akibat kanser serviks.

Kanser serviks selalunya disebabkan oleh jangkitan human papillomavirus (HPV). Jangkitan HPV merupakan penyakit kelamin yang lazim berlaku – hampir 97% wanita yang mempunyai kanser serviks dikesan mengalami jangkitan HPV.

Di Malaysia, kanser serviks merupakan kanser ketiga yang kerap menyerang kaum Hawa selepas kanser payudara dan kanser kolorektal.

Kanser serviks boleh dielakkan dengan cara melakukan beberapa perubahan dari segi gaya hidup dan melakukan pemeriksaan atau ujian saringan secara berkala.

Perubahan gaya hidup

Jika anda ingin mengurangkan risiko kanser serviks, anda boleh lakukan beberapa perubahan dari segi gaya hidup seperti:

1. Guna kondom ketika melakukan hubungan seks

Penggunaan kondom ketika seks akan memberikan anda sedikit perlindungan daripada virus HPV semasa melakukan hubungan badan. 

Namun, HPV tidak dapat dielakkan sepenuhnya dengan penggunaan kondom kerana virus ini boleh menjangkiti satu sama lain melalui sentuhan kulit ke kulit. Oleh itu, virus ini boleh merebak melalui satu individu ke individu yang lain tanpa sebarang hubungan seksual.

Walau bagaimanapun, penggunaan kondom masih lagi relevan kerana ia masih memberikan perlindungan kepada anda walaupun sedikit. Dalam masa yang sama, kondom juga dapat menghalang jangkitan penyakit kelamin.

2. Elakkan mempunyai pasangan seksual lebih daripada seorang

Melakukan hubungan seksual bersama dua atau lebih pasangan seksual boleh meningkatkan risiko anda untuk dijangkiti HPV.

Jangkitan HPV merupakan salah satu faktor yang dikenal pasti dapat menyebabkan kanser serviks dalam kalangan wanita. 

Wanita yang melakukan seks dengan ramai lelaki mempunyai potensi yang lebih tinggi untuk terkena jangkitan ini berbanding wanita yang setia dengan satu pasangan.

Walau bagaimanapun, wanita yang mempunyai satu pasangan juga boleh terkena jangkitan jika pasangannya itu telah dijangkiti virus HPV. 

Namun, jangkitan HPV ini merupakan sesuatu yang amat lazim berlaku. Jadi, sukar untuk anda tidak terdedah dengan virus ini. 

Kebanyakan wanita tidak menyedari mereka telah dijangkiti virus HPV. Oleh itu, ujian saringan amat penting sebagai salah satu langkah pencegahan awal.

3. Berhenti merokok

Racun dalam asap rokok boleh melemahkan sistem imun badan. Oleh itu, apabila anda diserang penyakit, sukar untuk badan anda bertindak menghalang jangkitan tersebut daripada terus merebak.

Salah satu cara yang berkesan untuk mencegah kanser serviks ialah dengan berhenti merokok.

Amalan merokok bukan sahaja meningkatkan risiko anda untuk menghidap kanser serviks, malah ia juga boleh menyebabkan anda terkena kanser lain seperti kanser paru-paru, kanser esofagus, kanser mulut dan tekak dan juga kanser pankreas.

Individu yang berhenti merokok sebelum umur 40 tahun akan mengalami penurunan risiko untuk meninggal disebabkan penyakit yang berkaitan dengan rokok sebanyak 90%.  

Vaksinasi HPV

Anda boleh mendapatkan vaksinasi untuk HPV di klinik LPPKN yang terdekat. Vaksin ini memberikan perlindungan terhadap jangkitan HPV yang boleh menyebabkan kanser serviks.

Walau bagaimanapun, vaksinasi ini hanya berfungsi untuk menghalang jangkitan dalam kalangan wanita yang tidak pernah dijangkiti virus HPV sahaja. Tapi, vaksin ini tidak akan merawat jangkitan yang sedia ada. 

Oleh itu, vaksin ini paling efektif diberikan ketika wanita yang masih belum melakukan sebarang aktiviti seksual.

Menurut American Cancer Society, vaksinasi amat digalakkan kepada:

  • Kanak-kanak berumur 9 hingga 12 tahun
  • Kanak-kanak dan orang dewasa yang berumur 13 hingga 26 tahun yang belum mengambil sebarang vaksinasi.
  • Individu yang berusia lebih daripada 26 tahun tidak digalakkan untuk mengambil vaksinasi HPV.

Walaupun vaksinasi dapat menurunkan risiko anda menghidap kanser serviks, ia tidak dapat menghalang penyakit ini daripada berlaku secara sepenuhnya. Penting untuk anda melakukan ujian saringan secara rutin bagi mengesan kanser yang mungkin berlaku kepada anda.

Ujian saringan dan pemeriksaan

Ujian saringan kanser serviks merupakan langkah yang terbaik untuk mengesan sebarang pertumbuhan yang tidak normal pada sel serviks. 

Dua ujian saringan yang dapat membantu anda mengesan kanser serviks ialah:

1. Ujian Pap Smear

Ujian Pap Smear merupakan satu prosedur yang digunakan untuk mengesan kanser serviks dalam kalangan wanita. Doktor akan mengambil sampel sel pada kawasan serviks yang terletak pada hujung uterus.

Ujian ini dapat membantu anda mengesan sebarang perubahan yang abnormal pada kawasan serviks. Wanita yang pernah melakukan hubungan seks dan berumur antara 20 hingga 65 tahun perlu menjalani ujian pap smear setiap tiga tahun sekali.

Wanita yang berumur lebih daripada 30 tahun boleh mengambil ujian pap yang digabungkan bersama ujian HPV. Namun, ujian HPV juga boleh dilakukan secara berasingan.

Wanita yang mempunyai faktor risiko tertentu digalakkan untuk melakukan ujian pap smear dengan lebih kerap. Faktor risiko ini termasuklah:

  1.   Wanita yang mendapat keputusan positif semasa melakukan ujian pap smear
  2.   Wanita yang pernah terdedah dengan hormon diethylstilbestrol sebelum mengandung.
  3.   Pernah dijangkiti HIV
  4.   Mempunyai sistem imun yang lemah disebabkan rawatan kemoterapi atau pemindahan organ.
  5.   Pernah merokok

Jika anda ingin mendapatkan ujian pap, anda boleh melawat klinik yang berdekatan untuk sesi konsultasi yang lebih lanjut bersama doktor. 

Doktor boleh menerangkan dengan lebih terperinci mengenai kebaikan dan juga risiko ujian pap untuk anda.

2. Ujian HPV

Ujian HPV ialah salah satu bentuk ujian saringan untuk kanser serviks. Walau bagaimanapun, ujian ini bukan bertujuan untuk mengesan kanser, tetapi untuk mengesan sama ada anda telah dijangkiti virus HPV atau tidak. Ia juga bukan salah satu cara untuk mencegah kanser serviks. 

Doktor mungkin akan mencadangkan ujian HPV kepada anda jika:

  1.   Keputusan ujian pap anda adalah tidak normal
  2.   Anda berumur 30 tahun atau lebih

Disebabkan jangkitan HPV amat lazim berlaku dalam kalangan orang muda, maka ujian HPV tidak perlu dilakukan dengan kerap kerana keputusan ujian selalunya positif.

Walau bagaimanapun, jangkitan HPV akan beransur pulih dengan sendirinya dalam masa setahun dua.

Perubahan yang menyebabkan kanser serviks tidak berlaku dalam sekelip mata. Selalunya, kanser serviks memakan masa hampir 10 tahun sebelum ia menunjukkan sebarang simptom.

Ujian HPV boleh mempunyai keputusan positif ataupun negatif.

Keputusan positif bermaksud anda telah dijangkiti virus HPV yang berisiko tinggi dan boleh menyebabkan kanser serviks.

Walau bagaimanapun, keputusan yang positif bukan bermaksud anda menghidap kanser serviks, namun ia merupakan satu tanda amaran yang bermaksud anda mempunyai risiko yang tinggi.

Doktor mungkin mencadangkan agar anda melakukan ujian dalam masa setahun akan datang untuk melihat sama ada jangkitan tersebut telah sembuh atau sebaliknya. 

Keputusan negatif pula menunjukkan bahawa anda tidak dijangkiti apa-apa jenis HPV yang boleh menyebabkan anda menghidap kanser serviks.

Penggunaan alat pencegah kehamilan

Wanita yang menggunakan alat pencegah kehamilan seperti IUD (intrauterine device) didapati lebih jarang menghidap kanser serviks.

Menurut kajian, wanita yang pernah menggunakan IUD dalam jangka masa yang kurang daripada setahun mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menghidap kanser serviks. Malah, kesan ini berkekalan walaupun wanita membuang IUD tersebut. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan