Adakah Kanak-kanak Sekolah Rendah di Malaysia Alami Anemia & Kurang Zat Besi?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kita sering mendengar anemia dan kekurangan zat besi berlaku kepada golongan wanita dan ibu hamil. Namun, sebenarnya masalah ini turut melanda kanak-kanak. Lebih mengejutkan lagi, kelaziman anemia dan kekurangan zat besi berlaku dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah di Malaysia.

Terbaharu, Kaji Selidik Nutrisi Asia Tenggara (SEANUTS) menunjukkan kanak-kanak sekolah rendah di Malaysia mengalami kelaziman anemia dan kekurangan zat besi. Dapatan kajian pada tahun 2018 yang dilakukan ke atas 544 orang kanak-kanak di negara ini, mendapati bahawa sebanyak 4% mengalami kelaziman anemia manakala 5% pula mengalami kekurangan zat besi. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya, penemuan ini adalah rendah.

Dalam kajian tersebut, kanak-kanak yang berusia antara 7 dan 12 tahun ini diambil sampel darah mereka untuk dilakukan analisis hemoglobin dan serum ferritin, serta ujian C-reactive protein (CRP) dan α-1-acid glycoprotein (AGP)  untuk mengesan keradangan.

Dapatan kajian

Kajian yang dijalankan adalah berkaitan dengan kelaziman anemia dan kekurangan zat besi, dan hubungannya dengan ciri-ciri sosio-demografi, status pemakanan dan status keradangan dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah di negara ini.

Kelaziman anemia adalah dikaitkan dengan etnik. Kajian menunjukkan lebih ramai kanak-kanak bumiputera (hampir 10%) mengalami anemia berbanding kanak-kanak Cina (0.6%). Juga, majoriti kanak-kanak yang mengalami anemia adalah berasal daripada kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Selain itu, kajian juga mendapati kanak-kanak yang terlebih berat badan atau obes adalah lebih cenderung untuk mendapat keradangan berbanding dengan kanak-kanak yang kurus/ normal. Kanak-kanak yang terlebih berat badan atau obes didapati mengalami protein fasa akut (APP) yang tinggi berbanding dengan kanak-kanak yang kurus/ normal. Kanak-kanak dengan penanda radang tinggi mempunyai tahap ferritin jauh lebih tinggi daripada kanak-kanak yang tidak mengalami keradangan.

Kajian terbaharu ini mendapati bahawa kelaziman anemia adalah lebih rendah berbanding yang dilaporkan sebelum ini pada analisis awal SEANUTS (yang mengatakan kelaziman anemia adalah 6.6%) dalam kalangan kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun di negara ini. Malahan, keseluruhan kelaziman anemia dan kekurangan zat besi dalam kajian terbaharu ini juga menunjukkan peratusan lebih rendah berbanding dengan kajian yang dilakukan dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah di negara-negara lain Asia Tenggara.

Kelaziman anemia adalah tinggi iaitu hampir 10% dalam kalangan kanak-kanak bumiputera dari Sabah dan Sarawak, begitu juga dengan kanak-kanak Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Dalam kajian ini juga, kelaziman anemia dan kekurangan zat besi adalah tinggi dalam kalangan kanak-kanak dari keluarga yang berpendapatan rendah dan mereka yang kurus/ berat badan normal, walaupun keputusannya tidak signifikan secara statistik. Kekurangan zat besi juga dikaitkan dengan kawasan luar bandar dan pendapatan isi rumah yang rendah.

Anemia di seluruh dunia

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kira-kira 600 juta kanak-kanak prasekolah dan di usia persekolahan di seluruh dunia mengalami anemia, dan hampir 65% daripadanya adalah kanak-kanak prasekolah di Asia Tenggara. Pelbagai kajian yang dilakukan berkaitan anemia dalam kalangan kanak-kanak mendapati bahawa masalah ini boleh menyebabkan kerosakan prestasi kognitif, masalah tingkah laku, dan juga mengganggu sistem reproduktif dalam kalangan remaja perempuan.

Kekurangan zat besi pula dikenal pasti menjadi faktor penyumbang kepada anemia. Menurut WHO, anemia turut dimasukkan sebagai masalah kesihatan awam yang perlu ditangani dengan segera memandangkan 43%, iaitu hampir separuh kanak-kanak berusia bawah 5 tahun di seluruh dunia menghidapi masalah ini.

Kajian terdahulu yang dilakukan pada tahun 2015 untuk kanak-kanak berusia 15 tahun dan ke atas mendapati bahawa keseluruhan kelaziman anemia adalah kira-kira 24%. Sementara, kajian SEANUTS melaporkan bahawa kekerapan anemia adalah 6.6% dan kekurangan zat besi, 4.4%. Walau bagaimanapun, sesetengah kajian pada beberapa lokasi di Malaysia mendapati bahawa kelaziman anemia dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia adalah antara 26% dan 48%, sementara separuh daripadanya, iaitu sekitar 55% hingga 70% dilaporkan mengalami kekurangan zat besi.

Walaupun hasil keseluruhan kelaziman anemia yang dilaporkan dalam kajian ini tidak tinggi, namun WHO mengenal pasti anemia sebagai masalah kesihatan awam sederhana di Malaysia. Pun begitu, ibu bapa disarankan untuk mengambil berat akan pengambilan pemakanan anak-anak seperti menyediakan makanan yang kaya-zat besi, jangan berikan anak minum susu berlebihan (tidak boleh lebih daripada 710 ml susu sehari), dan menggalakkan penyerapan zat besi dengan pengambilan makanan yang mempunyai vitamin C.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Februari 28, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 29, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut