home

Artikel Tajaan

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Apa Itu Zat Besi? Ambil Tahu Manfaatnya Dan Langkah Berjaga-jaga Yang Perlu Anda Waspada

Apa itu zat besi? |Tanda dan gejala kekurangan zat besi |Pengambilan makanan tambahan bagi mencegah penyakit kekurangan zat besi|Langkah berjaga-jaga pengambilan suplemen untuk atasi penyakit kekurangan zat besi|Kesan sampingan pengambilan suplemen cegah penyakit kekurangan zat besi

DITAJA OLEH:

Apa Itu Zat Besi? Ambil Tahu Manfaatnya Dan Langkah Berjaga-jaga Yang Perlu Anda Waspada

Tahukah anda kesan kekurangan zat besi dalam badan? Seperti mineral lain, tubuh memerlukan zat besi secukupnya atau anda boleh mengalami keadaan anemia yang dikenali sebagai penyakit kekurangan zat besi.

Ayuh semak artikel ini bagi mengetahui bagaimana anda boleh mengenal pasti tanda jika tubuh kekurangan zat besi serta langkah berjaga-jaga bagi menghindari keadaan tersebut

Apa itu zat besi? 

Zat besi adalah mineral yang diperlukan oleh tubuh badan untuk melakukan pelbagai fungsi. Misalnya ia adalah sebahagian daripada hemoglobin iaitu protein yang membawa oksigen daripada paru-paru ke seluruh badan1.

Badan kita memerlukan jumlah zat besi yang betul. Jika kekurangan, anda mungkin akan mengalami penyakit kekurangan zat besi.

Keadaan ini boleh berlaku disebabkan kehilangan darah, diet pemakanan tidak seimbang atau ketidakupayaan tubuh untuk menyerap zat besi secukupnya daripada makanan1.

Kanak-kanak, wanita mengandung dan wanita mengalami haid antara yang berisiko tinggi mengalami anemia kekurangan zat besi ini.

Kanak-kanak, wanita mengandung dan wanita mengalami haid antara golongan yang berisiko tinggi mengalami anemia kekurangan zat besi ini.

Kandungan zat besi yang terlalu banyak juga boleh merosakkan tubuh, di mana jika berlebihan boleh mengakibatkan anda mengalami keracunan zat besi.

Terdapat juga individu yang mewarisi penyakit hemochromatosis. Keadaan yang menyebabkan tubuh mengalami pengumpulan zat besi yang terlalu banyak1.

Memahami fungsi zat besi

Mineral ini diperlukan tubuh untuk proses pertumbuhan dan perkembangan.

Seperti yang kita tahu, badan memerlukan zat besi untuk menghasilkan hemoglobin iaitu protein dalam sel darah merah untuk membawa oksigen.

Sementara itu, myoglobin juga merupakan sejenis protein yang membekalkan oksigen kepada otot2.

Zat besi juga mempunyai peranan penting yang lain dalam badan iaitu merupakan sebahagian daripada protein dan enzim lain. Malah, tubuh juga memerlukan mineral ini untuk menghasilkan beberapa hormon.

Tetapi bagaimana untuk mengetahui sama ada gejala yang dialami adalah kesan kekurangan zat besi dalam badan atau tidak?

Tanda dan gejala kekurangan zat besi 

Tanpa zat besi yang mencukupi, tubuh tidak dapat menghasilkan protein yang secukupnya dalam sel darah merah untuk membolehkannya membawa oksigen.

Kesannya, keadaan ini boleh mengakibatkan anda berasa cepat letih dan mudah sesak nafas. Antara simptom lain yang mungkin terjadi seperti3:

  • Merasa cepat letih lebih dari biasa
  • Merasa mudah marah
  • Pening kepala
  • Sukar menumpukan perhatian
  • Sukar berfikir dengan baik

Apabila penyakit kekurangan zat besi semakin teruk, lebih banyak gejala akan mula timbul, termasuklah3:

  • Mata putih kelihatan kebiruan
  • Kuku menjadi rapuh dan senang patah
  • Keinginan untuk makan ais atau yang “bukan makanan” (pika) seperti plastik
  • Berasa pening kepala apabila berdiri dari posisi duduk
  • Kulit menjadi pucat
  • Sesak nafas
  • Lidah berasa pedih
  • Degupan jantung menjadi laju

Pengambilan makanan tambahan bagi mencegah penyakit kekurangan zat besi

Bagi individu dengan masalah kesihatan kesan kekurangan zat besi, pengambilan makanan tambahan zat besi amat digalakkan. Selain daripada mengamalkan makanan tinggi kandungan mineral ini.

Sudah tentu matlamat utama pengambilan suplemen yang biasanya diambil dalam bentuk kapsul, tablet kunyah atau cecair ini adalah untuk meningkatkan tahap zat besi dan hemoglobin dalam badan4.

Pun begitu, disarankan sebelum mengambil sebarang makanan tambahan zat besi, lakukan rundingan doktor terlebih dahulu untuk mengelak dos berlebihan yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan serius4.

Jadual di bawah adalah jumlah zat besi harian yang kita perlukan berdasarkan usia2:

Usia Jumlah zat besi/mg
0 hingga 6 bulan 0.27
7 hingga 12 bulan 11
1 hingga 3 tahun 7
4 hingga 8 tahun 10
9 hingga 13 tahun 8
Remaja lelaki 14 hingga 18 tahun 11
Remaja perempuan 14 hingga 18 tahun 15
Lelaki dewasa 19 hingga 50 tahun 8
Wanita dewasa 19 hingga 50 tahun 18
51 tahun dan ke atas 8
Remaja perempuan hamil 27
Wanita hamil 27
Remaja perempuan menyusu 10
Wanita menyusu 9

Langkah berjaga-jaga pengambilan suplemen untuk atasi penyakit kekurangan zat besi

Sekiranya anda ingin mengambil makanan tambahan bagi mengurangkan kesan kekurangan zat besi dalam badan, waktu terbaik adalah semasa perut kosong agar ia dapat diserap sebaiknya.

Namun, anda harus mengetahui suplemen zat besi boleh mengakibatkan kekejangan perut, mual dan cirit-birit bagi sesetengah individu. Pengambilan sedikit makanan mungkin dapat mengelakkan masalah ini4.

Susu, kalsium dan antasid tidak boleh dimakan pada masa yang sama dengan pengambilan suplemen zat besi ini. Anda harus menunggu sekurang-kurangnya dalam tempoh 2 jam selepas memakan makanan ini sebelum mengambil suplemen zat besi.

Antara makanan lain yang tidak boleh dimakan serentak dengan pengambilan suplemen zat besi termasuklah4:

  • Makanan berserat tinggi seperti bijirin, sayuran mentah
  • Makanan atau minuman berkafein

Doktor mungkin akan mencadangkan pengambilan suplemen vitamin C atau minum jus oren bersama pil zat besi. Ia adalah untuk mempertingkatkan kadar penyerapan zat besi oleh tubuh.

Anda juga perlu memaklumkan kepada doktor sekiranya ada mengambil sebarang ubatan untuk masalah kesihatan yang dialami. Ini kerana4:

  • Pil zat besi boleh menyebabkan ubat lain yang diambil tidak berkesan, seperti tetrasiklin, penisilin dan ciprofloxacin serta ubat yang digunakan untuk hipotiroidisme, penyakit Parkinson dan sawan
  • Ubat mengurangkan asid perut akan mengganggu penyerapan zat besi

Sebaiknya, tunggu sehingga tempoh 2 jam antara dos ubatan dan suplemen zat besi.

Kesan sampingan pengambilan suplemen cegah penyakit kekurangan zat besi

Masalah sembelit dan cirit-birit merupakan efek makanan tambahan zat besi paling kerap terjadi4. Jika anda mengalami sembelit, penggunaan ubat pelembut najis boleh diambil.

Mengalami mual dan muntah biasanya terjadi jika dos suplemen diambil secara berlebihan.

Sekiranya anda melihat najis berwarna hitam, usah bimbang. Ia adalah keadaan normal dan dianggap sebagai petunjuk keberkesanan suplemen zat besi.

Walau bagaimanapun, anda perlu melakukan pemeriksaan segera jika mengalami gejala seperti:

  • Terdapat darah pada najis
  • Kekejangan, rasa sakit menyucuk atau sakit pada abdomen

Pengambilan suplemen zat besi jenis cecair mungkin boleh meninggalkan kesan pada gigi. Untuk mencegah keadaan ini, anda disarankan untuk4:

  • Mencampurkan makanan tambahan ini dengan air atau cecair lain seperti jus buah atau jus tomato dan minumnya menggunakan penyedut minuman
  • Kesan yang terdapat pada gigi boleh dihilangkan dengan memberus gigi menggunakan baking soda atau peroksida

Paling penting, pastikan suplemen yang diambil untuk mencegah penyakit kekurangan zat besi ini disimpan di tempat selamat dan kering serta jauhi daripada kanak-kanak.

Sekiranya anak tertelan pil ini, hubungi talian kecemasan segera!

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Iron. Diambil pada Sept 6, 2021, daripada https://medlineplus.gov/iron.html 
  2. Iron (2021). Diambil pada Sept 6, 2021, daripada https://ods.od.nih.gov/factsheets/Iron-HealthProfessional/
  3. Anemia Kekurangan Zat Besi (2016). Diambil pada Sept 6, 2021, daripada http://www.myhealth.gov.my/anemia-kekurangan-zat-besi/
  4. Taking iron supplements. Diambil pada Sept 6, 2021, daripada https://medlineplus.gov/ency/article/007478.htm
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 3 minggu lalu
Fakta Disemak oleh Nurul Halifah