Bolehkah Makan Telur Setiap Hari?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Telur merupakan antara sumber protein paling murah dan mudah didapati. Pelbagai hidangan dan cara masakan boleh dihasilkan dengan sumber protein ini. Maka tidak hairanlah ada yang mengambilnya hampir setiap hari.

Putih telur mengandungi 16 kalori dan kaya dengan protein, sodium, selenium, folat dan kalsium. Sementara kuning telur mengandungi kolin, vitamin A, D, E dan K di samping kolesterol dan lemak omega-3.

Pun begitu, sebarang makanan yang dimakan secara berlebihan boleh mendatangkan kemudaratan. Jadi, adakah memakan sumber protein ini setiap hari dikira sebagai berlebihan dan memudaratkan? Apatah lagi kerana kandungan kolesterolnya yang dianggap tinggi.

Adakah telur meningkatkan kadar kolesterol?

Kolesterol adalah bahan berlemak yang mempunyai fungsi tertentu dalam badan seperti pembentukan sel dan hormon baru serta untuk tujuan penyerapan vitamin. Terdapat dua jenis kolesterol dalam darah, lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) atau lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL).

HDL, juga dikenali sebagai kolesterol baik mengumpul kolesterol yang tidak diperlukan lagi, sementara LDL atau kolesterol jahat mengagihkan kolesterol kepada bahagian badan yang diperlukan.

Kolesterol LDL yang tinggi dalam badan meningkatkan risiko penyakit jantung. Kenyataan ini mungkin membuatkan anda mengelakkan kolesterol dalam diet anda, tetapi sebenarnya kolesterol dalam diet tidak memberikan kesan besar kepada kolesterol dalam badan. Sebaliknya lebih bergantung kepada kadar lemak tepu dalam diet.

Oleh itu, pengambilan makanan tinggi kolesterol seperti telur tidak memberi kesan signifikan kepada kolesterol dalam darah anda.

Bolehkah saya makan telur setiap hari?

Telur adalah sumber protein yang berkhasiat dan mudah disertakan dalam diet seimbang. Cara terbaik untuk memakannya adalah dengan merebus atau pecahkan dan masak dalam kuah atau air tanpa garam.

Makan antara satu hingga tiga biji setiap hari mempunyai beberapa manfaat kesihatan, tetapi ini bergantung mengikut individu. Dengan kekerapan ini, mungkin terdapat perubahan minima dalam tahap kolesterol dalam darah.

Bagi mereka yang tidak mempunyai masalah kesihatan untuk dirisaukan, anda boleh mengambil sumber protein ini setiap hari tanpa kesan signifikan terhadap tahap kolesterol. Kebanyakan orang boleh memakan sehingga 7 biji setiap minggu tanpa kesan sampingan seperti penyakit jantung. Bahkan kajian menunjukkan bahawa kadar sebegini boleh mencegah jenis strok tertentu.

Tetapi bagi mereka yang mempunyai diabetes, kadar pemakanan 7 biji seminggu mungkin boleh meningkatkan risiko penyakit jantung. Kajian lebih lanjut diperlukan untuk mengenalpasti risikonya.

Telur yang telah diperkaya dengan omega-3 dan berasal dari ladang ternak bebas adalah pilihan yang paling sihat. Jika anda sukakan sumber protein ini tetapi tidak mahu kandungan kolesterolnya yang tinggi, anda boleh mengelakkan kuning telur. Putih telur tidak mengandungi kolesterol.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut