backup og meta

Takut Kolesterol Tinggi Dalam Badan? Tahu Tak, Jika Kolesterol Rendah Pun BAHAYA!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 23/02/2022

    Takut Kolesterol Tinggi Dalam Badan? Tahu Tak, Jika Kolesterol Rendah Pun BAHAYA!

    Tidak dinafikan, kolesterol tinggi boleh mencetuskan pelbagai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok. Namun, tahukah anda tahap kolesterol rendah juga boleh mendatangkan penyakit?

    Tetapi, bolehkah kadar kolesterol menjadi terlalu rendah? Jawapannya ialah ya!

    Walaupun ia jarang berlaku, tahap kolesterol rendah juga boleh mempengaruhi kesihatan kita.

    Namun, tahukah anda tahap kolesterol ‘jahat’ atau lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) yang sedikit juga boleh menyebabkan penyakit?

    Apa maksud kolesterol HDL dan LDL

    Kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) dan lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) merupakan dua jenis lipoprotein. Ia merupakan gabungan molekul lemak dan juga protein. Lemak perlu bergabung dengan protein supaya ia boleh bergerak melalui saluran darah.

    HDL dan LDL mempunyai dua fungsi yang berbeza:

  • HDL merupakan kolesterol ‘baik’ kerana ia boleh membawa kolesterol daripada bahagian badan yang lain ke organ hati. Kemudiannya, hati akan mengkumuhkan kolesterol tersebut dari badan.
  • LDL pula ialah kolesterol ‘jahat’. Ia boleh menyebabkan penggumpalan kolesterol di dalam arteri. Terlalu banyak kolesterol LDL boleh meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.
  • Kolesterol rendah boleh menyebabkan penyakit

    kolesterol rendah

    Semua orang sedia maklum bahawa tahap kolesterol yang tinggi dalam darah boleh meningkatkan risiko penyakit koronari arteri. Oleh sebab itu, kolesterol yang rendah lebih ideal untuk kesihatan diri.

    Namun, dalam sesetengah kes, kolesterol rendah juga boleh menyebabkan penyakit.

    Lebih mengejutkan, individu yang mempunyai kolesterol LDL (kolesterol ‘jahat’) atau jumlah kolesterol total yang sedikit juga didapati menghidap masalah kesihatan tertentu.

    Menurut kajian yang dimuatkan di dalam Journal of Lipids, tahap kolesterol LDL yang terlalu sedikit boleh meningkatkan risiko kanser, penyakit mood dan penyakit kardiovaskular.

    Ini merupakan satu kejutan kerana kolesterol LDL sering dianggap sebagai satu bahaya terhadap badan.

    Malah, doktor juga selalu mengingatkan kita supaya mengurangkan pengambilan makanan yang boleh meningkatkan kadar kolesterol LDL.

    Sebuah lagi kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Neurology juga mempunyai dapatan yang lebih kurang sama.

    Menurut kajian tersebut, individu yang mempunyai tahap LDL yang rendah lebih berisiko untuk mengalami pendarahan dan strok, lebih-lebih lagi wanita yang berusia 45 tahun ke atas.

    Buat masa ini, doktor masih lagi mencari kaitan antara tahap kolesterol yang rendah dengan penyakit tertentu. Tahap HDL yang rendah selalunya dikaitkan dengan diet tinggi karbohidrat dan obesiti.

    Namun, ada banyak lagi faktor lain yang boleh menyebabkan tahap kolesterol menurun hingga ke tahap yang tidak sihat.

    Apa yang menyebabkan kolesterol LDL menurun?

    Kolesterol rendah selalunya berlaku disebabkan beberapa faktor seperti:

    1. Penyakit genetik seperti penghidap abetalipoproteinemia, hypobetalipoproteinemia atau penyakit Anderson.
    2. Menghidap kanser tertentu seperti leukemia, kanser kolorektal, kanser prostat dan myeloma.
    3. Menghidap anemia seperti talasemia dan anemia.
    4. Jangkitan kronik seperti tuberkulosis.
    5. Masalah untuk menyerap nutrisi seperti penyakit seliak dan pankreas.

    Apa yang menyebabkan kolesterol HDL menurun?

    Kolesterol HDL sedikit pula mungkin berlaku disebabkan:

    1. Faktor genetik seperti hypoalphalipoproteinemia.
    2. Obes atau mempunyai berat badan berlebihan.
    3. Gaya hidup sedentari atau kurang aktiviti fizikal.
    4. Menghisap rokok.
    5. Diet yang rendah buah-buahan dan sayur-sayuran.
    6. Makan terlalu banyak makanan manis dan berlemak.

    Bagaimana saya boleh meningkatkan kadar kolesterol dalam badan?

    kolesterol rendah

    Apabila tahap kolesterol dalam badan menurun, perubahan dari segi gaya hidup mungkin dapat membantu.

    Dalam masa yang sama, perubahan ini juga dapat membantu kita mengelakkan penyakit lain dan membuatkan badan rasa lebih sihat dan segar:

    1. Ambil makanan yang sihat. Untuk mengelakkan masalah kolesterol terlalu rendah, anda perlu mengambil makanan yang mengandungi lemak sihat. Elakkan pengambilan makanan seperti sosej, makanan segera dan juga makanan yang diproses.
    2. Pastikan berat badan dalam julat yang sihat. Anda boleh meningkatkan tahap kolesterol dalam badan dengan menurunkan berat badan, terutamanya jika anda mempunyai lemak berlebihan di kawasan perut dan pinggang.
    3. Bersenam. Senaman boleh meningkatkan tahap kolesterol dalam badan. Bersenamlah sekurang-kurangnya 30 minit setiap minggu.
    4. Jangan merokok. Tabiat merokok boleh menyebabkan kolesterol berada pada tahap rendah. Risiko yang sama turut dihadapi oleh mereka yang terdedah kepada asap sekunder.
    5. Elakkan minuman beralkohol. Alkohol dapat membuatkan kadar kolesterol dalam badan menjunam. Walau bagaimanapun, kaitan antara pengambilan alkohol dan kolesterol rendah masih perlu dikaji secara lebih mendalam.

    Kesimpulan

    kolesterol rendah

    Walaupun jarang berlaku, kadar kolesterol rendah boleh menjadi ancaman terhadap kesihatan.

    Sebenarnya, kolesterol tidak akan mendatangkan bahaya dengan sendirinya. Namun, pengambilan makanan yang berkolesterol tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.

    Kebanyakan kolesterol berasal dari sumber haiwan. Dengan pemilihan makanan yang betul, kita dapat mengawal kolesterol dalam badan supaya ia berada dalam julat yang betul.

    Sebagai contoh, lebihkan makan telur dan kerang-kerangan yang mempunyai kolesterol tinggi namun kurang kandungan lemak tepu. Makanan ini merupakan sumber kolesterol yang ideal untuk badan kita.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 23/02/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan