
Definisi
Apakah yang dimaksudkan dengan haid lewat?
Haid lewat adalah menstruasi yang tidak normal – sama ada lewat satu atau lebih kitaran haid.
Wanita yang kelewatan haid lebih daripada tiga kitaran berturut-turut mengalami kondisi yang dipanggil amenorea.
Kehamilan adalah punca yang paling biasa bagi keadaan ini. Punca-punca lain masalah ini termasuklah masalah dengan organ reproduktif atau dengan kelenjar yang membantu mengawal selia paras hormon.
Apabila punca sebenar dirawat selalunya wanita tersebut akan pulih seperti biasa.
Simptom-simptom
Apakah simptom haid lewat?
Tanda yang paling utama bagi kelewatan haid ialah ketiadaan darah haid.
Bergantung kepada punca haid lewat, anda mungkin akan mengalami tanda dan simptom lain bersama dengan ketiadaan darah haid, seperti;
- Susu keluar dari puting
- Keguguran rambut
- Sakit kepala
- Perubahan pada penglihatan
- Rambut dan bulu muka yang berlebihan
- Kesakitan pada bahagian pelvis
- Jerawat
Punca
Apakah yang mengakibatkan kelewatan haid?
Dalam kehidupan, anda mungkin mengalami kelewatan haid disebabkan punca-punca yang natural seperti:
- Mengandung
- Menyusu badan
- Putus haid/menopaus
Kebanyakan wanita mempunyai kitaran setiap 28 hari , bermula daripada kali pertama keluar darah haid sehinggalah menopaus.
Walau bagaimanapun, kitaran haid yang sihat boleh berbeza-beza antara 21-35 hari bagi setiap kitaran.
Sekiranya kitaran anda tidak berada di antara dua bilangan hari ini, boleh jadi disebabkan:
- Stres
Stres boleh mengganggu paras hormon, mengubah rutin harian anda, dan menjejaskan bahagian otak (hipotalamus) yang bertanggungjawab mengawal selia kitaran haid anda.
Setelah masa berlalu, stres akan mendatangkan penyakit dan menambahkan atau mengurangkan berat badan , yang mana akan memberi impak kepada kitaran haid.
Sekiranya anda fikir stres menyebabkan kitaran haid anda bercelaru, cubalah praktikkan teknik menenangkan diri dan ubah gaya hidup anda .
Mengamalkan senaman juga boleh membantu untuk mengembalikan kitaran haid yang normal semula.
- Berat badan yang rendah
Wanita yang mempunyai masalah pemakanan, seperti anoreksia atau bulimia boleh mengalami kelewatan haid.
Berat badan yang berada dibawah 10% daripada berat normal (berat yang sesuai dengan ketinggian anda) boleh mengubah cara tubuh anda berfungsi dan menghentikan proses ovulasi.
Mendapatkan rawatan untuk masalah pemakanan dan mengawal berat badan anda boleh mengembalikan kitaran haid yang normal semula
- Obesiti
Berat badan yang berlebihan juga boleh menyebabkan gangguan pada hormon, sama seperti apabila berat badan anda berkurangan.
Doktor anda akan mengesyorkan pelan diet dan senaman sekiranya didapati masalah anda berpunca daripada obesiti/berat badan berlebihan.
- Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)
Sindrom Ovari polisistik adalah kondisi yang menyebabkan tubuh seorang wanita menghasilkan lebih banyak hormon lelaki (androgen).
Sista yang terhasil pada ovari adalah kesan ketidakseimbangan hormon. Ini akan membuatkan ovulasi tidak sekata atau berhenti terus.
Hormon-hormon lain seperti insulin juga menjadi tidak seimbang kerana terjadinya kerintangan insulin yang selalunya berlaku bersama dengan PCOS.
Rawatan untuk PCOS berfokus untuk melegakan simptom. Doktor mungkin akan memberi pil pencegahkehamilan atau ubat-ubatan lain untuk mengawal selia kitaran anda.
- Perancang kehamilan
Anda mungkin mengalami perubahan pada kitaran haid apabila anda menggunakan pil pencegah kehamilan secara tidak tetap.
Pil ini mengandungi hormon estrogen dan progestin yang menghalang ovari daripada melepaskan telur.
Ia boleh mengambil masa sehingga 6 bulan untuk kitaran anda kembali normal selepas berhenti daripada mengambil pil ini.
Alat pencegah kehamilan yang lain yang menggunakan implan dan suntikan juga boleh menyebabkan kelewatan/terlepas haid
- Penyakit kronik
Penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit seliak juga boleh menjejaskan kitaran haid.
Perubahan pada kandungan gula dalam darah berkait dengan perubahan hormon, jadi, diabetes yang tak terkawal boleh menyebabkan haid yang tidak tetap.
Penyakit seliak menyebabkan keradangan yang membawa kepada kerosakan di dalam usus kecil , yang boleh mengganggu tubuh anda untuk menyerap nutrisi-nutrisi penting. Ini boleh menyebabkan kelewatan atau terlepas haid.
Faktor-faktor Risiko
Apakah yang meningkatkan saya kepada risiko kelewatan haid?
Faktor yang boleh meningkatkan risiko anda termasuklah;
- Sejarah keluarga
Sekiranya ada wanita dalam kalangan keluarga anda mengalami kelewatan haid, kemungkinan anda juga boleh mewarisi masalah yang sama.
- Masalah pemakanan
Sekiranya anda mempunyai masalah permakanan, seperti anoreksia dan bulimia, anda berisiko tinggi untuk mengalami kelewatan haid
Diagnosis dan Rawatan
Bagaiman kelewatan haid didiagnosis?
Sewaktu temu janji, doktor akan melakukan pemeriksaan pelvis untuk memeriksa sebarang permasalahan dengan organ reproduktif anda.
Sekiranya anda sememangnya tidak pernah datang haid sebelum ini, doktor akan memeriksa buah dada dan alat sulit anda untuk melihat perubahan yang biasanya berlaku pada wanita yang sudah akil baligh.
- Ujian makmal
Pelbagai ujian darah mungkin diperlukan, termasuklah;:
- Ujian pengimejan
Bergantung kepada tanda dan simptom anda – dan keputusan mana-mana ujian darah yang diambil- doktor akan menyarankan satu atau lebih ujian pengimejan termasuklah:
- Ultrabunyi
Ujian ini menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej organ dalaman.
Sekiranya anda tidak pernah mengalami haid , doktor akan menyarankan ultrabunyi untuk memeriksa sebarang perkara luar biasa a dalam organ reproduktif anda.
- Imbas CT
Imbas CT menggabungkan imej-imej sinar-X yang diambil dari sudut berbeza untuk menghasilkan keratan rentas organ dalaman anda.
Imbas CT boleh menunjukkan samada rahim, ovari dan ginjal kelihatan normal atau tidak
- Pengimejan resonans magnetik (MRI)
MRI menggunakan gelombang radio dengan medan magnetik yang kuat untuk menghasilkan imej tisu lembut dengan sangat teliti.
Doktor mungkin akan melakukan MRI untuk memeriksa ketumbuhan pada pituitari
Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan
Apakah perubahan gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang boleh dilakukan ke atas kelewatan haid?
Faktor gaya hidup seperti terlalu banyak bersenam atau makan terlalu sedikit boleh menyebabkan kelewatan haid, jadi, berusahalah untuk mengimbangkan antara kerja, rekreasi dan rehat.
Periksa/carilah perkara yang membuat anda stres atau konflik dalam kehidupan.
Sekiranya anda tidak mampu mengurangkan stres sendiri, mintalah tolong kepada ahli keluarga, kawan dan doktor anda.
Sekiranya anda mempunyai apa-apa soalan, silalah berunding dengan doktor untuk memahami penyelesaian yang terbaik buat diri anda.
Ada cadangan bagaimana kami boleh bantu anda dan keluarga sepanjang pandemik ini, dalam mendapatkan info kesihatan dan memahami keadaan kesihatan? Jom bantu kami dengan menjawab survey ini sekarang!
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.