Masalah sukar hamil mungkin ada kaitan dengan tiub fallopio tersumbat. Namun adakah rawatan semula jadi dapat bantu mengatasinya?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Apa jadi jika tiub fallopio tersumbat?
Keadaan penyumbatan pada tiub fallopio adalah penyebab kemandulan pada wanita. Tiub ini adalah saluran yang menghubungkan ovari dan rahim.
Setiap bulan semasa proses ovulasi, yang berlaku pertengahan kitaran haid, saluran ini akan membawa telur matang daripada ovari ke rahim.
Tiub yang tersumbat menyebabkan ketidaksuburan berlaku dengan cara:
- Menghalang sperma sampai kepada telur
- Mencegah implantasi pada dinding rahim
Terdapat beberapa punca tiub fallopio tersumbat, iaitu keradangan, kerosakan atau parut. Ia berlaku kesan daripada:
- Jangkitan terdahulu seperti klamidia atau gonorrhea
- Fibroid
- Penyakit keradangan pelvis
- Endometriosis
- Sejarah penyakit kehamilan ektopik
- Pernah menjalani pembedahan
Baca juga:
Jadi adakah penggunaan rawatan semula jadi benar-benar dapat membantu mengatasi keadaan tersebut?
Rawatan semula jadi vs tiub fallopio tersumbat
Terdapat cadangan mengatakan bahawa kaedah semula jadi tertentu mungkin berfungsi untuk menyingkirkan penyumbatan pada tiub fallopio.
Walau bagaimanapun, masih kurang bukti saintifik untuk mengesahkan keberkesanan rawatan semula jadi ini.
Berikut disenaraikan beberapa rawatan yang dikatakan dapat membantu merawat tiub fallopio tersumbat:
-
Berhenti merokok
Tabiat merokok meningkatkan risiko kehamilan ektopik. Ia berlaku apabila embrio membesar di luar rahim.
Apabila nikotin dalam rokok terurai, ia menghasilkan bahan disebut cotinine. Ia mengurangkan pengeluaran gen yang dikenali sebagai BAD dalam tiub fallopio.
Kesannya, ia mengubah persekitaran pada tiub dan menjadikan ia hampir sama dengan rahim.
Inilah yang menyebabkan embrio membesar pada saluran tiub dan tidak pergi ke bahagian rahim, maka terjadilah kehamilan luar rahim.
Kehamilan ini boleh mengakibatkan parut dan kerosakan pada tiub. Ia menyebabkan penyumbatan dan kemandulan.
-
Menghindari alkohol
Terdapat beberapa kesan negatif alkohol kepada kesuburan lelaki serta wanita dan kehamilan, seperti:
- Mengurangkan kesuburan
- Mengurangkan rizab ovari, merujuk kepada jumlah dan kualiti telur pada ovari
- Meningkatkan pengeluaran hormon steroid
- Mengurangkan kualiti sperma
Walaupun masih tidak terdapat kajian untuk mengesahkan kesan alkohol kepada tiub fallopio, namun individu yang sedang berusaha untuk hamil harus menghindarinya.
-
Mengurangkan stres
Walaupun masih memerlukan kajian lanjut, ada penyelidik mendapati tekanan yang berlebihan boleh memberi kesan berpanjangan pada tiub fallopio.
Individu yang cuba mengurangkan tekanan dalam diri mereka akan dapat melihat kesan positif pada tahap kesuburan badan.
Beberapa aktiviti boleh membantu meredakan stres, seperti:
- Menenangkan fikiran
- Bermeditasi
- Menulis di buku
- Membaca buku
- Melakukan yoga
- Berjalan kaki
- Terapi urutan
-
Bersenam
Melakukan sebarang aktiviti fizikal sememangnya baik untuk kesihatan badan secara keseluruhan.
Walaupun tidak terdapat bukti menunjukkan senaman dapat membantu merawat tiub fallopio tersumbat, namun rawatan semula jadi ini dipercayai meningkatkan kesuburan wanita.
-
Terapi fizikal pelvik
Terdapat kajian dilakukan pada 2008 untuk mengkaji kesan terapi fizikal pelvik manual terhadap ketidaksuburan wanita. Ia melibatkan 28 responden dengan masalah penyumbatan tiub fallopio.
Setiap responden perlu menjalani terapi selama 20 jam dalam tempoh seminggu.
Hasil daripada terapi tersebut mendapati ia berjaya membuka 1 atau kedua-dua saluran tiub tersumbat pada 17 daripada 28 peserta.
-
Ubatan herba Cina
Ada cadangan mengatakan ubatan herba Cina boleh membantu meningkatkan peluang kehamilan individu berbanding rawatan perubatan Barat.
Ia berdasarkan kajian analisis 2015, yang melihat kesan ubatan herba terhadap kemandulan. Ia melibatkan 4,247 wanita dengan ketidaksuburan seperti penyumbatan tiub fallopio.
Secara purata, hasil kajian menunjukkan kadar kehamilan wanita yang menerima ubatan herba Cina adalah lebih 60% berbanding hanya 33% dengan perubatan moden.
-
Kunyit
Kunyit boleh diambil dalam bentuk suplemen atau ditambah ke dalam makanan.
Ada yang mengatakan, menambah lada hitam boleh meningkatkan penyerapan badan terhadap manfaat kunyit.
Dalam kajian 2017, mendapati bahan dalam kunyit, kurkumin boleh mengurangkan keradangan dalam badan.
Namun, tidak terdapat bukti jelas menunjukkan sama ada bahan tersebut dapat membantu merawat saluran tiub fallopio tersumbat secara khusus.
-
Vitamin C
Kebaikan vitamin yang kaya dengan antioksidan ini adalah:
- Mengehadkan kerosakan radikal bebas pada sel
- Menyokong fungsi sistem imun
- Mengurangkan keradangan dalam badan
- Bantu hasilkan kolagen protein, penting untuk penyembuhan luka
Jadi secara teori, dengan manfaat di atas, vitamin C dipercayai dapat membantu kurangkan keradangan, jangkitan atau pengembangan tisu pada saluran fallopio.
Walau bagaimanapun, setakat ini tidak terdapat bukti untuk menyokong teori tersebut.
-
Asid lemak omega-3
Sumber makanan yang kaya omega-3 adalah:
- Biji rami dan minyaknya (flaxseed)
- Walnut dan minyaknya
- Minyak canola
- Ikan berminyak
Saintis percaya terdapat kaitan antara pengambilan tinggi asid lemak omega-3 dengan penurunan kadar keradangan dalam badan.
Penurunan kadar tersebut dipercayai dapat membantu merawat masalah penyumbatan pada tiub fallopio.
Walau bagaimanapun, masih tidak terdapat bukti kukuh untuk menyokong dakwaan ini.
Lakukan perubahan
Walaupun masih kurang bukti saintifik untuk mengesahkannya, namun mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat pastinya dapat membantu meningkatkan kesuburan wanita.
Jika rawatan semula jadi yang dinyatakan di atas tidak berkesan, anda disarankan untuk melakukan pemeriksaan dan rundingan doktor.
[embed-health-tool-ovulation]