Apa kaitan antara soal kebersihan gigi dengan kesukaran untuk mengandung? Rasa pelik, bukan? Tapi ini yang perlu anda fahami tentang tahap kesuburan.
Aspek kebersihan gigi
Penjagaan kebersihan mulut yang baik bukan sahaja memberikan keselesaan kepada diri dan individu di sekeliling tetapi ia juga boleh menjadikan anda lebih subur.
Menurut penyelidikan, kebersihan gigi memberikan impak kepada tempoh masa yang diperlukan wanita untuk mengandung.
Pada lelaki, penyakit gusi dan kerosakan gigi mempunyai kaitan dengan tahap kesihatan air mani serta kualiti sperma yang rendah.
Mungkin benar wujud hubung kait antara kesihatan gigi dan tahap kesuburan bagi lelaki dan wanita.
Dipercayai ketika mengandung, tahap kesihatan mulut yang rendah dikaitkan dengan peningkatan diabetes gestasi, kelahiran pramatang dan mempunyai bayi dengan berat lahir rendah.
Ini bermakna, memastikan keadaan gigi dan gusi dalam keadaan sihat bukan hanya penting untuk kesuburan tetapi tumbesaran janin dalam kandungan.
Bagaimana penjagaan gigi mempengaruhi tahap kesuburan dan kehamilan?
Kenapa kebersihan gigi penting?
Tidak kira lelaki atau wanita, memastikan kesihatan gigi dalam keadaan baik penting jika anda sedang berusaha untuk mendapat zuriat.
Gusi dan gigi yang sihat dianggap sebagai antara faktor penentu kejayaan kehamilan dan kelahiran anak.
Kesihatan mulut yang sihat perlu bebas daripada kaviti, gingivitis dan penyakit periodontal.
Kaviti atau turut disebut sebagai kerosakan gigi berlaku apabila asid yang dihasilkan daripada pengambilan makanan dan minuman bergula bertindak balas dengan bakteria yang ada pada plak.
Kesannya ia mengikiskan enamel gigi.
Gingivitis atau keradangan pada gusi muncul apabila plak membiak menyebabkan kerengsaan, kemerahan dan pembengkakan.