backup og meta

5 Punca Sakit Pinggang Belakang Pada Wanita, Period Pun Boleh Jadi Sebab!

5 Punca Sakit Pinggang Belakang Pada Wanita, Period Pun Boleh Jadi Sebab!

Sakit pinggang belakang pada wanita boleh berlaku disebabkan banyak faktor. Dalam beberapa kes, sakit pinggang belakang wanita sebelah kiri atau kanan mungkin berpunca daripada kehamilan atau haid. 

Sebenarnya, sakit belakang adalah satu kondisi lazim. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kiralah wanita atau lelaki. Bagaimanapun, wanita lebih kerap alami sakit belakang kronik disebabkan perbezaan secara anatomi. 

Sebagai contoh, wanita mempunyai pelvis yang lebih lebar berbanding lelaki. Oleh itu, kaum Hawa mungkin mengalami sakit belakang disebabkan tekanan berlebihan pada kawasan tulang belakang. 

Dalam artikel kali ini, kami akan senaraikan beberapa punca dan cara mengatasi sakit pinggang pada wanita. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Wanita, anda boleh klik di sini.

5 Punca sakit pinggang belakang pada wanita

sakit pinggang belakang wanita
Kehamilan dan haid adalah antara punca utama wanita alami sakit belakang.

Sakit belakang merupakan antara penyebab utama kebanyakan pekerja terpaksa mengambil cuti sakit. 

Ia juga merupakan satu kondisi yang boleh menyebabkan kesakitan yang amat sangat, terutamanya jika seseorang itu menghabiskan masa yang terlalu lama di hadapan skrin komputer. 

Bagaimanapun, bagi wanita, ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka lebih kerap mengalami sakit belakang berbanding lelaki. 

Antara punca sakit pinggang belakang pada wanita ialah:

1. Sindrom prahaid (PMS)

PMS merupakan satu sindrom yang sering berlaku kepada wanita sebelum mereka datang haid. 

Antara simptom-simptom PMS ialah: 

  • Sakit belakang badan
  • Pening kepala
  • Keletihan 
  • Perut kembung
  • Mengidam hendak makan makanan tertentu
  • Sukar mengawal mood
  • Rasa resah berpanjangan
  • Sukar fokus

Sakit belakang ketika PMS selalunya akan beransur hilang beberapa hari selepas kedatangan haid. 

2. Sakit pinggang belakang wanita hamil

Sakit pinggang dalam kalangan wanita hamil bukanlah satu perkara di luar kebiasaan. 

Ketika mengandung, pusat graviti wanita akan berubah. Malah, kebanyakan wanita juga akan mengalami penambahan berat badan selepas hamil. 

Semua ini boleh menyebabkan tekanan pada belakang badan dan menyebabkan sakit pinggang belakang pada wanita. 

Bukan itu sahaja, wanita yang sering sakit belakang sebelum hamil juga berisiko untuk mengalami masalah sama ketika mengandung. 

Selalunya, sakit pinggang belakang wanita hamil akan tertumpu pada kawasan tengah dan bawah pinggang. Kadangkala, kesakitan itu juga mungkin menjalar ke kawasan kaki. 

3. Sengugut 

sakit pinggang belakang wanita
Antara langkah yang boleh wanita lakukan untuk mengurangkan kesakitan akibat senggugut.

Selain sakit pinggang belakang wanita hamil, kaum Hawa juga boleh alami sakit yang sama disebabkan senggugut yang teruk. 

Kesakitan yang berlaku disebabkan senggugut dapat dirasai pada bahagian bawah perut, belakang badan, pinggul dan kaki. 

Selalunya, senggugut atau dysmenorrhea berlaku selama satu hingga tiga hari. Ia disertai rasa nyeri pada perut atau lenguh-lenguh badan. 

4. Endometriosis punca sakit pinggang belakang pada wanita

Sakit pinggang belakang wanita sebelah kiri, bawah atau kanan abdomen mungkin berlaku disebabkan endometriosis. Endometriosis merupakan satu kondisi yang menyebabkan tisu yang menyelaputi kawasan uterus tumbuh di luar rahim. 

Kesakitan yang luar biasa merupakan antara simptom lazim endometriosis. Selain itu, antara simptom lain endometriosis adalah sakit belakang, senggugut yang teruk dan rasa sakit ketika atau selepas melakukan seks

Jika anda alami masalah ini, berjumpa doktor dengan segera. Penghidap endometriosis selalunya sukar untuk mengandung. 

5. Ketegangan otot

Postur badan yang salah ketika angkat barang yang berat boleh menyebabkan ketegangan otot.

Selain haid, kehamilan dan endometriosis, wanita juga boleh alami sakit belakang disebabkan ketegangan otot. 

Ia mungkin berpunca daripada:

  • Duduk terlalu lama
  • Angkat barang berat
  • Salah pergerakan 
  • Terlalu meregangkan otot

Jika ini yang berlaku, ketegangan otot mungkin punca sakit pinggang yang anda alami. Selalunya, kesakitan akan hilang dengan sendirinya dalam masa beberapa hari. 

Anda juga boleh ambil ubat sebagai cara mengatasi sakit pinggang pada wanita yang berlaku disebabkan ketegangan otot. 

Selain itu, anda juga boleh berjumpa doktor untuk sesi konsultasi sekiranya anda ingin ketahui lebih lanjut mengenai kondisi yang dialami. 

Cara kurangkan sakit pinggang belakang pada wanita

Langkah yang terbaik untuk mengurangkan sakit belakang adalah dengan menjaga postur badan masing-masing. 

Antara cara mengatasi sakit pinggang pada wanita ialah: 

  • Bersenam. Senaman aerobik berimpak rendah boleh menambah kekuatan otot. Cuba lakukan senaman seperti berbasikal, berjalan kaki atau berenang. 
  • Kuatkan otot badan. Senaman yang memfokuskan pada kawasan belakang badan dan abdomen dapat mengurangkan sakit belakang. Bagaimanapun, sebelum mula, dapatkan nasihat daripada jurulatih senaman terlebih dahulu untuk memastikan anda melakukan senaman dengan betul. 
  • Kekalkan berat badan sihat. Mereka yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan lebih berisiko mengalami sakit belakang. 
  • Berhenti merokok. Amalan tidak sihat seperti merokok boleh meningkatkan risiko sakit pinggang belakang wanita. Semakin lama anda merokok, semakin seriuslah kesanya terhadap kesihatan diri. 

Jangan

 
Disebabkan sakit belakang merupakan masalah kesihatan lazim, banyak produk yang dijual di atas talian mendakwa kononnya dapat mengurangkan atau menghilangkan sakit belakang. 
Jangan sesekali terpedaya dengan produk-produk sebegini. Sebelum beli, dapatkan nasihat pakar terlebih dahulu.

Bila perlu berjumpa doktor?

sakit pinggang belakang wanita
Jumpa doktor jika sakit belakang tidak pulih dalam masa beberapa minggu.

Kebanyakan sakit belakang akan pulih dengan sendirinya dalam masa beberapa minggu. 

Bagaimanapun, jumpa doktor secepat mungkin jika: 

  • Sakit belakang berlarutan selama beberapa minggu
  • Anda alami kesakitan teruk yang tidak berkurangan walaupun telah berehat
  • Kesakitan menjalar sehingga kaki
  • Rasa kebas pada kedua-dua belah kaki
  • Kehilangan berat badan secara tiba-tiba, tanpa diet atau bersenam 

Sekiranya ini yang berlaku, kesakitan yang dihadapi tersebut mungkin menandakan penyakit yang serius.

Jangan pandang rendah atau abaikan sakit pinggang belakang pada wanita. Jumpalah doktor untuk sesi kaunseling dan dapatkan rawatan secepat mungkin.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Back pain. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/back-pain/symptoms-causes/syc-20369906. Diakses pada September 8, 2024.
  2. Back Pain. https://www.niams.nih.gov/health-topics/back-pain. Diakses pada September 8, 2024.
  3. Back Pain. https://versusarthritis.org/about-arthritis/conditions/back-pain/. Diakses pada September 8, 2024.
  4. Back Pain. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/22325-back-pain. Diakses pada September 8, 2024.
  5. Back Pain.  https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK538173/. Diakses pada September 8, 2024.

Versi Terbaru

30/09/2024

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Ini 14 Cara Berkesan Untuk Orang Perempuan Hilangkan Sakit Pinggang

5 Cara Hilangkan Sakit Pinggang Ketika Period Yang Ajaib! Tipnya Makan Coklat?


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 2 minggu lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan