Keluar lendir atau cecair faraj adalah normal selagi ia tidak mendatangkan bau kurang menyenangkan. Tetapi kalau keputihan warna hitam yang anda alami, adakah ia berbahaya?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Keputihan warna hitam, adakah ia membimbangkan?
Melihat cecair faraj berwarna hitam mungkin mendatangkan kerisauan tetapi ia bukanlah perkara pelik terutamanya pada tempoh kitaran haid.
Berikut antara keadaan yang boleh menyebabkan keputihan warna hitam kecoklatan:
1. Tanda bermula atau berakhir haid
Aliran haid mungkin perlahan pada awal dan akhir tempoh haid.
Apabila darah mengambil lebih masa untuk keluar daripada rahim, ia akan teroksida dan menyebabkan warnanya menjadi coklat gelap atau hitam. Malah ia mungkin seakan serbuk kopi.
Jika terdapat tompokan hitam sebelum pendarahan haid bermula, ia mungkin darah tersisa daripada haid terdahulu kerana faraj sedang membersihkan diri.
2. Objek tersekat atau tertinggal, punca keputihan warna hitam
Cecair faraj hitam ini mungkin petanda terdapat benda asing tersekat di dalamnya. Ia boleh berlaku jika anda terlupa mengeluarkan tampon, kondom atau alatan seks.
Lama-kelamaan, objek tersebut boleh mengganggu lapisan faraj dan menyebabkan jangkitan. Anda juga mungkin akan mengalami gejala lain seperti:
- Faraj berbau hanyir
- Rasa gatal sekitar dan dalam faraj
- Bengkak atau ruam sekitar faraj
- Kesukaran untuk kencing
- Demam
Jika benar terdapat objek tersekat, lakukan pemeriksaan doktor. Ini kerana dalam kes jarang berlaku, anda mungkin mengalami sindrom kejutan toksik – jangkitan berpotensi membawa maut.
3. Keputihan warna hitam akibat penyakit radang pelvis (PID) atau jangkitan lain
Penyakit kelamin (STD) seperti klamidia atau gonorrhea, boleh menyebabkan pendarahan dan lendir faraj abnormal.
Lendir yang banyak dalam pelbagai warna bersama bau busuk adalah antara gejala lain jangkitan ini, termasuk:
- Pendarahan semasa atau selepas hubungan seks
- Kencing yang menyakitkan
- Sakit pada bahagian pelvis
- Faraj gatal
- Tompokan antara tempoh haid
Tanpa rawatan, STD tidak akan hilang dan boleh merebak ke organ pembiakan menyebabkan PID.
PID yang tidak dirawat pula boleh mengakibatkan komplikasi seperti sakit pelvis kronik dan kemandulan.
4. Keputihan warna hitam kerana implantasi
Pendarahan awal kehamilan adalah perkara biasa dan dianggap sebagai pendarahan implantasi. Jika darah memerlukan masa untuk keluar daripada faraj, ia mungkin kelihatan hitam.
Walau bagaimanapun, jika pendarahan atau tompokan darah berkembang menjadi berat atau berlangsung untuk tempoh lama, lakukan pemeriksaan doktor.
5. Lochia
Darah selepas melahirkan anak dikenali sebagai lochia atau darah nifas – bagi individu beragama Islam.
Ia berlangsung antara 4-6 minggu dan bermula dengan aliran merah yang banyak bersama gumpalan darah kecil dan akan semakin berkurangan dari hari ke hari.
Bermula hari ke-4 dan seterusnya, lochia akan berubah warna kepada merah jambu atau coklat. Ketika aliran semakin perlahan, ia mungkin bertukar kepada coklat gelap atau hitam.
Lama-kelamaan, warnanya akan berubah menjadi krim atau kekuningan sebelum berhenti sepenuhnya.
Jika anda mengalami aliran pekat bersama gumpalan darah yang besar atau bau yang kurang menyenangkan selepas seminggu bersalin, berjumpalah doktor segera.
Baca juga: