Kantung kehamilan biasanya akan kelihatan pada imbasan ultrabunyi pada 3 hingga 5 minggu kehamilan atau pada saat nilai hCG mencapai 1,500 ke 2,000.
Jika dilakukan sebelum waktu atau tahap itu, walaupun ujian kehamilan menunjukkan positif, kemungkinan besar tidak akan ada kantung yang dapat dilihat semasa scan bayi dilakukan.
Tempoh masa yang salah adalah antara sebab paling biasa mengapa kantung bayi tersebut tidak dapat dilihat. Apabila melibatkan keadaan sebegini, ujian ultrabunyi susulan akan disyorkan.
Pun begitu, jika tempoh mengandung sudah melebihi 5 minggu atau capaian tahap hCG lebih 2,000, ketiadaan kantung kehamilan mungkin petanda kewujudan masalah tertentu.
Kehamilan ektopik
Apabila kantung tidak kelihatan di dalam rahim, ia berkemungkinan besar menandakan masalah kehamilan, iaitu kehamilan ektopik.
Ia keadaan yang boleh menimbulkan kebimbangan. Tetapi perlu diingatkan bahawa ketiadaan kantung mungkin berkaitan dengan waktu scan bayi yang salah.
Walau bagaimanapun, masalah kehamilan ektopik atau mengandung luar rahim akan dapat diatasi jika dapat dikesan pada peringkat awal.
Situasi ini boleh terjadi walaupun anda tidak mengalami sebarang simptom yang menjurus kehamilan ektopik.
Seorang doktor mungkin dapat mendiagnosis masalah kehamilan luar rahim dan akan menyarankan rawatan tanpa perlu melakukan ujian scan bayi susulan jika tahap hCG cukup tinggi.
Masalah kehamilan ini selalunya tidak dianggap kecemasan perubatan sekiranya dikesan lebih awal. Bahkan pilihan rawatan juga tidak semestinya melibatkan pembedahan.

Keguguran
Jika anda mengalami pendarahan pada awal kehamilan atau gejala keguguran lain, ketiadaan kantung kehamilan mungkin bermakna anda mengalami keguguran yang sangat awal.
Keadaan ini turut dikenali sebagai kehamilan kimia atau tisu kehamilan telah disingkirkan rahim.
Sekiranya berlaku penurunan kadar hCG dengan tiada penemuan kantung, diagnosis paling hampir adalah keguguran.
Seperti kehamilan ektopik, terdapat pelbagai pilihan rawatan tersedia jika anda kehilangan kandungan.
Pemeriksaan lanjut
Ketiadaan kantung kehamilan semasa scan bayi boleh jadi keadaan yang sukar untuk pakar menentukan dengan segera dan tepat akan puncanya.
Jadi adalah sesuatu yang wajar untuk anda berasa bimbang dan cemas, malahan mungkin kecewa.
Terdapat kemungkinan besar untuk anda diminta melakukan ujian scan bayi atau ultrabunyi susulan dan menjalani pemantauan tahap hCG bagi mendapatkan jawapan yang lebih jelas.