backup og meta

Kalau Nak 'Family Planning', Kena Tahu Waktu Subur Isteri Tau! Jom Fahami Kitaran Haid

Kalau Nak 'Family Planning', Kena Tahu Waktu Subur Isteri Tau! Jom Fahami Kitaran Haid

Dalam usaha untuk menimang cahaya mata, mengetahui waktu subur perempuan memainkan peranan yang amat penting untuk membolehkan persenyawaan berlaku. Dalam keadaan sebaliknya, mempunyai pengetahuan tentang waktu kesuburan wanita juga mustahak bagi mereka yang ingin mengelakkan kehamilan.

Berapa lama masa subur wanita?

Artikel ini bakal mengupas perihal waktu subur perempuan dengan lebih mendalam, teruskan pembacaan ya!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkan di sini.

Kitaran menstruasi…

Berapa lama masa subur wanita?

Haid, berlaku apabila endometrium yang merupakan lapisan rahim disingkirkan dan pendarahan keluar dari rahim melalui faraj.

Haid juga biasanya bermula semasa akil baligh bagi anak gadis, berusia antara 10 sehingga 16 tahun, dan akan berterusan sehingga seseorang wanita mengalami menopaus, sekitar umur 45 hingga 55 tahun.

Bagi purata kitaran haid (tempoh daripada awal haid hingga hari pertama haid yang seterusnya) pula, jangka waktu yang normal kebiasaannya adalah 28 hari, namun, ia mungkin berbeza bagi setiap individu.

Maka adalah normal untuk wanita mempunyai kitaran haid yang lebih pendek atau panjang.

Kitaran haid tidak teratur pula dapat dikenal pasti apabila tempoh kitaran melebihi 35 hari atau kitarannya menjadi tidak menentu.

Waktu subur perempuan, faham dengan lebih lanjut!

Sebelum kehamilan boleh berlaku, salah satu ovari kaum Hawa mesti melepaskan telur yang matang. Ini dipanggil ovulasi.

Jadi, apa itu ovulasi sebenarnya? Berapa lama masa subur wanita?

waktu subur perempuan
Waktu subur untuk hamil.

Ia merupakan 1 fenomena biologi di mana telur yang berada di dalam ovari keluar selepas matang kesan daripada perubahan hormon untuk disenyawakan dengan sperma.

Apabila telur dikeluarkan, ia akan bergerak ke tiub fallopian wanita. Semasa perjalanan ini, telur boleh disenyawakan dengan sperma lelaki.

Sekiranya tiada persenyawaan berlaku, sel tersebut akan mengalami fasa peluluhan (disintegration) dan dinding rahim yang menebal kelak, akan gugur sebagai darah haid.

Apabila ovari mengeluarkan telur matang, telur biasanya akan mati dalam masa 12 hingga 24 jam jika tidak disenyawakan oleh sperma.

Inilah sebabnya, penting untuk melakukan hubungan seks tepat sebelum dan sekitar waktu subur isteri.

Nak kenal pasti waktu subur dengan tepat, ayuh guna Kalkulator Ovulasi ini, lagi cepat dapat kira waktu subur anda!

Sedang merancang? Kenal pasti waktu subur perempuan

Untuk family planning, tempoh masa adalah segalanya! Waktu subur perempuan atau waktu subur isteri biasanya berlangsung sekitar 6 hari setiap bulan. Ini termasuk:

Setelah dibebaskan, telur dapat disenyawakan hingga 24 jam. Kedengarannya cukup mudah, bukan? Tapi, kadangkala ia boleh menjadi rumit.

Ketika haid, badan anda menyingkirkan lapisan rahim kerana kehamilan tidak berlaku pada kitaran yang terakhir.

Hormon yang diperlukan untuk mengekalkan kehamilan, seperti progesteron juga menjadi sangat rendah pada masa ini.

Pun begitu, badan anda sudah pun bersiap sedia untuk waktu subur yang seterusnya.

Sebilangan besar wanita mengalami ovulasi sekitar 12 hingga 14 hari selepas hari haid pertama.

Tetapi, ada juga wanita yang mengalami kitaran lebih pendek secara semula jadi. Mereka mungkin berovulasi secepat 6 hari setelah hari pertama haid terakhir mereka.

Walau bagaimanapun, kebanyakan wanita tidak mempunyai tanda ovulasi yang menonjol.

Ada sesetengah daripadanya mengalami gejala ovulasi seperti kejang pada bahagian bawah perut, keluar lendir berlebihan daripada faraj yang kurang likat, payudara terasa bengkak dan sakit, perubahan pada selera makan serta mood berubah-ubah.

waktu subur perempuan
Kit ujian kehamilan.

Justeru, bagi pasangan yang sedang merancang, cubaan bersenggama pada ‘waktu-waktu kemungkinan’ si isteri subur memainkan peranan penting!

Namun, usah pula hairan jika anda didapati hamil sebelum masuk fasa ovulasi.

Ini kerana perihal sperma lelaki juga boleh menjadi agak rumit. Selepas ejakulasi, sperma mampu bertahan di dalam badan wanita hingga 5 hari penuh, dan persenyawaan boleh berlaku sepanjang tempoh tersebut.

Oleh itu, walaupun anda belum menghampiri waktu ovulasi sepenuhnya, kehamilan masih berpotensi untuk berlaku!

Konklusi

Secara ringkasnya, anda boleh hamil pada bila-bila masa sepanjang kitaran menstruasi.
Waktu ovulasi adalah berbeza-beza, dan sperma juga kadangkala boleh menjadi agak ‘degil’ untuk kekal hidup di dalam faraj.

Bagi sebilangan wanita, ia mungkin menjadi berita baik dan untuk yang lain pula, mungkin sebaliknya…

Justeru, mengenal pasti waktu subur perempuan amatlah penting dan jika perlu, pengambilan langkah berjaga-jaga adalah kaedah terbaik untuk mendapatkan hasil yang anda mahukan.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Right time for sex. https://www.yourfertility.org.au/everyone/timing. Diakses pada Mac 25, 2024.
  2. Ovulation Calendar. https://americanpregnancy.org/ovulation-calendar/. Diakses pada Mac 25, 2024.
  3. Pregnancy – identifying fertile days. https://medlineplus.gov/ency/article/007015.htm. Diakses pada Mac 25, 2024.
  4. Ovulation Made Simple: A Four Phase Review. https://intermountainhealthcare.org/blogs/topics/intermountain-moms/2014/02/ovulation-made-simple-a-four-phase-review/. Diakses pada Mac 25, 2024.
  5. Ovulation Date Calculator. https://www.stanfordchildrens.org/en/topic/default?id=ovulation-date-calculator-41-OvulationCalc. Diakses pada Mac 25, 2024.

Versi Terbaru

02/09/2024

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Annes Nadia


Artikel Berkaitan

Ini Sebab Mengapa Asid Folik Penting Semasa Hamil, Ia Elak Kecacatan Bayi & Kurangkan Komplikasi

Nak Kehamilan Sihat, Kena Tahu Bacaan BSP Yang Normal Untuk Ibu Mengandung!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 02/09/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan