Proses ovulasi merujuk kepada pembebasan telur semasa menstruasi wanita. Tapi, macam mana mahu mengenal waktu ovulasi dan berapa lama ia berlangsung? Jom kenal pasti tanda tanda ovulasi!
Selalunya, golongan wanita akan mula cuba memahami dan mempelajari tanda ovulasi sedang terjadi apabila berniat untuk menimang cahaya mata atau hadapi kesulitan untuk hamil.
Tetapi, memahami proses ini secara terperinci akan dapat memberikan kalian gambaran melebihi sekadar aspek kesuburan.
Ini kerana, mempunyai kesedaran dan pemahaman yang mantap bakal membuatkan anda lebih faham dengan sebarang tanda ovulasi dan perubahan berkaitan hormon.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Apa itu ovulasi?
Proses ovulasi merupakan sebahagian daripada kitaran haid wanita. Ia berlaku apabila telur (ovum) dilepaskan dari ovari.
Apabila telur dilepaskan, ia mungkin atau tidak disenyawakan oleh sperma.
Sekiranya ya, telur itu bakal bergerak ke rahim dan melekat untuk membentuk kehamilan.
Namun jika ia tidak disenyawakan, telur akan hancur, lantas lapisan rahim digugurkan semasa haid.
Kepentingan memahami bagaimana dan bila ovulasi berlaku, dapat membantu anda mencapai atau mencegah kehamilan.
Ia juga berupaya membantu kalian mendiagnosis kondisi perubatan tertentu.
Proses ovulasi & konsepsi
Semasa ovari sedang bersedia untuk melepaskan telur, lapisan rahim (endometrium) bersiap siaga untuk menerima telur yang disenyawakan, atau embrio, dengan menebal.
Hormon badan pula membawa kepada penebalan dan perubahan endometrium.
Anda mungkin beranggapan, telur di ovari terbentuk daripada tahap pertama hingga ovulasi dalam satu-satu bulan, tetapi itu ternyata tidak benar.
Oosit setiap individu terhasil selama beberapa bulan.
Ia bakal melalui pelbagai peringkat sehingga tersedia untuk berovulasi, berhenti berkembang atau tidak lagi aktif.
Terdapat juga kesalahfahaman mengatakan, setiap ovari berovulasi secara bergantian setiap bulan.
Contohnya, pada bulan ini ovari kanan berovulasi. Kemudian, pada bulan berikutnya, giliran ovari kiri pula.
Hakikatnya, ovulasi berlaku tanpa mengira mana-mana belah, asalkan ia menghasilkan ovum yang paling matang pada bulan tersebut.
Bilakah seseorang wanita akan berovulasi?
Tanda ovulasi berhasil berapa hari? Ini semestinya sering menjadi persoalan buat sesetengah wanita yang masih keliru.
Ovulasi selalunya berlaku antara hari ke-11 dan ke-21 kitaran haid. Setiap wanita berovulasi mengikut ‘jadual menstruasi’ mereka tersendiri.
Anda mungkin pernah mendengar bahawa ovulasi berlaku pada hari ke-14 kitaran, kan? Tapi, itu hanyalah penanda aras secara purata.
Malah, wanita yang mempunyai kitaran haid selama 28 hari tidak selalunya alami ovulasi pada hari ke-14.
1 kajian mendapati, kurang daripada 10% wanita dengan kitaran 28 hari mengalami ovulasi pada hari ke-14!
Biasanya, ketika wanita mengatakan sedang berovulasi, mereka merujuk kepada masa subur terutama 2 hingga 3 hari sebelum ovulasi.
Sekiranya kita beranggapan bahawa ovulasi berlaku di antara hari ke-11 dan hari ke-21, waktu subur tambahan ini boleh berlaku seawal hari ke-9 kitaran haid dan selewat-lewatnya pada hari ke-22.
Inilah sebab mengapa kebanyakan wanita yang ingin hamil akan cuba mengesan tanda tanda ovulasi dan kesuburan.
Tanda tanda ovulasi yang perlu diperhatikan
Berikut adalah 6 tanda ovulasi yang harus anda perhatikan:
- Suhu badan basal akan menurun sedikit, kemudian naik semula.
- Tanda ovulasi seterusnya, lendiran serviks bakal menjadi lebih jelas dan nipis dengan konsistensi yang lebih licin ibarat putih telur.
- Serviks akan lembut dan terbuka.
- Anda mungkin merasakan kekejangan ringan di bahagian bawah perut.
- Nafsu seks mungkin meningkat.
- Vulva atau faraj yang kelihatan bengkak juga boleh menjadi antara tanda ovulasi.
Tip-tip konsepsi
#1. Minum air!
Dalam usaha mendapatkan zuriat, amat penting untuk minum banyak air (kira-kira 8 ke 10 cawan sehari)!
Ini dapat membantu buah pinggang menyingkirkan sisa buangan dari badan dan meningkatkan cairan serviks yang berkualiti.
#2. Kafein
Kafein berlebihan dikatakan dapat mengehad perkembangan pertumbuhan bayi dengan menyempitkan saluran darah dan mengurangkan aliran darah ke rahim.
Nasihat diberi adalah untuk membataskan pengambilan kafein di bawah 300mg sehari, bersamaan dengan 4 cawan kopi instant, 3 cawan kopi bancuh, atau 6 cawan teh.
#3. Senaman
Wanita yang kerap bersenam cenderung untuk tidak mengalami kesan sampingan kehamilan seperti sakit belakang, buasir, pergelangan kaki bengkak dan lain-lain.
Tubuh yang cergas dan sihat juga lebih cenderung untuk bersalin dengan lebih baik.
Namun, cari keseimbangan agar tidak bersenam secara berlebihan kerana boleh memicu masalah kesuburan seperti haid tidak teratur dan kitaran anovulatory (kitaran ovulasi tidak berlaku).
#4. Suplemen
Mengambil suplemen yang dirumus khas sebelum konsepsi akan memberi anda zat tambahan seperti, asid folik 400mcg dan nutrien lain seperti l-arginine vitamin D dan vitamin B12, yang menyokong keperluan pemakanan wanita yang cuba hamil.
#5. Seks
Lakukan seks dengan kerap, sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, kerana makin kerap anda mencuba, makin tinggi peluang untuk hamil!
Ingat! Kekal berbaring sekurang-kurangnya beberapa minit selepas bersama tingkatkan peluang untuk sperma ‘berenang’ mencari telur.
Ovum manusia, bagaimanapun, hanya hidup selama 24 jam. Jadi, ia mesti disenyawakan dalam tempoh 12 jam pertama selepas ovulasi agar persenyawaan berlaku!
Ini menjadi sebab mengapa anda perlu melakukan hubungan seks sebelum proses ovulasi.
Proses ovulasi wanita
- Ovulasi selalunya berlaku antara hari ke-11 dan ke-21 kitaran haid
- Wanita yang mempunyai kitaran haid selama 28 hari tidak selalunya alami ovulasi pada hari ke-14
[embed-health-tool-ovulation]