backup og meta

Lelaki Nak Subur, Ambil Madu Kelulut! Ada Ke Cara Khusus Untuk Makan?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/07/2022

    Lelaki Nak Subur, Ambil Madu Kelulut! Ada Ke Cara Khusus Untuk Makan?

    Ramai yang menyebut berkenaan khasiat madu kelulut. Tetapi, adakah terdapat cara makan madu kelulut untuk lelaki secara khusus?

    Bagi anda yang ingin tahu, ini penerangan yang kami sediakan berkenaan khasiat kelulut dan cara makan madu kelulut untuk lelaki.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini

    Lebah kelulut, adakah sama dengan lebah madu?

    Walaupun berasal daripada keluarga yang sama, lebah kelulut tidak sama dengan lebah madu.

    Antara perbezaan yang paling ketara ialah berkaitan sengatnya. Lebah madu mempunyai sengat manakala lebah kelulut pula tiada sengat.

    Oleh itu, dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai stingless bee yang membawa maksud lebah yang tidak bersengat.

    Selain itu, lebah kelulut juga disebut sebagai sweat bee atau sugarbag bee.

    Lebah kelulut biasanya berwarna hitam dan mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding lebah madu iaitu sekitar 5 mm sahaja.

    Sarang lebah kelulut pula dihasilkan daripada gabungan beberapa bahan seperti lilin, getah pokok dan juga resin atau damar.

    Lebah kelulut biasa membuat sarang di dalam lubang-lubang pokok. Selain itu, ia juga boleh membuat sarang di perabot-perabot kayu dan juga bangunan.

    Di Malaysia sahaja, terdapat lebih kurang 80 spesies lebah kelulut, namun kurang daripada 10 spesies sahaja yang berupaya dalam menghasilkan madu.

    Selainnya bertindak sebagai ejen pendebungaan bagi tumbuh-tumbuhan sahaja.

    Khasiat madu yang ramai tidak tahu

    cara makan madu kelulut untuk lelaki

    Di Malaysia, telah banyak kajian dilakukan untuk mengetahui khasiat-khasiat yang boleh didapati daripada madu kelulut.

    Ia bukan sahaja bermanfaat dari aspek pemakanan, malah mempunyai potensi yang positif dalam bidang perubatan.

    Berdasarkan analisis yang telah dijalankan sebelum ini, madu kelulut mengandungi beberapa bahan atau nutrisi yang baik untuk tubuh manusia.

    Antaranya ialah seperti vitamin C, fenilpropanoik, polifenol, dan juga mineral. Antara khasiat madu kelulut yang utama ialah: 

    #1. Bersifat antidiabetes

    Ramai yang kurang tahu bahawa antara khasiat madu kelulut ialah sifatnya yang antidiabetes.

    Jika anda mengambil madu kelulut, ia berkemampuan untuk mengawal paras gula darah yang meningkat selain merangsang penghasilan insulin.

    Hormon insulin amat penting dalam tubuh kerana ia berperanan memproses gula dalam darah agar ia dapat diserap dan digunakan oleh sel tubuh sebagai sumber tenaga.

    Tanpa insulin, gula darah akan terus berada di dalam darah dan boleh menyebabkan hiperglisemia. 

    #2. Berpotensi merawat masalah pada mata

    Berdasarkan kajian makmal, madu kelulut boleh membantu merencatkan pertumbuhan katarak pada mata.

    Namun begitu, kajian ini hanya dilakukan pada tikus sahaja dan masih banyak kajian mendalam diperlukan sebelum ia disahkan sesuai ke atas mata manusia. 

    #3. Mengurangkan jangkitan bakteria

    Selain itu, antara khasiat madu kelulut adalah mengelakkan jangkitan bakteria.

    Ini kerana, madu kelulut mempunyai ciri-ciri antibakteria yang boleh membantu menyembuhkan sebarang luka yang berlaku.

    Madu kelulut juga boleh menggalakkan pertumbuhan sel tisu baharu yang menyebabkan luka lebih cepat sembut. 

    #4. Membantu kesuburan lelaki

    Jangan terkejut kerana madu kelulut juga sebenarnya boleh membantu meningkatkan kesuburan lelaki.

    Walaupun begitu, ia bukanlah kaedah utama atau terbaik bagi mereka yang berusaha untuk mendapatkan zuriat.

    Madu kelulut hanya bertindak sebagai suplemen sahaja, bukannya sebagai rawatan utama bagi masalah kesuburan lelaki. 

    #5. Mempunyai sifat antikanser

    Madu kelulut mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi.

    Dalam kajian yang telah dilakukan sebelum ini, sifat antioksidan ini berupaya bertindak sebagai antikanser. Ia membantu menghalang pertumbuhan awal sel kanser.

    Jadi tidak hairan jika madu dianggap sebagai ejen kemopreventif.

    Ejen kemopreventif bermaksud penggunaan bahan semula jadi atau sintetik bagi tujuan mengurangkan risiko pembentukan kanser. 

    Adakah terdapat cara makan madu kelulut untuk lelaki secara khusus? cara makan madu kelulut untuk lelaki

    Walaupun madu kelulut mempunyai pelbagai khasiat, ia masih lagi dianggap sebagai gula tambahan kepada tubuh manusia.

    Oleh itu, pengambilan secara berlebihan masih boleh memberikan risiko negatif kepada tubuh badan anda.

    Bagi anda yang mencari cara makan madu kelulut untuk lelaki, sebenarnya tidak terdapat kaedah yang khusus atau tepat.

    Namun, Persatuan Jantung Amerika Syarikat (AHA) ada mencadangkan, lelaki dewasa tidak boleh mengambil lebih daripada sembilan sudu teh gula tambahan setiap hari yang bersamaan dengan 150 kalori.

    Gula tambahan ini termasuklah madu kelulut dan jenis gula lainnya.

    Oleh itu, pastikan anda tidak mengambil madu secara berlebihan setiap hari, lebih-lebih lagi jika anda sudah mengambil gula dalam hidangan atau minuman lain.

    Dalam masa yang sama, anda boleh mengikuti tip cara makan madu kelulut untuk lelaki seperti di bawah ini:

    • Gunakan madu kelulut sebagai ganti kepada gula apabila anda membancuh air
    • Gunakan madu sebagai ganti gula untuk sebarang dressing atau bahan perapan makanan
    • Sapukan madu pada hidangan roti bakar anda daripada menggunakan gula atau jem
    • Masukkan sedikit madu untuk memberikan rasa manis pada yogurt, bijirin atau oatmil anda
    • Cicah lempeng atau pankek bersama madu kelulut berbanding krim atau jem buah-buahan

    Tiada cara makan madu kelulut untuk lelaki khusus, tetapi hadkan pengambilan madu

    Kesimpulannya, tidak terdapat cara makan madu kelulut untuk lelaki secara khusus. Namun, anda boleh mengamalkan tip yang telah kami sediakan di atas ini.

    Walaupun tinggi khasiat, anda masih perlu mengawal pengambilan madu kelulut.

    Kongsi artikel ini kepada individu yang mencari cara makan madu kelulut yang betul. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan