backup og meta

Pap Smear, Bantu Kesan Kanser Serviks

Pap Smear, Bantu Kesan Kanser Serviks

Serviks merupakan kawasan pada bahagian wanita, antara faraj dan rahim. Apabila sel-sel di serviks menjadi tidak normal dan cepat berkembang, kanser serviks boleh berlaku – ia boleh mengancam nyawa jika tidak dikesan atau tidak dirawat. Sesetengah jenis virus, yang dikenali sebagai virus human papillomavirus (HPV) adalah penyebab utama hampir kesemua kes kanser serviks. Pemeriksaan Pap Smear boleh membantu untuk mengesan kanser serviks pada peringkat awal.

Artikel ini akan membantu anda untuk mengetahui tentang apakah itu ujian pap.

Apa itu Pap Smear?

Pap Smear atau ujian Pap ialah prosedur pemeriksaan dan sejenis ujian saringan yang dijalankan bagi kanser serviks. Seperti ujian saringan yang lain, ia bertujuan mengesan penyakit kanser serviks dengan awal agar rawatan dapat diberikan dengan lebih efektif.

Untuk lebih spesifik, ia mengesan kewujudan sel-sel pramatang atau kanser yang berlaku di serviks – pada bahagian pembukaan uterus. Semasa membuat Pap, doktor akan ‘mengikis’ atau mengambil sedikit sel-sel dari serviks anda dan akan mengujinya untuk pertumbuhan yang tidak normal.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Institut Kanser Negara, kanser serviks adalah antara 10 kanser paling kerap di Malaysia dengan kedudukan ke-7. Dengan mengesannya pada tahap awal, banyak nyawa akan dapat diselamatkan.

Sebab perlu lakukan ujian Pap Smear

Sama ada lelaki mahupun wanita boleh mendapat jangkitan HPV (Human Papillomavirus) melalui hubungan seks. Bagi individu yang aktif secara seksual adalah amat berisiko untuk dijangkiti HPV dan melakukan ujian Pap ini adalah amat penting, sekurang-kurangnya setiap 3 tahun sekali.

Ujian Pap tidak boleh digunakan untuk mengesan jangkitan menular seksual lain. Namun, kadang-kadang, ia dapat mengesan pertumbuhan sel yang boleh menyebabkan kanser lain.

Bagaimana ujian ini dijalankan?

pap smear

Serviks atau pangkal rahim terletak di antara rahim dan faraj (vagina).

Spekulum dimasukkan ke dalam faraj untuk membuka faraj supaya serviks lebih mudah diakses. Kemudian, sel permukaan serviks akan diambil menggunakan spatula atau berus serviks. Sel tersebut seterusnya dihantar ke makmal untuk pemeriksaan.

Ujian ini tidak mengambil masa yang lama, sekitar 5 minit sahaja dan tidak menyakitkan. Mungkin hanya menyebabkan sedikit ketidakselesaan. Anda haruslah tidak melakukan hubungan seksual 24 jam sebelum ujian. Elakkan juga penggunaan gel spermisid sehari sebelum ujian.

Keputusan ujian selalunya mengambil masa selama beberapa minggu.

Siapakah harus melakukan ujian Pap Smear?

Kebiasaannya individu wanita yang mencapai usia 20 tahun hingga 65 tahun dan pernah menjalankan hubungan seks adalah digalakkan untuk melakukan ujian Pap ini.

Risiko mendapat kanser serviks meningkat jika anda:

  • Menghidap HIV
  • Sistem imun lemah disebabkan kemoterapi atau pemindahan organ

Sekiranya anda HIV positif atau mempunyai sistem imunisasi badan yang lemah akibat kemoterapi atau pemindahan organ, doktor boleh memberikan lebih banyak ujian kepada anda kerana terdapat risiko tinggi untuk mendapat jangkitan dan kanser.

Pemeriksaan Pap ini dijalankan setiap 3 tahun sekali. Jika keputusan adalah normal sehingga umur 65 tahun, anda boleh berhenti menjalaninya.

Untuk individu berusia 30 tahun dan telah menjalani ujian ini yang normal 3 kali berturut-turut, boleh mendapatkan pandangan doktor sama ada anda boleh mendapatkan satu ujian untuk setiap 5 tahun jika ujian digabungkan dengan pemeriksaan HPV.

pap smear

Wanita yang berusia lebih 65 tahun dengan sejarah ujian yang normal, boleh berhenti menjalani ujian ini pada masa hadapan.

Walaupun anda menjalani hubungan monogami, iaitu hubungan seks dengan hanya satu pasangan, anda masih perlu menjalani ujian Pap kerana HPV boleh menjadi tidak aktif untuk satu tempoh masa yang lama dan kemudian menjadi aktif secara tiba-tiba.

Apakah maksud keputusan ujian Pap?

pap smear

Selepas mengambil ujian, hasil yang diperolehi boleh menjadi normal atau tidak normal (abnormal). Jika keputusan anda adalah normal, anda mungkin tidak perlu melakukan ujian Pap smear ini selama 3 tahun lagi.

Keputusan normal bermakna tiada sel abnormal yang dikesan. Ia kadangkala disebut sebagai negatif. Keputusan normal bermakna anda hanya perlu menjalani ujian seterusnya selepas 3 tahun.

Bagi keputusan abnormal pula, ia tidak semestinya bermakna anda mempunyai kanser. Ia hanya bermakna terdapat sel abnormal pada serviks anda dan ada kemungkinan kanser. Sel abnormal tersebut mungkin salah satu daripada berikut:

  • Atipikal.
  • Ringan.
  • Sederhana.
  • Displasia teruk.
  • Karsinoma-in-situ.

Bergantung kepada keputusan anda, doktor mungkin akan mencadangkan dan meminta anda untuk ujian dilakukan dengan lebih kerap, atau menjalankan prosedur kolposkopi. Prosedur ini membolehkan doktor melihat serviks anda dengan lebih dekat, atau biopsi mungkin dilakukan. Ia adalah untuk memberikan diagnosis lanjut.

Pap smear adalah tepat dan jitu, malah ujian ini akan mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit kanser serviks sebanyak 80 peratus. Seperti kebanyakan ujian kesihatan yang lain, prosedur ujian ini mungkin mendatangkan ketidakselesaan, bagaimanapun, rasa tidak selesa itu boleh membantu mengesan sebarang perkara tidak normal dalam badan anda.

Individu dewasa, terutama mereka yang berusia lebih 20 tahun dan ke atas perlu mendapatkan ujian ini secara teratur kerana dapat mengesan penyakit tertentu yang memerlukan rawatan segera.

Jika anda mempunyai kebimbangan atau pertanyaan, sila berjumpa doktor anda untuk mendapatkan nasihat perubatan, diagnosis dan pemeriksaan lanjut.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Pap Test. https://www.hopkinsmedicine.org/health/treatment-tests-and-therapies/pap-test. Accessed on June 17, 2019.

Pap smear. https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/pap-smear/about/pac-20394841. Accessed on June 17, 2019.

Cervical Cancer Screening. https://www.acog.org/womens-health/faqs/cervical-cancer-screening. Accessed on June 17, 2019.

Pap Smear. https://my.clevelandclinic.org/health/diagnostics/4267-pap-smear. Accessed on June 17, 2019.

Pap Smears. https://kidshealth.org/en/teens/pap-smears.html. Accessed on June 17, 2019.

Versi Terbaru

29/09/2022

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Ujian Pap Smear Untuk Kesan Kanser Serviks, Tapi Boleh Juga Ke Wanita Nak Check Kanser Ovari?

Belum Berkahwin & Masih Dara, Bolehkah Lakukan Ujian Pap Smear?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 29/09/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan