Pastinya anda berasa tertekan apabila haid terlewat daripada biasa. Tetapi kenapa period lambat, ya? Sebab paling jelas, sudah tentulah kehamilan, namun sebenarnya terdapat keadaan lain yang boleh menjadi puncanya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Tempoh lewat haid
Sesetengah wanita mungkin boleh meramal dengan tepat tentang hari kedatangan haid mereka. Namun, ia bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan jika haid lewat satu atau dua hari.
Secara purata, kitaran ini adalah 28 hari, tetapi ia boleh menjadi antara 21 hingga 35 hari.
Ini bermakna jika kitaran haid pada bulan ini adalah 28 hari dan bulan seterusnya sebanyak 26 hari, anda tidak perlu panik!
Haid anda dianggap lewat jika:
- Lebih 35 hari dari hari pertama haid terakhir
- Kitaran haid adalah teratur dan period lewat lebih daripada tiga hari
Kenapa period lambat? Ini antara puncanya
Berikut adalah beberapa faktor yang boleh menjadi penyebab haid lambat:
1. Kehamilan, punca period lambat
Jika tidak hamil, badan akan menyingkirkan lapisan rahim setiap bulan – keluar sebagai darah haid.
![Kehamilan menjadi salah satu punca period lambat datang.](https://cdn.hellodoktor.com/wp-content/uploads/2023/07/34d75c03-kenapa-period-lambat-2.jpg)
Tetapi sekiranya mengandung, lapisan rahim – tempat telur disenyawakan dan membesar – akan menebal dan mengembangkan lebih banyak saluran darah.
Lapisan tersebut akan terus berkembang untuk menyokong dan menyuburkan janin, sekali gus menjadi punca period lambat 1 minggu.
2. Diet & senaman melampau punca kenapa period lambat
Pemakanan sihat dan senaman secara berkala bagus untuk kesihatan.
Tetapi jika dilakukan secara berlebihan, badan mungkin akan menghentikan haid anda – sekurang-kurangnya buat sementara waktu.
Ini adalah cara tubuh memberitahu bahawa ia tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk menyokong kehamilan.
Jika haid terhenti kerana penurunan berat badan, diet atau senaman, ini bermakna anda mengalami amenorea sekunder.
Amenorea sekunder bererti anda pernah mengalami haid, tetapi telah berhenti. Keadaan ini boleh berlaku jika:
- Mengamalkan diet melampau dan terhad kalori
- Mengalami gangguan pemakanan seperti anoreksia atau bulimia
- Penurunan berat secara mendadak
- Jalani latihan berat, seperti untuk maraton
3. Sindrom ovari polisistik (PCOS) juga punca period lambat
Merupakan ketidakseimbangan hormon yang mengganggu keupayaan badan untuk mengeluarkan telur – disebut sebagai proses ovulasi. Tanpa ovulasi, biasanya anda tidak akan mengalami haid.
![Kenali komplikasi dan kesan PCOS.](https://cdn.hellodoktor.com/wp-content/uploads/2023/07/a54306fd-kenapa-period-lambat-4-1024x1024.jpg)
Kebanyakan wanita PCOS mengalami haid tidak teratur, lewat atau tiada langsung pendarahan. Simptom lain termasuklah:
- Jerawat
- Tumbuh rambut secara berlebihan pada muka atau badan
- Rambut menipis
- Pertambahan atau kesukaran menurunkan berat
Kenapa period lambat? #4. Stres
Tekanan yang berlebihan bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan mental, tetapi juga memberikan kesan kepada fizikal, seperti lewat atau tiada langsung haid.
Antara contoh tekanan utama seperti:
- Kematian individu tersayang
- Peperiksaan sekolah atau kolej
- Tekanan kerja, termasuklah kehilangan pekerjaan atau persekitaran pejabat toksik
- Peristiwa kehidupan utama seperti perkahwinan atau perceraian
5. Pencegah kehamilan hormon penyebab kenapa period lambat
Hormon kontraseptif mengandungi progestin atau gabungan progestin dan estrogen – dua hormon yang berfungsi untuk mencegah kehamilan.
Sesetengah kawalan kelahiran hormon boleh menyebabkan haid palsu – dikenali sebagai withdrawal bleeding. Ia berlaku apabila anda tidak mengambil sebarang pil, cincin atau tampalan.
Tetapi jika anda mengamalkan kontraseptif secara berterusan, anda mungkin mengalami tompokan darah ringan atau tiada langsung haid.
Bagi mereka yang menggunakan kaedah kawalan kelahiran lain seperti alat dalam rahim IUCD atau implan perancang, mengalami amenorea adalah keadaan yang normal dan selamat.
6. Keadaan tiroid antara punca period lambat
Kelenjar tiroid adalah kelenjar berbentuk rama-rama pada pangkal leher. Ia merupakan salah satu daripada banyak mekanisme hormon yang membantu menentukan haid.
Jika ia terlalu aktif – hipertiroid – atau kurang aktif – hipotiroid – anda mungkin mengalami pendarahan haid lewat.
Keadaan ini adalah perkara biasa. Ia boleh menyebabkan haid tidak teratur atau tiada langsung pendarahan. Ada kalanya ia disalahertikan sebagai menopaus.
7. Perimenopaus juga punca period lambat
Peralihan kepada fasa menopaus boleh berlangsung antara satu atau dua tahun dan mungkin lebih daripada itu.
Pada waktu ini, kitaran haid boleh menjadi antara 25 hari sebulan dan 29 hari untuk kitaran seterusnya.
Purata umur menopaus adalah 51 tahun, jadi fasa perimenopaus selalunya bermula pada usia 40-an atau 50-an.
Gejala lain yang boleh dialami termasuklah:
![Hot flushes adalah rasa panas yang tiba-tiba pada bahagian atas tubuh anda.](https://cdn.hellodoktor.com/wp-content/uploads/2023/07/b10bd4b0-kenapa-period-lambat-3.jpg)
- Rasa panas (hot flashes)
- Insomnia
- Perubahan mood
- Kekejangan
- Berpeluh malam
- Kekeringan faraj
Kenapa period lambat? Normal ke kalau haid lambat?
Perbezaan beberapa hari dalam kitaran haid bukanlah masalah besar, ia sering dialami kebanyakan wanita.
Pun begitu, punca kenapa period lambat boleh disebabkan oleh masalah perubatan.
[embed-health-tool-ovulation]