backup og meta

Suami Isteri, Take Note 10 Perkara Ini Kalau Sayangkan Perkahwinan Anda!

Perkahwinan bukan sekadar hubungan fizikal antara lelaki dan perempuan. Tetapi ia sarat dengan komitmen dan tanggungjawab yang perlu dipikul suami dan isteri. Malangnya, banyak tanggungjawab suami isteri dalam rumah tangga yang sering kali diabaikan pada masa kini.

Dalam perkongsian artikel ini, akan dikongsikan antara peranan yang sering terlepas pandang dalam hubungan suami isteri.

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mental, boleh klik di sini.

Tanggungjawab suami isteri dalam perkahwinan

Setiap pasangan suami isteri perlu menyedari bahawa masing-masing mempunyai tanggungjawab dan hak tersendiri dalam institusi perkahwinan.

Tanggungjawab berkait rapat dengan hak. Hak bagi seorang suami merupakan tanggungjawab bagi seorang isteri. Begitu jugalah hak seorang isteri adalah peranan untuk seorang lelaki bergelar suami tunaikan.

Setiap hak merangkumi kewajipan dan tanggungjawab. Disebabkan itu setiap usaha menuntut hak, mestilah diseimbangkan dengan tanggungjawab. Hal ini demikian kerana dalam menuntut hak daripada individu lain, terdapat pula tanggungjawab kita untuk tunaikan hak mereka.

Dalam Islam sendiri, setiap suami wajib melayani isterinya dengan baik dan setiap isteri juga wajib taat dan melayani suami dengan sebaiknya.

Jadi apa antara tugas suami isteri dalam rumah tangga yang sering kali diabaikan ya?

Tanggungjawab suami isteri: Peranan suami terhadap isteri

Tanggungjawab suami terhadap wanita bergelar suri hati sangat besar dan berat. Oleh itu, amat penting untuk setiap lelaki yang bergelar suami memahami dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap isteri dengan sebaik mungkin.

Berikut antara tanggungjawab seorang suami kepada pasangannya yang selalunya terlepas pandang:

1. Nafkah zahir dan batin

Nafkah zahir merangkumi keperluan asas seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan perubatan. 

Ramai suami beranggapan tidak perlu memberikan nafkah kepada isteri jika bekerja atau mempunyai jawatan lebih besar. Namun tanggapan itu salah sama sekali kerana suami tetap bertanggungawab menyediakan keperluan asas isteri, tanpa mengira mereka bekerja atau tidak.

tanggungjawab suami isteri
Tempat tinggal selesa dan selamat merupakan antara keperluan asas penting dalam perkahwinan.

Dalam masa sama, nafkah bukan hanya melibatkan keperluan fizikal, ia turut merangkumi agama, rohani, sokongan emosi, kasih sayang dan seksual.

Tanggungjawab suami isteri #2. Ringankan beban

Sekarang ini banyak kita dengar luahan si isteri yang suami tidak membantu dalam melakukan tugasan rumah. 

Walaupun kita sering menganggap menguruskan hal rumah tangga adalah tugas isteri, tetapi suami juga perlu membantu meringankan beban mereka. 

Suami boleh hulurkan tangan untuk melakukan tugasan rumah seperti memasak, mencuci, membersihkan rumah, waima menjaga anak sekalipun. Malah jika mampu, mengupah pembantu rumah atau pengasuh anak juga antara cara untuk meringankan beban isteri.

3. Didikan agama dan kemahiran diri

Memberikan didikan agama kepada isteri dan anak-anak adalah antara tanggungjawab suami. Ia sering menjadi antara perkara diabaikan oleh kebanyakan lelaki pada masa kini.

Suami juga perlu mendorong isteri mempertingkatkan kemahiran diri dalam bidang lain seperti kerjaya dan hidup. Berikan sokongan moral dan kewangan untuk isteri melanjutkan pelajaran atau menghadiri kursus.

4. Hormat dan layanan baik dalam tanggungjawab suami isteri

Suami perlu melayan isteri dengan penuh adab dan hormat. Peranan dan sumbangan isteri dalam menguruskan rumahtangga dan membesarkan anak perlulah diiktiraf. Hargai pandangan dan pendapat isteri dalam membuat keputusan bersama.

Amalkan pertuturan yang baik semasa bercakap dengan isteri. Elakkan perbuatan memaki hamun, mencarut, bercakap kasar, kerana semua itu adalah bentuk layanan tidak baik.

5. Maruah dan kehormatan

Sebagai suami, anda seharusnya menjaga maruah dan kehormatan isteri dan keluarga. Jangan bercerita tentang kelemahan atau kekurangan isteri kepada individu lain.

Manakala tanggungjawab suami dalam Islam pula adalah untuk menyediakan dan memastikan pakaian yang dipakai suri hati dan keluarga menutup aurat serta patuh pada syariat.

tanggungjawab suami isteri
Suami isteri harus saling menghormati dan memahami tanggungjawab masing-masing.

Tanggungjawab isteri terhadap suami

Dalam soal tanggungjawab suami isteri, seorang isteri pula memikul peranan yang sama pentingnya dengan suami. Jom ketahui apa antara tanggungjawab isteri yang sering diabaikan pada masa kini.

6. Taat dan patuh

Sebagai seorang isteri, adalah menjadi tanggungjawab untuk mematuhi arahan dan keputusan pasangan selagi ia tidak melanggar batas-batas agama serta melibatkan perkara baik.

Namun dalam masa sama, anda masih boleh menyuarakan pendapat atau pandangan, tetapi masih perlu menghormati kedudukan suami.

7. Berhias diri

Antara tanggungjawab isteri yang sering diabaikan adalah untuk menjaga penampilan buat pasangannya. Ini termasuk aspek kebersihan diri, berpakaian kemas serta mengenakan wangian yang disukai suami.

Malangnya masa pada kini, lebih ramai wanita yang berhias ketika keluar rumah berbanding semasa di rumah.

Tanggungjawab suami isteri #8. Makanan dan waktu tidur

Menyediakan makanan berkhasiat dan memastikan suami mendapat tidur yang mencukupi antara peranan seorang isteri.

Kedua-dua aspek ini penting demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan suami bagi memastikan mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

9. Keperluan batin 

Seks adalah hak suami dan isteri dalam perkahwinan. Seorang isteri bertanggungjawab melayani keperluan batin suami dengan rela dan tanpa paksaan. 

tanggungjawab suami isteri
Kesilapan yang perlu dielakkan agar rumah tangga kekal harmoni.

Namun jika ada sebab munasabah seperti mengalami haid atau terlalu letih, tidak menjadi masalah untuk menolak permintaan suami. Tetapi lakukan dengan cara yang baik.

10. Kehormatan dan harta

Jika suami yang perlu menjaga maruah dan kehormatan isteri, maka begitu juga sebaliknya.

Isteri perlu tahu menjaga rahsia keluarga dan tidak membicarakan perkara peribadi kepada orang luar serta menjaga tingkah laku dan pergaulan agar tidak mencemarkan nama baik suami dan keluarga. Dalam soal harta pula, berjimatlah ketika berbelanja dengan harta suami.

Tanggungjawab suami isteri demi kebahagiaan bersama

Hak dan tanggungjawab yang lahir dalam sebuah perkahwinan bermatlamat untuk menjaga hubungan dan kebahagiaan ikatan tersebut. 

Setiap suami dan isteri ada peranan dan hak masing-masing yang harus dihormati. Hubungan cinta dan kasih sayang pastinya akan erat jika setiap pasangan memahami tanggungjawab dan konsisten melaksanakannya.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Hak-Hak Isteri Dalam Perkahwinan Menurut Al-Quran Dan Al-Sunnah https://oarep.usim.edu.my/server/api/core/bitstreams/7b65cc66-b3c0-4301-9c8b-4ee25356066c/content/. Diakses pada April 30, 2025.
  2. Hak Suami Isteri dalam Perkahwinan Islam: Analisis menurut Fiqh. https://e-journal.uum.edu.my/index.php/jgd/article/download/14025/3185/. Diakses pada April 30, 2025.
  3. Mutual Rights and Responsibilities of Spouses. https://al-islam.org/introduction-rights-and-duties-women-islam-ibrahim-amini/mutual-rights-and-responsibilities-spouses. Diakses pada April 30, 2025. 
  4. Duties of Husbands and Wives. https://www.gracegems.org/29/duties_of_husbands_and_wives.htm. Diakses pada April 30, 2025.
  5. 14 Tanggungjawab Suami kepada Isteri Selepas Berkahwin. https://rona.my/tanggungjawab-suami-kepada-isteri/. Diakses pada April 30, 2025.
  6. 20 Tanggungjawab Isteri kepada Suami Selepas Berkahwin. https://rona.my/tanggungjawab-isteri-kepada-suami/. Diakses pada April 30, 2025. 
  7. Tanggungjawab Suami. https://ohballoon.my/tanggungjawab-suami/. Diakses pada April 30, 2025. 
  8. Roles & Decision Making In Marriage. https://accounseling.org/marriage/preparingformarriage/roles-responsibilities-decision-making-in-marriage/. Diakses pada April 30, 2025.
  9. Rights of Husband and Rights of Wife in Islam. https://islamqa.info/en/answers/10680/rights-of-husband-and-rights-of-wife-in-islam. Diakses pada April 30, 2025.

 

Versi Terbaru

05/05/2025

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Annes Nadia


Artikel Berkaitan

Sudah Berkahwin Tak Bermakna Anda Boleh Terus Terjah Pasangan! Kena Minta Izin Sebelum Seks

Jujur Kunci Kebahagian Rumah Tangga, Ini 5 Kepentingan Kejujuran Dalam Perhubungan!


Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor · · · Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Dikemas kini 05/05/2025

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan