Definisi
Apa itu gangguan kegelisahan (anxiety disorder)?
Penyakit kegelisahan adalah sekumpulan penyakit mental yang melibatkan reaksi kegelisahan dan keresahan yang melampau. Kegelisahan dan keresahan yang dialami ini boleh menjadi terlalu teruk sehingga menyebabkan gangguan kepada fungsi harian penghidap. Terdapat beberapa jenis penyakit mental di bawah kumpulan besar gangguan kegelisahan ini. Antaranya adalah:
Gangguan kegelisahan umum (GAD)
Untuk seseorang itu disahkan menghidap GAD, mereka perlu mengalami kegelisahan melampau dalam tempoh 6 bulan yang lalu (dengan lebih banyak hari mengalami simptom berbanding tidak mengalami simptom). Kegelisahan ini disebabkan oleh aktiviti atau majlis pelbagai jenis (seperti persembahan di tempat kerja atau di sekolah).
Seperti penyakit lain dalam kumpulan besar gangguan kegelisahan, penghidap GAD akan mempunyai masalah dan kesukaran dalam mengawal simptom mereka. Simptom-simptom ini menyebabkan gangguan dalam keupayaan seseorang itu untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
Gangguan kegelisahan sosial atau fobia sosial
Gangguan kegelisahan sosial ini dicirikan oleh rasa takut, gemuruh dan gelisah yang melampau akibat daripada situasi sosial. Situasi sosial ini membabitkan penghidap itu diperhatikan orang seperti ketika memberi ucapan, ketika berbual dengan orang yang tidak dikenali atau diperhatikan ketika sedang makan atau minum.
Gangguan Panik (Panic disorder)
Dalam gangguan panik, ciri utama penyakit mental ini adalah serangan panik berulang yang berlaku secara tiba-tiba dan memuncak dalam masa yang sangat singkat. Serangan panik ini diikuti oleh simptom-simptom fizikal yang mungkin sama dengan simptom keadaan kesihatan yang lain seperti serangan jantung, gangguan saraf dan juga sesak nafas.
Fobia khusus merujuk kepada rasa takut yang khusus terhadap sesuatu perkara. Fobia ini boleh tertumpu kepada suatu perkara, objek ataupun situasi. Contohnya, fobia terhadap suntikan jarum, fobia terhadap badut atau fobia terhadap kawasan tinggi. Apabila berada dalam keadaan atau pencetus fobia ini, rasa takut, gemuruh dan gelisah yang mendadak memuncak dengan cepat. Sebagai tindak balas, penghidap akan menjauhkan diri mereka daripada perkara-perkara yang dapat mencetuskan fobia mereka.
Apakah kebarangkalian trauma?
Data global menunjukkan 24.9% daripada orang dewasa mengalami salah satu daripada penyakit dalam kumpulan besar gangguan kegelisahan. Sekitar 7 juta rakyat Malaysia menghidapinya. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Ketahui simptom-simptomnya
Apakah simptom-simptom kegelisahan?
Simptom kegelisahan bergantung kepada jenis penyakit yang tergolong dalam kumpulan besar gangguan kegelisahan. Berikut adalah simptom-simptom yang boleh berlaku mengikut jenis-jenis penyakit kegelisahan yang ada:
Gangguan kegelisahan umum
Terdapat 6 simptom untuk GAD dan diagnosis boleh dibentuk jika seseorang itu hanya memiliki 3 atau lebih simptom yang berlaku dengan banyaknya dalam tempoh 6 bulan yang lalu. Simptom-simptom tersebut adalah:
- Rasa cemas dan sentiasa resah.
- Cepat penat dan kerap rasa letih.
- Suka untuk fokus pada suatu tugas.
- Tegang otot.
- Gangguan tidur.
- Mudah terganggu (Irritability).
Gangguan panik
Ketika serangan panik berlaku, 4 atau lebih simptom di bawah boleh dizahirkan oleh si penghidap:
- Jantung berdegup laju.
- Berpeluh.
- Bergetar.
- Rasa lemas dan/atau sesak nafas.
- Rasa tercekik.
- Sakit dada.
- Mual atau rasa tidak sedap perut.
- Rasa ingin pitam.
- Rasa dingin atau panas.
- Rasa kebas atau semut-semut pada badan.
- Derialisasi (rasa seolah-olah terputus daripada realiti atau diri sendiri)
- Rasa takut akan hilang kawalan atau akan menjadi gila.
- Rasa takut akan kematian.
Tambahan kepada simptom-simptom di atas, mereka yang menghidap gangguan panik turut mengalami salah satu atau kedua-dua perkara di bawah dalam tempoh 1 bulan yang lalu:
- Kerisauan yang berterusan tentang kemungkinan serangan panik di masa akan datang dan juga kesannya terhadap diri penghidap (kematian, serangan jantung dan lain-lain).
- Perubahan tingkah laku maladaptif yang signifikan. Perubahan tingkah laku ini terjadi untuk menekan atau menghalang cetusan serangan panik.
Fobia sosial
Antara simptom untuk fobia sosial adalah seperti berikut:
- Gugup berlebihan ketika melakukan interaksi sosial.
- Rasa cemas dan takut yang melampau selama berhari-hari, minggu ataupun bulan.
- Ketakutan atau rasa resah yang melampau apabila diperhatikan atau dinilai oleh orang lain, khususnya orang yang tidak dikenali.
- Menghindari pandangan mata ketika berbicara dengan orang lain atau dalam khalayak ramai.
- Memilih untuk berdiam diri atau bersembunyi bagi mengelakkan diri daripada orang lain.
- Menjauhkan diri daripada aktiviti sosial dan keramaian.
- Sesak nafas.
- Rasa mual dan/atau tidak sedap perut.
- Mimik wajah yang malu atau merah menandakan rasa takut apabila diminta untuk bercakap di khalayak ramai.
Fobia khusus
Simptom untuk fobia khusus hanya berlaku apabila terjadinya pendedahan kepada objek atau situasi yang menjadi fobia kepada seseorang itu. Penghidap sama ada akan melalui fobia tersebut dengan penuh rasa takut yang cukup kuat atau bertindak dengan mengelak situasi atau perkara tersebut semampu boleh. Secara amnya, mereka yang mengalami fobia khusus akan menzahirkan simptom seperti berikut:
- Jantung berdegup laju dan sesak nafas.
- Berpeluh.
- Rasa mual atau loya.
- Rasa marah dan takut yang membuak-buak ketika terdedah kepada keadaan fobia.
- Rasa ingin pitam.
Penting untuk diingati bahawa diagnosis penyakit-penyakit di atas hanya dapat dibuat setelah kemungkinan penyakit fizikal lain telah disingkirkan (seperti hipertiroid dan penyakit jantung).
Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.
Bila saya harus berjumpa doktor?
Segera bertemu dengan doktor jika anda mengalami perkara-perkara di bawah:
- Anda berterusan diserang oleh rasa gelisah sehingga mengganggu aktiviti harian.
- Rasa cemas yang sukar untuk ditangani.
- Stres kronik, ketagihan alkohol, penggunaan dadah atau memiliki masalah mental yang lain.
- Mempunyai rasa untuk mencederakan diri sendiri atau bunuh diri.
Jika anda mengalami mana-mana tanda dan simptom yang disenaraikan di atas atau anda mempunyai sebarang persoalan, sila berunding dengan doktor anda. Setiap tubuh manusia bertindak dengan berbeza. Oleh itu, cara yang terbaik adalah untuk berbincang dengan doktor anda bagi menentukan penyelesaian terbaik untuk situasi anda.
Ketahui puncanya
Apa yang mengakibatkan gangguan kegelisahan?
Punca kepada gangguan ini tidak diketahui dengan tepat. Namun yang demikian, pengkaji berpendapat bahawa ia dipengaruhi oleh faktor genetik. Selain itu, pengalaman lampau yang traumatik turut berupaya untuk mencetuskannya. Keadaan kesihatan tertentu juga turut mempengaruhi kemungkinan untuk mengalami gangguan kegelisahan.
Ketahui faktor risiko
Apa faktor yang meningkatkan risiko saya?
Faktor risiko untuk kegelisahan bergantung kepada jenis penyakit kegelisahan tersebut. Secara amnya, perkara-perkara berikut dapat meningkatkan risiko anda untuk menghidap kegelisahan:
Trauma masa lampau. Trauma ketika kecil akibat pengalaman seperti gangguan seksual, penceraian, pembunuhan dan menyaksikan perkara ngeri lain boleh mencetuskan kegelisahan di masa akan datang.
Genetik. Mempunyai sejarah keluarga yang kuat dapat meningkatkan risiko anda untuk mengalami penyakit kegelisahan.
Keperibadian tertentu. Orang yang mempunyai keperibadian tertentu lebih cenderung untuk menghidap gangguan kegelisahan berbanding orang lain.
Mengalami penyakit mental yang lain. Penyakit mental lain seperti kemurungan dan bipolar boleh meningkatkan kemungkinan anda untuk menghidap kegelisahan.
Penggunaan ubat, dadah atau alkohol. Penyalahgunaan bahan terlarang dan juga ubat tertentu boleh menyebabkan anda lebih cenderung untuk menghidap kegelisahan berbanding orang lain.
Diagnosis dan rawatan
Bagaimana gangguan kegelisahan didiagnosis?
Diagnosis dibuat setelah penilaian penuh dilakukan oleh doktor atau pakar psikiatri. Penilaian membabitkan pemeriksaan kesihatan, penilaian psikiatrik dan juga ujian-ujian mental tertentu.
Bagaimana kegelisahan dirawat?
Dua rawatan utama untuk gangguan penyakit kegelisahan adalah penggunaan ubat dan juga psikoterapi.
Psikoterapi melibatkan intervensi tidak berasaskan ubat. Ia seakan-akan kaunseling dan psikoterapi utama yang digunakan adalah Cognitive Behavioural Therapy (CBT).
Ubat-ubatan. Beberapa jenis ubat-ubatan mungkin digunakan untuk masalah kegelisahan seperti ubat antikemurungan (escitalopram, paroxetine, fluoxetine) dan antikegelisahan (alprazolam dan clonazepam).
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor untuk memahami penyelesaian terbaik untuk anda.