Meskipun tiada data yang jelas bagi keadaan ini di Malaysia, 1 daripada 10 rakyat Amerika Syarikat mengalami serangan panik setiap tahun. Tetapi tidak semuanya mempunyai gangguan panik, hanya 3% sahaja. Daripada angka ini, perempuan lebih ramai.
Simptom-simptomn Serangan Panik
Anda mungkin mengalami 4 atau lebih daripada simptom berikut semasa serangan panik:
- Degupan jantung kuat dan laju.
- Berpeluh.
- Menggeletar atau menggigil.
- Sesak nafas atau rasa lemas.
- Rasa dicekik.
- Sakit dada.
- Mual atau sakit perut.
- Pening kepala atau pengsan.
- Menggigil atau rasa panas.
- Kebas atau rasa semut-semut.
- Rasa hilang kawalan atau menjadi gila.
- Rasa seperti ingin mati.
Kebiasaannya, serangan ini berlaku selama 5-10 minit. Namun, ia boleh berpanjangan sehingga 1 jam. Kadangkala, anda boleh terasa seperti mengalami serangan jantung atau strok. Sesetengah pesakit juga pergi ke bilik kecemasan hospital untuk menjalani pemeriksaan.
Punca dan diagnosis
Doktor masih tidak mampu mengenal pasti punca sebenar. Ia dipercayai berkaitan dengan genetik dan persekitaran tempat membesar. Kadangkala, terdapat juga penyakit mental lain seperti kemurungan.
Untuk mengesahkan anda menghidap gangguan panik, tiada ujian makmal atau radiologi yang khusus. Ia dibuat dengan menyingkirkan sebab-sebab lain kepada simptom-simptom terbabit.
Contohnya, pesakit yang mengadu sakit dada dan sesak nafas mungkin disebabkan oleh serangan jantung. Jika bacaan elektrokardiogram (ECG) dan ujian enzim jantung tidak menyokong masalah jantung, ia mungkin disebabkan oleh serangan panik.