home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

2 Aspek Penting WAJIB Ibu Bapa Perhati Sebelum Hantar Anak Ke Prasekolah!

2 Aspek Penting WAJIB Ibu Bapa Perhati Sebelum Hantar Anak Ke Prasekolah!

Adakah anda sebagai ibu bapa mempunyai anak prasekolah? Ya, ia memang merupakan satu bentuk pendidikan awal kanak-kanak!

Pun begitu, masih ada ibu bapa yang masih beranggapan bahawa ia adalah remeh dan tidak penting buat anak mereka.

Ada juga ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak mereka untuk mendapatkan pendidikan sebelum sekolah.

Mungkin ada sesetengah ibu bapa yang percaya bahawa pendidikan awal kanak-kanak bukan bermula daripada prasekolah tetapi ia sebenarnya bermula seawal usia lagi sesuai dengan kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya.

Mengapa ia peringkat yang sangat penting?

Sebelum itu, ibu bapa perlu tahu terlebih dahulu mengenai prasekolah.

Secara umumnya, prasekolah adalah program pendidikan awal kanak-kanak yang berusia empat hingga enam tahun.

Ia juga mempunyai nama lain iaitu TADIKA atau TABIKA. Tempoh pengajaran dan pembelajaran ketiga-tiga adalah sama iaitu lima hari seminggu dan tidak kurang daripada tiga jam sehari.

  • TADIKA atau Taman Didikan Kanak-kanak merupakan operasi yang berpandukan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan.
  • TABIKA atau Taman Bimbingan Kanak-kanak pula merupakan operasi yang berpandukan kepada konsep ‘Belajar Melalui Bermain’ dan telah diselaraskan dengan sifat semula jadi kanak-kanak iaitu gemar bermain, berperasaan ingin tahu dan suka mencuba sesuatu yang baharu.

Kedua-dua program ini sangat mementingkan penguasaan kanak-kanak terhadap kemahiran 4M, iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.

peringkat perkembangan kanak kanak

Objektif pendidikan sebelum sekolah

  • Menggalakkan perkembangan sosial, emosi, fizikal, intelek dan rohani (SEFIR) kanak-kanak melalui pelbagai pendedahan dan interaksi.
  • Menyediakan dan mengembangkan kemahiran asas 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul) sebagai persediaan ke alam persekolahan.
  • Meluaskan pengalaman, peluang belajar dan mengembangkan potensi individu melalui pengajaran dan pembelajaran yang terancang, sesuai dengan peringkat umur, kemampuan, kebolehan dan minat.
  • Membentuk sifat peribadi, perwatakan dan konsep diri yang positif untuk menjadi warganegara yang patriotik.
  • Memupuk dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian, kreatif dan mengembangkan sifat ingin tahu.
  • Menggalakkan kecerdasan dan kemahiran fizikal serta amalan kesihatan, kebersihan dan keselamatan yang baik melalui makanan tambahan yang seimbang, aktiviti fizikal dan rutin harian.

Berdasarkan objektif-objektif prasekolah ini, adakah anda masih ragu-ragu akan kepentingannya terhadap anak anda?

Untuk pengetahuan anda sebagai ibu bapa, prasekolah bukan sahaja akan membantu membentuk pembangunan fizikal dan mental anak anda malahan juga akan membantu membentuk pembangunan sosial mereka.

Tip pemilihan prasekolah anak

Selain pembangunan sosial, pembangunan fizikal dan mental juga sangat penting buat kanak-kanak, begitu juga dengan aspek pendidikan.

Disebabkan itu, apakah yang perlu anda ketahui terlebih dahulu sebelum memilih sesuatu prasekolah anak untuk si kecil anda pergi?

Pemilihan prasekolah anak yang bersesuaian dengan anak anda mungkin suatu keputusan yang besar terutamanya bagi ibu bapa baharu.

Dengan pelbagai lambakan tadika dan tabika yang tersedia, anda mungkin tertanya-tanya bagaimana untuk memilih tadika yang sesuai untuk anak anda.

anak 5 tahun

Sebelum menghantar anak anda ke prasekolah yang telah terpilih, ikuti senarai semak yang mudah tetapi berguna berikut:

Kondisi di prasekolah

#1. Keadaan fizikal

Pertama sekali, anda sebagai ibu bapa perlu lawat dan perhatikan keadaan persekitaran dan fasiliti pusat atau tempat tersebut.

Anda harus pastikan ia berfungsi dengan baik tanpa kelihatan sebarang kerosakan yang ketara.

Adakah ruang belajar anak anda cukup luas dan selesa? Adakah tandas bersih dan berfungsi dengan baik? Adakah pagar sekolah dalam keadaaan baik?

Soalan-soalan seperti ini patut anda ambil kira dalam memastikan persekitaran yang kondusif untuk anak anda.

#2. Kebersihan

Keadaan prasekolah yang tidak terjaga bukan sahaja membuatkan anak anda tidak seronok bermain dan belajar, bahkan boleh menjejaskan kesihatan anak anda.

Lebih-lebih lagi dengan masalah penyakit berjangkit seperti penyakit tangan kaki dan mulut yang mudah tersebar di pusat penjagaan kanak-kanak, anda juga perlu memerhatikan penjagaan kebersihan para penjaga atau guru di tadika tersebut.

Sekiranya mereka kelihatan tidak peduli dengan kebersihan kanak-kanak di bawah jagaan mereka, besar kemungkinan langkah pencegahan terhadap penyakit berjangkit tidak dilaksanakan dengan baik.

#3. Keselamatan

Konsep keselamatan juga perlu diambil kira kerana anda meletakkan anak anda dalam tanggungjawab pengurusan prasekolah.

Lihat jika terdapat peralatan patah yang mungkin berbahaya dan apa langkah perlindungan terhadap penceroboh yang dimiliki pengelolanya.

Soalan utama yang harus ditanya ibu bapa ialah apakah saya akan selesa meninggalkan anak saya di sini?

Interaksi di prasekolah

#1. Bagaimanakah kakitangan berinteraksi dengan anak-anak?

Ibu bapa perlu bertanya pengurusan prasekolah tentang nisbah guru dan murid di situ.

Perhatikan juga cara guru berinteraksi dengan kanak-kanak.

Adakah mereka bercakap mata ke mata dengan kanak-kanak tersebut atau sentiasa mengarah sambil berdiri menghadapi kanak-kanak.

Cari tanda-tanda disiplin yang positif, seperti membetulkan tingkah laku salah atau menggalakkan tingkah laku yang sesuai.

pemakanan sihat untuk kanak-kanak

Sekiranya anda melihat kanak-kanak yang sedang bersedih, adakah mereka dipujuk atau dibiarkan bersendirian? Lebih teruk lagi, adakah mereka dipulaukan?

#2. Interaksi sosial dan aktiviti kanak-kanak

Kanak-kanak cenderung mengingati pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dengan rakan sebaya.

Mereka juga dapat mengembangkan kemahiran bahasa dan perbendaharaan kata melalui interaksi dengan orang lain.

Perhatikan interaksi sosial yang sihat pada kanak-kanak di prasekolah tersebut.

Mendengar mereka berbual dan tertawa serta melihat aktiviti yang mereka lakukan boleh membantu anda membuat keputusan.

Adakah anda selesa jika anak anda dipaksa duduk di meja untuk tempoh masa yang lama? Adakah anda sendiri mahu bermain di taman permainan mereka?

Pengalaman anak prasekolah membentuk persepsi kanak-kanak tentang sekolah, dan pada usia muda ini, mereka sepatutnya lebih banyak bermain dan berseronok.

#3. Konsep pembelajaran dan pengisian

Terdapat pelbagai konsep pembelajaran di prasekolah masa kini – pengisian agama, gaya montessori, konsep bermain dan pelbagai lagi.

Pilih yang bersesuai dengan kehendak anda dan si kecil!

Selain itu, ketahui bagaimana prasekolah anak anda menilai perkembangan pelajar mereka.

Adakah tumpuan hanya kepada kemajuan akademik sahaja; atau adakah pertumbuhan sosial, mental dan kemahiran fizikal turut diambil kira.

Berdasarkan tip-tip berikut, diharapkan pihak ibu bapa dapat mempertimbangkan pemilihan tempat prasekolah anak agar dapat mencari pilihan yang terbaik buat anak anda.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. https://www.healthychildren.org/English/ages-stages/preschool/Pages/Social-Development-in-Preschoolers.aspx
  2. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/childrens-health/basics/preschoolers/hlv-20049425
  3. https://www.education.vic.gov.au/parents/child-care-kindergarten/Pages/choose-best-kindergarten.aspx
  4. http://www.getreadytoread.org/early-learning-childhood-basics/early-childhood/choosing-a-preschool-simple-tips-for-parents
  5. https://www.readingrockets.org/article/four-steps-selecting-school-your-child
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin Disemak pada 28/05/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan