Jika anda bukan penghidap diabetes, adakah anda masih perlu membuat ujian kencing manis seperti ujian darah kencing manis? Ramai yang tidak tahu, bahawa ujian darah diabetes sebenarnya boleh dibuat pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi jika mengalami sebarang simptom awal diabetes.
Ujian darah ini disebut sebagai ujian gula darah rawak (random glucose test). Ini penjelasan lanjut mengenainya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.
Apakah yang dimaksudkan dengan ujian gula darah rawak?
Ujian gula darah rawak atau ujian darah kencing manis ini merupakan sejenis ujian darah yang boleh dilakukan pada bila-bila masa secara rawak.
Ia bertujuan bagi melihat paras glukosa atau gula darah semasa dalam badan kita.
Ia biasa dilakukan dengan cara mencucuk lubang kecil pada hujung darah bagi mendapatkan sedikit sampel darah.
Kemudian, sampel darah ini diletakkan pada jalur ujian dan dimasukkan ke dalam sejenis alat yang disebut sebagai glukometer.
Alat ini akan memberikan bacaan gula darah anda dalam masa beberapa saat sahaja.
Ujian ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tidak mengira sama ada anda menghidap diabetes atau tidak.
Bagi mereka yang tidak menghidap diabetes, ujian ini boleh membantu anda memantau paras gula darah secara berkala agar ia tidak mencapai tahap yang terlalu tinggi.
Bagi yang menghidap diabetes pula, ujian kencing manis ini boleh membantu menunjukkan keberkesanan pengurusan rawatan diabetes anda.
Pengurusan penyakit melalui ujian kencing manis rawak
Bagi mereka yang tidak mempunyai penyakit kencing manis, tahap gula darah diuruskan melalui peranan insulin dan juga penggunaan gula oleh tubuh sebagai sumber tenaga.
Jika anda melakukan ujian darah kencing manis rawak, besar kemungkinan bacaan gula darah akan menunjukkan paras yang stabil.
Untuk pesakit diabetes pula, bacaan paras gula darah mungkin akan menunjukkan bacaan yang berbeza-beza sepanjang hari.
Apatah lagi jika penyakit diabetes yang dialami itu tidak diuruskan dengan baik.
Bagi golongan pesakit diabetes dan pradiabetes, bacaan gula darah mungkin akan sentiasa menunjukkan paras yang tinggi.
Bila perlu lakukan ujian kencing manis rawak ini?
Sekiranya anda mempunyai penyakit kencing manis, berikan perhatian kepada sebarang simptom kencing manis yang berlaku kepada diri anda.
Pastikan anda segera membuat ujian darah kencing manis rawak ini jika mengalami simptom-simptom gula darah rendah.
Ujian gula darah rawak ini juga boleh membantu anda mengenal pasti hiperglisemia selain mengurangkan risiko sebarang komplikasi kronik yang boleh berlaku.
Jika anda membuat ujian darah secara berkala setiap hari, ia boleh membantu anda menguruskan penyakit diabetes yang dialami selain mengurangkan risiko komplikasi diabetes.
Ujian lain selain daripada ujian gula darah rawak
Ujian gula darah rawak ini bukanlah pengganti kepada ujian kencing manis normal seperti yang telah dijadualkan oleh doktor anda.
Bagi yang menghidap diabetes, anda juga perlu menjalani ujian gula darah puasa dan juga ujian selepas waktu makan seperti yang telah ditetapkan oleh doktor yang merawat anda.
Bagi ujian gula darah puasa, ia biasa dilakukan pada waktu pagi selepas anda bangun tidur dan sebelum bersarapan.
Untuk ujian selepas makan pula, ia bertujuan mengukur bacaan gula darah anda dalam tempoh dua jam selepas waktu makan.
Waktu ujian kencing manis yang berbeza akan menunjukkan bacaan yang berbeza, bergantung kepada beberapa faktor lain seperti jenis makanan yang dimakan, keadaan stres, ubat-ubatan yang diambil serta sebarang senaman yang telah anda lakukan.
Senaman boleh mempengaruhi bacaan gula darah rawak?
Aktiviti senaman sememangnya boleh mempengaruhi keputusan bacaan ujian gula darah rawak anda.
Kebiasaannya, senaman akan menurunkan paras glukosa dalam darah.
Malah, bagi penghidap diabetes yang bergantung dengan suntikan insulin, anda mungkin perlu mengubah suai rejimen insulin jika anda bersenam.
Namun, ini tidak bermakna anda tidak perlu bersenam. Ini kerana, senaman merupakan antara kaedah yang paling berkesan dalam mengawal gula darah anda.
Boleh dikatakan kebanyakan penghidap diabetes memperoleh manfaat daripada aktiviti senaman walaupun hanya bersenam secara sederhana.
Kesimpulan
Sesiapa sahaja boleh melakukan ujian diabetes secara rawak ini.
Namun, bagi mereka yang menunjukkan simptom pradiabetes dan juga diabetes, anda disarankan untuk kerap melakukan ujian ini bagi memantau paras gula darah secara berkala.
Ini boleh membantu mengesan penyakit diabetes lebih awal dan mengelakkan komplikasi yang lebih teruk.
[embed-health-tool-bmi]