backup og meta

Gula Darah Mencanak Naik Selepas Bangun Tidur? Ini Disebut Dawn Phenomenon!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 21/06/2022

    Gula Darah Mencanak Naik Selepas Bangun Tidur? Ini Disebut Dawn Phenomenon!

    Bagi penghidap diabetes atau kencing manis, masalah gula darah naik sememangnya boleh mengganggu fikiran. Apatah lagi, jika gula darah tinggi berlaku tanpa sebarang sebab yang jelas.

    Apakah yang menyebabkan gula darah ini tinggi walaupun belum mengambil sebarang makanan?

    Dawn phenomenon: Gula darah naik awal pagi

    Bayangkan, anda seorang penghidap diabetes yang kerap melakukan ujian gula darah untuk memantau paras gula anda.

    Ketika anda bangun pagi, anda telah melakukan ujian gula darah terlebih dahulu sebelum bersarapan.

    Anda berasa amat terkejut kerana ujian gula darah anda menunjukkan bacaan yang lebih tinggi berbanding sebelum anda tidur.

    Walhal, anda tidak mengambil sebarang makanan atau minuman lagi pada pagi ini.

    Anda berasa pelik mengapa hal ini boleh berlaku. Sebenarnya, inilah yang disebut sebagai dawn phenomenon.

    Dawn phenomenon merupakan satu keadaan di mana paras gula darah pesakit diabetes naik pada waktu awal pagi, biasanya antara jam 3 hingga 8 pagi.

    Ia boleh berlaku kepada penghidap diabetes jenis 1 dan juga jenis 2.

    Penyebab kepada fenomena ini berlaku adalah kerana aktiviti hormon dalam badan anda.

    Pada waktu pagi, hormon-hormon tertentu seperti kortisol dan epinefrin telah mula bekerja untuk menyediakan tubuh badan kita sebelum bangun dan melakukan sebarang aktiviti selepas bangun tidur.

    Apabila hormon ini mula bekerja, ia secara tidak langsung akan menyebabkan pelepasan gula dalam darah dan sekali gus menyebabkan bacaan gula darah tinggi.

    Walaupun kita sedang tidur dan tidak makan apa-apa pada waktu itu, gula darah naik disebabkan pelepasan gula dari hati yang menjadi tempat simpanan gula dalam tubuh.

    Oleh itu, jangan berasa pelik mengapa paras gula darah naik pada waktu pagi walaupun masih belum bersarapan.

    Gula darah naik: Simptom dawn phenomenon yang perlu diberi perhatian

    gula darah naik

    Ciri utama dawn phenomenon ialah bacaan gula darah tinggi pada waktu pagi.

    Ia boleh dilihat sekiranya bacaan gula darah anda pada waktu pagi itu melebihi 180 mg/dL atau berlebihan daripada bacaan sasaran yang diberikan oleh doktor anda.

    Pada kebiasaannya, penghidap diabetes yang mengalami fenomena ini tidak menunjukkan gejala atau simptom yang lain.

    Namun, anda masih perlu berwaspada dengan gejala-gejala hiperglisemia atau paras gula darah terlalu tinggi seperti berikut:

    • Berasa haus atau dahaga yang terlampau
    • Kerap membuang air kecil lebih daripada biasa
    • Mulut menjadi kering
    • Mengalami muntah-muntah atau mual
    • Badan menjadi lesu
    • Perut menjadi tidak selesa
    • Penglihatan mula menjadi kabur

    Perlu diketahui bahawa bacaan gula darah naik yang disebabkan oleh dawn phenomenon boleh bertahan dalam tempoh yang agak lama selain agak sukar untuk dikawal.

    Oleh itu, jika anda kerap mengalami fenomena ini, anda perlu berjumpa dengan doktor untuk memantau keadaan anda.

    Ini untuk mengelakkan komplikasi diabetes yang lebih buruk pada tubuh anda.

    gula darah naik

    Seperti yang dijelaskan sebelum ini, dawn phenomenon berlaku disebabkan pengaktifan hormon tertentu dalam tubuh badan pada awal pagi.

    Hormon-hormon seperti kortisol, epinefrin dan glukagon akan bekerja awal pagi bagi menyediakan tubuh badan anda sebelum mula bangun pagi.

    Apabila hormon-hormon telah mula aktif pada awal pagi, hati akan bertindak balas dengan melepaskan glukosa ke dalam aliran darah agar tubuh badan mempunyai tenaga yang cukup selepas bangun daripada tidur.

    Sebenarnya, keadaan ini merupakan keadaan yang normal bagi semua individu.

    Namun disebabkan pesakit diabetes mempunyai masalah dengan tindak balas insulin untuk mengawal paras gula darah, maka bacaan gula darah penghidap diabetes akan menjadi tinggi berbanding individu yang tidak mempunyai diabetes.

    Selain daripada faktor hormon, dawn phenomenon juga boleh berlaku disebabkan penggunaan insulin yang tidak teratur.

    Anda mungkin menggunakan insulin dengan jumlah yang terlalu sedikit sebelum tidur.

    Oleh itu, paras gula darah jadi tinggi pada keesokan harinya.

    Cara elakkan dawn phenomenon bagi pesakit diabetes

    gula darah naik

    Bagi individu normal, hormon insulin akan dikeluarkan dari pankreas untuk mengawal paras gula darah naik pada awal pagi.

    Namun, proses ini agak sukar untuk berlaku bagi penghidap diabetes.

    Oleh itu, bagi mengelakkan fenomena ini daripada berlaku, penghidap diabetes boleh melakukan perkara-perkara seperti berikut:

    #1. Makan malam secara teratur

    Mereka yang mempunyai diabetes perlu mengambil makan malam secara teratur setiap hari.

    Elakkan diri daripada makan lewat malam atau makan dengan saiz hidangan yang banyak.

    Jika ini berlaku, tidak mustahil bacaan gula darah tinggi pada waktu malam atau pagi yang menyebabkan dawn phenomenon menjadi lebih teruk. 

    #2. Elakkan sumber karbohidrat sebelum tidur

    Karbohidrat akan diuraikan menjadi glukosa oleh tubuh, sekali gus boleh meningkatkan bacaan gula darah.

    Oleh itu, kurangkan pengambilan sumber karbohidrat sebelum tidur dan banyakkan mengambil sumber protein dan lemak sihat untuk membekalkan tenaga kepada tubuh. 

    #3. Gunakan insulin mengikut aturan

    Penting untuk anda menggunakan insulin yang diberikan mengikut dos dan waktu yang telah ditetapkan.

    Penggunaan insulin secara tidak teratur sememangnya boleh menyebabkan bacaan gula darah anda menjadi tidak stabil. 

    #4. Bersenam pada waktu malam

    Bersenam atau bersukan pada waktu malam sememangnya boleh membantu mengawal paras gula darah.

    Namun, sebelum memulakan sebarang aktiviti fizikal, dapatkan nasihat daripada doktor berkenaan jenis aktiviti sukan yang sesuai dengan keadaan diabetes anda. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan