backup og meta

Penghidap Diabetes Patut Tahu 5 Perkara Ini, Barulah Paras Glukosa Stabil!

Penghidap Diabetes Patut Tahu 5 Perkara Ini, Barulah Paras Glukosa Stabil!

Amat penting buat pesakit diabetes memastikan paras glukosa darah berada dalam julat yang disarankan doktor. Berikut pantang larang kencing manis yang harus dilakukan bagi mengawal tahap diabetes anda!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

Pantang larang kencing manis harus dipatuhi pesakit diabetes

Bukan mudah untuk memastikan tahap glukosa sentiasa terkawal. Tetapi jika anda tahu caranya, ia tidaklah sesukar mana.

1. Pemakanan 

Pemakanan seimbang adalah asas kehidupan sihat. Tetapi bagi penghidap diabetes, anda perlu tahu bagaimana paras glukosa darah boleh dipengaruhi oleh aspek pemakanan. 

Lakukan ini:

Kiraan karbohidrat 

Kunci kepada pengurusan diabetes adalah mempelajari cara mengira karbohidrat, kerana ia mempengaruhi paras gula darah anda. 

Individu yang mengambil insulin waktu makan perlu mengetahui jumlah karbohidrat dalam makanan supaya mendapat dos insulin yang betul.

Jadikan setiap hidangan seimbang, penting dalam pantang larang kencing manis

Dalam setiap hidangan, pastikan ia mempunyai campuran kanji, buah, sayuran, protein dan lemak yang baik. Perhatikan juga jenis karbohidrat yang anda pilih.

Koordinasi makanan & ubat-ubat

Saiz hidangan haruslah seimbang mengikut kadar ubat diabetes – terutamanya insulin. Kerana jika terlalu rendah – boleh menyebabkan gula darah rendah, hipoglisemia, atau sekiranya terlalu banyak makan, kesannya paras gula darah tinggi – hiperglisemia.

pantang larang kencing manis

Pesakit diabetes perlu elakkan minuman bergula

Minuman bergula boleh menyebabkan tahap glukosa darah naik mendadak, justeru sebaiknya dielakkan.

Tetapi bagi mereka dengan paras gula darah yang terlalu rendah, minuman manis seperti jus boleh diambil sebagai rawatan berkesan untuk menaikkan tahap glukosa darah dengan cepat.

2. Pantang larang kencing manis ketika bersenam

Aktiviti fizikal juga penting dalam pelan pengurusan diabetes, kerana otot akan menggunakan glukosa untuk tenang. Kerap bersenam juga dapat membantu tubuh menggunakan insulin dengan lebih cekap, sekali gus membantu menurunkan paras gula darah.

Lakukan ini:

Pelan aktiviti fizikal

Dapatkan saranan doktor mengenai jenis senaman yang bersesuaian. Umumnya, kebanyakan individu dewasa perlu melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana seminggu.

Pesakit diabetes harus wujudkan jadual senaman

Berunding dengan doktor mengenai masa terbaik bersenam bagi menyelaraskan jadual makan dan pengambilan ubat.

Ketahui paras glukosa darah

Ambil tahu paras glukosa darah yang sesuai sebelum mula bersenam.

pantang larang kencing manis

Semak paras glukosa darah

Periksa paras gula darah sebelum, semasa dan selepas bersenam – terutamanya jika anda mengambil insulin atau ubat untuk menurunkan gula darah.

Berhati-hati dengan tanda amaran tahap glukosa darah rendah seperti berasa goyah, lemah, letih, lapar, pening, cepat marah, cemas atau keliru.

Kekal terhidrat

Dehidrasi boleh menjejaskan paras gula darah, jadi banyakkan minum air semasa bersenam.

Persediaan penting buat pesakit diabetes

Sentiasa bawa snek atau tablet glukosa semasa bersenam untuk waktu kecemasan jika paras glukosa darah turun terlalu rendah. 

Ubah pelan rawatan diabetes ikut keperluan

Dos insulin mungkin perlu dikurangkan sebelum bersenam dan melakukan pemantauan tahap glukosa selama beberapa jam selepas aktiviti fizikal. Ini kerana hipoglisemia tertangguh boleh berlaku.

Doktor boleh memberikan nasihat tentang perubahan yang sesuai dalam ubat anda.

3. Semasa senggugut & menopaus

Perubahan tahap hormon seminggu sebelum dan semasa haid juga boleh mengakibatkan turun naik yang ketara dalam paras glukosa darah.

Lakukan ini:

Pantang larang kencing manis #Fahami corak bacaan

Pantau bacaan gula darah dari bulan ke bulan. Ia membantu anda meramal turun paras glukosa darah berkaitan dengan kitaran haid.

Ubah pelan rawatan diabetes ikut keperluan

Doktor mungkin mengesyorkan perubahan dalam diet pemakanan, tahap aktiviti atau ubat diabetes untuk keseimbangan paras glukosa darah.

Periksa paras gula darah lebih kerap

Berbincang dengan doktor jika anda perlu memantau paras glukosa darah lebih kerap apabila menghampiri fasa menopaus atau tidak.

Baca juga:

4. Jatuh sakit? Ini pantang larang kencing manis harus anda patuhi

Tubuh akan menghasilkan hormon untuk membantu melawan penyakit tetapi ia boleh meningkatkan paras gula darah.

Oleh itu, lakukan ini:

Perancangan awal untuk pesakit diabetes

Wujudkan pelan penjagaan kesihatan ketika sakit bersama doktor – jumlah ubat perlu diambil, kekerapan mengukur paras gula darah dan lain-lain.

Teruskan diet pemakanan diabetes

Sebaiknya makan seperti biasa bagi membantu mengawal paras gula darah walaupun anda mungkin kurang berselera kerana tidak sihat. 

Perbanyakkan pengambilan cecair untuk memastikan diri kekal terhidrat, tetapi pilih air yang tidak menambah jumlah kalori seperti teh. 

Jika mengambil insulin, anda mungkin perlu menghirup sedikit minuman bergula seperti jus untuk memastikan paras glukosa darah tidak terlalu rendah.

[embed-health-tool-bmr]

5. Pantang larang kencing manis semasa berdepan stres

pantang larang kencing manis

Tekanan boleh menyebabkan hormon yang terhasil bertindak balas dan menyebabkan peningkatan paras gula darah.

Lakukan ini:

Fahami coraknya

Catatkan tahap tekanan pada skala 1-10 setiap kali mengukur paras glukosa darah.

Pesakit diabetes perlu pandai mengawal tekanan

Pelajari teknik relaksasi, utamakan tugas penting dan tetapkan had. Senaman juga boleh membantu melegakan tekanan dan menurunkan paras gula darah.

Dapatkan bantuan

Ketahui cara baharu untuk mengatasi tekanan – sama ada daripada ahli psikologi atau melalui kumpulan atas talian.

Lebih banyak anda mengetahui tentang faktor yang boleh mempengaruhi paras gula darah, maka anda boleh menjangkakan turun naiknya dan melakukan perancangan sewajarnya.

Jika anda menghadapi masalah mengekalkan paras gula darah dalam julat sasaran, mintalah bantuan doktor. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Diabetes management: How lifestyle, daily routine affect blood sugar. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/diabetes/in-depth/diabetes-management/art-20047963, Accessed on March 5, 2022
  2. Lifestyle Changes for Type 2 Diabetes. https://www.diabetes.co.uk/lifestyle-changes-for-type2-diabetes.html#, Accessed on March 5, 2022
  3. Lifestyle Changes to Manage Type 2 Diabetes. https://www.aafp.org/afp/2009/0101/p42.html, Accessed on March 5, 2022
  4. Mohammad Asif. The prevention and control the type-2 diabetes by changing lifestyle and dietary pattern (2014). https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3977406/, Accessed on March 5, 2022
  5. Lifestyle Changes to Manage Type 2 Diabetes. https://www.winchesterhospital.org/health-library/article?id=21329, Accessed on March 5, 2022 
  6. Type 2 diabetes. https://www.idf.org/aboutdiabetes/type-2-diabetes.html, Accessed on March 5, 2022 

 

Versi Terbaru

24/05/2022

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Maria Stork


Artikel Berkaitan

Pesakit Kencing Manis, Elak Ambil 5 Jenis Sayur Ini!

Penat Dengar Komen Pasal Diabetes Anda? Ada 6 Tip Untuk Tangani Stigma Masyarakat


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 24/05/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan