backup og meta

Penat Dengar Komen Pasal Diabetes Anda? Ada 6 Tip Untuk Tangani Stigma Masyarakat

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/04/2022

    Penat Dengar Komen Pasal Diabetes Anda? Ada 6 Tip Untuk Tangani Stigma Masyarakat

    Bagi seorang pesakit kencing manis, pastinya anda tidak dapat lari berdepan stigma orang sekeliling mengenai penyakit diabetes mellitus yang dialami.

    Hello Doktor akan kongsikan 6 cara untuk mengendalikan situasi tersebut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis sila dapatkannya di sini.

    Keadaan penyakit diabetes mellitus

    Kencing manis jenis 2 berlaku apabila cara tubuh mengawal dan menggunakan gula (glukosa) sebagai tenaga terjejas.

    Keadaan jangka masa panjang (kronik) ini mengakibatkan terlalu banyak gula beredar dalam aliran darah. Kesannya, paras gula dalam darah menjadi tinggi dan boleh menyebabkan gangguan pada sistem peredaran darah, saraf dan imun.

    Bagi pesakit kencing manis jenis ini, wujud 2 masalah saling berkaitan, iaitu:

  • Pankreas tidak menghasilkan insulin mencukupi – hormon yang mengawal pergerakan gula ke dalam sel tubuh
  • Sel bertindak balas dengan lemah terhadap insulin dan mengambil kurang gula
  • Sebelum ini, diabetes jenis 2 ini hanya terjadi ketika dewasa, tetapi kedua-dua jenis kencing manis sebenarnya boleh bermula semasa kanak-kanak dan dewasa.

    penyakit diabetes mellitus

    Menguruskan keadaan penyakit diabetes mellitus

    Tidak seperti kebanyakan masalah kesihatan, tiada ubat untuk kencing manis 2 ini. 

    Tetapi anda boleh mengawalnya dengan bantuan serta sokongan daripada kakitangan perubatan, keluarga dan mereka yang penting dalam hidup anda.

    Sejujurnya menguruskan diabetes bukanlah perkara mudah, tetapi apa yang anda lakukan untuk meningkatkan kesihatan diri adalah berbaloi.

    Sebagai pesakit kencing manis, anda mungkin boleh menguruskan diabetes dengan pengambilan makanan sihat dan melakukan aktiviti fizikal secara aktif. 

    Doktor juga mungkin menetapkan insulin, ubat suntikan lain atau ubat diabetes oral bagi membantu menguruskan gula dalam darah anda dan mengelakkan komplikasi. 

    Jika mengambil insulin atau sebarang ubatan lain, anda masih perlu makan secara sihat dan aktif untuk memastikan tekanan darah dan kolesterol menghampiri sasaran ditetapkan dan melakukan ujian saringan yang diperlukan.

    Mengekalkan paras gula darah akan membantu mencegah atau melambatkan komplikasi berkaitan diabetes.

    Tekanan adalah sebahagian daripada kehidupan, tetapi ia boleh menyukarkan pengurusan diabetes, termasuklah dalam mengawal paras gula darah dan menangani penjagaan kencing manis harian.

    penyakit diabetes mellitus

    Kerap bersenam, mendapatkan tidur mencukupi dan senaman relaksasi boleh membantu untuk menguruskan tekanan yang dihadapi.

    Namun malangnya tidak semua pihak boleh memahami keadaan individu dengan penyakit diabetes mellitus, bahkan terdapat kemungkinan anda perlu berdepan dengan pelbagai stigma dan pendapat.

    Jom ketahui cara untuk menangani situasi tersebut.

    Cabaran bagi pesakit kencing manis

    Sebagai penghidap diabetes jenis 2, pastinya anda akan berdepan dengan pelbagai pendapat tentang perkara yang patut dan tidak patut dilakukan untuk menguruskan kesihatan diri.

    Menguruskan keadaan kesihatan ini sudah sedia mencabar dan perlu menangani tekanan tambahan pastinya menjadikan keadaan lebih membebankan.

    Jadi, amat penting bagi pesakit untuk berasa yakin atas setiap keputusan kesihatan, tetapi menerima terlalu banyak input yang tidak diingini daripada sekeliling juga boleh menyukarkan keadaan.

    Berikut antara cara yang boleh anda lakukan:

    1. Berikan balasan kebaikan

    Pernah dengar istilah palatau? Ia bermaksud seseorang individu yang buat-buat tahu mengenai sesuatu perkara padahal pada hakikatnya tidak. Dalam bahasa mudahnya, memandai-mandai.

    Kemungkinan untuk anda berdepan dengan individu dengan sikap seperti di atas amat tinggi, jadi anda perlu mendidik diri berkaitan setiap aspek penyakit diabetes 2 ini.

    Jika ada yang mengatakan sesuatu tidak sepatutnya, balas mereka dengan kebaikan dan didik mereka dengan pengetahuan, kerana kebanyakan individu mempunyai tanggapan salah mengenai keadaan kesihatan ini. 

    Baca juga:

    2. Percaya diri & bantu individu lain memahami keadaan anda

    Lakukan apa yang anda rasa betul dan cuba mendidik orang sekeliling tentang isu kesihatan yang dialami. 

    Ada kalanya ia hanya perlu melibatkan pemahaman mengenai kencing manis dengan lebih baik.

    3. Bukan tugas anda mendidik semua individu mengenai penyakit diabetes mellitus

    Bergantung kepada siapa yang ingin anda didik, dan ada kalanya ia mungkin tidak berbaloi untuk melakukannya.

    Pilih individu yang anda rasakan berbaloi untuk melakukan penerangan dan boleh memahami serta menerima maklumat dengan baik.

    4. Usah malu jika menghidap penyakit diabetes mellitus

    Apabila kencing manis terjadi kerana sejarah keluarga serta disebabkan genetik, ia sukar untuk dielakkan.

    Tidak perlu ada rasa malu bergelar penghidap diabetes, sama seperti mereka yang mengalami penyakit jantung, Parkinson atau Alzheimer.

    5. Tahu had diri

    Semestinya kita tidak mempunyai kawalan terhadap pemikiran dan percakapan individu lain mengenai penyakit diabetes 2. Selagi ia tidak melampaui batas, biarkan mereka.

    penyakit diabetes mellitus

    Menghidap penyakit diabetes mellitus? 6. Sedia melangkah ke hadapan

    Fokus kepada diri. Belajar daripada pengalaman lalu dan melangkah ke hadapan dengan lebih yakin. Hindari stres atau kadar bacaan glukosa akan mencanak naik!

    Tuntasnya 

    Sebagai pesakit kencing manis, ada masanya anda mungkin berasa ingin berkongsi pengetahuan dengan individu lain dan kadangkala, wujud rasa penat untuk mendidik, jadi biarkan.

    Apa yang penting adalah penjagaan diri dan menguruskan masalah diabetes yang dialami dengan sebaiknya, kerana pada akhirnya tidak siapa dapat menjaga kesihatan lebih baik melainkan diri anda sendiri.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan