Hidung Berdarah dalam Kalangan Kanak-kanak: Apa Puncanya?

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 18/06/2020 . 8 minit bacaan
Share now

Pernahkah anak anda mengalami masalah hidung berdarah? Jika ya, ia sudah pasti merupakan salah satu daripada keadaan yang sangat membimbangkan anda sebagai ibu bapa, bukan?

Sebagai ibu bapa, anda semestinya sangat prihatin dengan keadaan si comel anda. Setiap tumbesaran dan perkembangan mereka sudah pasti akan membuat anda teruja dan gembira. Namun begitu, apakah perasaan anda sekiranya anak anda mengalami kecederaan? Sudah tentu anda akan berasa risau dengan keadaan mereka yang kelihatan sakit.

Pun begitu, kecederaan bukanlah satu perkara yang tidak normal bagi setiap individu terutamanya buat kanak-kanak yang sangat lasak dan gemar meneroka perkara baharu. Pendarahan pada muka, badan pasti akan dialami oleh anak anda. Selain itu, si comel anda juga mungkin akan sering mengalami hidung berdarah.

Persoalannya, apakah yang menyebabkan anak anda mengalami hidung berdarah? Pendarahan pada hidung atau dikenali sebagai epistaksis adalah salah satu masalah yang sangat biasa dan bagi kanak-kanak yang sering mengalaminya, ia boleh menjadi sangat menjengkelkan kerana mereka masih belum pandai menjaga dan merawat diri mereka sendiri .

Malahan, ia agak menakutkan jika si comel anda mengalami hidung berdarah dan masih tidak berhenti sehingga tempoh masa yang lama. Adakah ia adalah satu keadaan yang normal atau ia adalah keadaan yang bahaya dan perlu dibawa berjumpa doktor? Ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

hidung berdarah

Hidung berdarah dalam kalangan kanak-kanak

Hidung berdarah (epistaksis) adalah masalah biasa yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Ia boleh berlaku secara spontan atau disebabkan oleh trauma. Walau bagaimanapun, kebanyakan sebab-sebabnya adalah tidak dapat dikenal pasti. Ia selalunya berkaitan dengan satu bahagian di dalam hidung iaitu “little area” yang sangat mudah untuk mengalami pendarahan. Bagaimana anda boleh pasti bahawa pendarahan itu adalah berpunca daripada hidung dan bukan berpunca daripada bahagian lain?

Epitaksis dibahagikan kepada dua iaitu pendarahan di bahagian hadapan hidung (nosebleed anterior)  dan satu lagi di bahagian belakang hidung (nosebleed posterior). Hampir 90 peratus kanak-kanak yang mengalami hidung berdarah adalah disebabkan pendarahan bahagian hadapan. Pendarahan di bahagian hadapan hidung selalunya melibatkan hanya sebelah rongga hidung dan ia adalah mudah untuk dirawat.

Manakala pendarahan di bahagian belakang hidung pula adalah lebih serius dan berbahaya kerana biasanya ia melibatkan saluran darah yang lebih besar seperti arteri. Pendarahan teruk di bahagian belakang hidung berupaya menyebabkan saluran pernafasan tersumbat dan darah tersebut boleh masuk ke dalam paru-paru.

Untuk mengelakkan ibu daripada terkeliru antara kondisi-kondisi pendarahan hidung ini, anda perlu kenali gejala-gejalanya terlebih dahulu.

Gejala-gejala hidung berdarah

  • Pendarahan satu atau kedua-dua lubang hidung
  • Kerap menelan darah yang menyebabkan muntah darah
  • Sering terasa seperti ada cecair di belakang hidung dan tekak

Jika gejala-gejala ini berlaku kepada anak anda, apakah yang perlu dilakukan segera?

Rawatan segera hidung berdarah

  • Minta anak anda duduk dan tunduk ke hadapan
  • Minta anak anda bernafas melalui mulut dan picit hidung di bahagian yang keras selama 10 minit
  • Terus picit hidung anak anda dan letakkan pek ais di bahagian antara hidung dengan mata
  • Selepas 10 minit, berhenti picit hidung anak anda dan periksa sama ada darah telah berhenti
  • Minta anak anda elak daripada bersin, menghembus atau mengorek lubang hidung
  • Bawa anak anda ke klinik atau hospital yang berdekatan untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor

Ini seterusnya akan membawa kepada tanda tanya yang paling penting untuk diutarakan di dalam artikel ini iaitu apakah punca sebenar hidung berdarah dalam kalangan kanak-kanak?

Menurut pakar, punca utama kanak-kanak mengalami pendarahan pada hidung adalah kerana tabiat mengorek hidung. Tetapi apakah yang menyebabkan anak suka korek hidung?

hidung berdarah

Mengapa kanak-kanak mempunyai tabiat mengorek hidung?

Rembesan hidung kanak-kanak yang terdedah kepada udara kering akan menjadi keras, lalu membentuk kerak. Kerak ini sangat tidak selesa lalu membuat kanak-kanak cuba untuk mengeluarkannya dengan mengorek hidung menggunakan jari mereka. Tabiat ini sebenarnya boleh menyebabkan kecederaan pada salur-salur darah di dalam hidung sehingga luka dan pendarahan berlaku.

Selain itu, alahan juga akan menjadikan kanak-kanak lebih mudah untuk mempunyai tabiat mengorek hidung. Ini disebabkan oleh mukus dan hingus yang tersekat di dalam hidung mereka. Dalam beberapa kes yang lain, faktor persekitaran juga akan membuat kanak-kanak mempunyai tabiat ini. Contohnya adalah penggunaan penyaman udara. Ia akan mengeringkan saluran nasal lalu menyebabkan kanak-kanak berasa tidak selesa.

Serupa seperti tabiat yang lain, tabiat mengorek hidung juga adalah biasa dilakukan ketika kanak-kanak sedang berasa bosan atau bersifat ingin tahu. Kadangkala, ia juga berlaku kerana kanak-kanak itu sedang berasa cemas. Sama seperti tabiat menghisap ibu jari, menggigit kuku atau menyimpul rambut, mengorek hidung merupakan tabiat yang seringkali dilakukan tanpa disedari.

Hakikatnya, kebanyakan tabiat akan kekal sehingga mereka dewasa namun bukan tabiat ini. Kanak-kanak akan berhenti melakukannya apabila dewasa kelak. Mereka akan berhenti disebabkan oleh kesedaran diri sendiri ataupun tekanan daripada rakan-rakan mereka. Pun begitu, anda sebagai ibu bapa juga perlu melakukan sesuatu untuk membantu si comel anda untuk mengatasi tabiat ini. Persoalannya, bagaimana anda boleh membantu?

Bagaimana ibu bapa boleh membantu?

Kebiasaannya, setiap tabiat adalah sangat sukar untuk ditinggalkan dan usaha untuk cuba menghalang diri dari terus melakukannya adalah bergantung kepada diri sendiri. Namun begitu, tabiat mengorek hidung dalam kalangan kanak-kanak ini sebenarnya boleh mereka tinggalkan dengan bantuan anda. Bagaimanakah caranya?

#1. Jangan sesekali kritik anak anda

Ini adalah perkara paling penting dan utama untuk dilakukan. Walaupun anda sudah pasti tidak selesa dengan tabiat anak anda itu, anda tidak patut memberi sebarang komen. Cara memaksa tidak akan membantu kerana anak anda sendiri mungkin tidak sedar akan tabiatnya. Selain itu, meletakkan tekanan ke atas mereka mungkin akan mendatangkan implikasi yang lain. Anak anda akan melihat tabiat ini sebagai jenaka untuk mengusik anda. Lebih kuat anda memaksa, lebih kuat mereka akan mengusik anda.

Ada ibu bapa pula yang akan menggunakan beberapa teknik lain seperti menampal kain pembalut pada jari anak untuk membuat mereka tidak boleh melakukan tabiat ini. Namun begitu, ini sebenarnya lebih berbentuk seperti hukuman. Sebaiknya, ajar anak anda untuk menghembus hidung mereka daripada mengoreknya dengan menggunakan jari.

#2. Beri perhatian kepada anak anda

Sekiranya anak anda terlalu asyik mengorek hidung dan tidak sengaja mencederakan hidung mereka sendiri yang mungkin akan menyebabkan pendarahan, segera bawa anak berjumpa doktor. Anda perlu pastikan tabiat mereka itu hanyalah satu tabiat semata-mata dan bukannya berkaitan dengan sebarang kondisi kesihatan mereka.

#3. Beri alternatif kepada anak anda

Sekiranya anda seakan dapat menjangka waktu dan tempat anak anda gemar atau akan melakukan tabiat mengorek hidung mereka, anda boleh cuba untuk alihkan perhatian mereka dengan memberikan sebarang objek untuk dipegang oleh mereka. Ia mungkin boleh jadi mainan atau makanan kesukaan mereka untuk membuat mereka leka.

#4. Anda perlu terus bersabar

Ketika mereka sedang membesar, anak anda mungkin akan mula mempunyai minat lain dan akhirnya tidak lagi mempunyai tabiat mengorek hidung. Apabila mereka mula bersekolah pula, mereka pasti akan berhenti melakukannya supaya tidak menjadi bahan ketawa di dalam bilik darjah. Kadangkala, masa adalah penawar untuk segalanya. Oleh itu, apa yang anda perlu lakukan hanya bersabar dan berharap ia akan pergi dengan sendiri.

hidung berdarah

Punca-punca lain kanak-kanak mengalami hidung berdarah

Pun begitu, sudah tentu bukan itu sahaja punca kanak kanak mengalami hidung berdarah. Terdapat punca-punca lain juga yang akan menyebabkan keadaan ini berlaku, antaranya:

  • Trauma

Hidung yang terhantuk pada sesuatu objek atau tempat yang keras akan mengalami kecederaan dan menyebabkan pendarahan. Ini tidak semestinya bermakna batang hidung itu telah patah atau apa-apa yang serius telah berlaku. Selain terhantuk, ia juga mungkin berlaku disebabkan oleh pergaduhan sesama rakan sebaya mereka yang melibatkan penumbuk atau penyepak tepat di hidung anak anda.

  • Jangkitan yang teruk pada hidung

Hidung yang tersumbat teruk akibat alahan, sinus, atau demam selesema juga mungkin akan menyebabkan keadaan hidung berdarah. Selain itu, hidung anak anda juga boleh mengalami pendarahan jika terdapat apa-apa yang merengsakan hidung terutamanya apabila anak menghembus hidung dengan terlalu kuat.

  • Infeksi bakteria atau impetigo

Lapisan dalam hidung mudah terdedah kepada infeksi daripada bakteria lantas mungkin menyebabkan hidung anak anda berdarah.

  • Udara kering

Rembesan hidung akan menjadi kering sehingga menyebabkan anak suka korek hidung. Ini kemudiannya mungkin akan menjadi punca si comel anda mengalami pendarahan hidung.

  • Darah beku

Ini juga merupakan salah satu punca kanak-kanak mengalami pendarahan hidung dan juga merupakan punca yang paling ditakuti. Namun begitu, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana keadaan ini jarang berlaku kecuali didiagnosis oleh doktor.

Jika anak anda mula menunjukkan gejala-gejala hidung berdarah, perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah jangan panik. Ibu bapa seharusnya mempelajari berkenaan cara untuk mengendalikan keadaan jika anak anda mengalami pendarahan pada hidung.

hidung berdarah

Bagaimana mengendalikan hidung berdarah?

Minta anak anda melakukan prosedur untuk mengendalikan hidung berdarah. Prosedur tersebut termasuklah 4 langkah seperti yang dinyatakan berikut:

Langkah #1: Duduk tegak

Apabila duduk tegak, anak anda boleh mengurangkan tekanan darah di dalam pembuluh darah pada hidung mereka. Oleh itu, ia akan membantu menghentikan pendarahan selanjutnya.

Langkah #2: Picit hidung

Gunakan ibu jari dan jari telunjuk untuk menutup lubang hidung. Picit hidung selama kira-kira 5 hingga 10 minit. Ketika ini, gunakan mulut untuk bernafas. Dengan menutup lubang hidung, anak anda boleh menghalang aliran darah ke titik pendarahan.

Langkah #3: Mencegah pendarahan semula

Beberapa jam selepas hidung berdarah, jangan pegang hidung atau tunduk ke bawah. Cuba kekalkan kepala dalam kedudukan yang lebih tinggi daripada paras jantung.

Langkah #4: Mengawal pendarahan semula

Sekiranya pendarahan semula berlaku, cuba hembus nafas melalui hidung untuk menghilangkan semua darah beku di dalam hidung. Gunakan semburan yang mengandungi oxymetazoline. Seterusnya, picit hidung dan dapatkan bantuan perubatan.

Bilakah perlu mendapatkan rawatan kecemasan?

Dalam kes-kes yang berikut, rawatan kecemasan perlu dilakukan:

  • Hidung berdarah disebabkan oleh kemalangan
  • Pendarahan tidak berhenti selepas 20 minit

Bila perlu hubungi doktor?

Sekiranya anak anda mengalami masalah hidung berdarah kerap, anda perlu menghubungi doktor. Doktor dalam kes ini boleh mencadangkan vessel cautery. Teknik ini melibatkan penggunaan arus elektrik atau laser untuk membakar salur darah. Kemudian kain kasa khas akan digunakan untuk memberikan tekanan kepada saluran darah bagi menghentikan pendarahan.

Sekiranya seseorang itu menggunakan pencair darah dan mengalami hidung berdarah, doktor kemudiannya boleh menukar atau mengubah dos ubat tersebut.

Kebanyakan kes hidung berdarah dalam kalangan kanak-kanak hanyalah sebuah gangguan yang sementara sahaja. Namun begitu, ia kadangkala merupakan maslah kesihatan yang sebenar. Oleh itu, di samping mengawal pendarahan, puncanya harus dikenal pasti terlebih dahulu sebelum merawatnya.

hidung berdarah

Kadangkala, rawatan di rumah juga boleh dilakukan. Ini bukan bermaksud anda sebagai ibu bapa cuba untuk menjadi ‘doktor’ sendiri di rumah anda. Rawatan di rumah ini mungkin boleh dilakukan jika anda yakin bahawa anak anda mengalami pendarahan hidung disebabkan oleh sesuatu yang tidak kritikal dan hanya gangguan yang sementara sahaja.

Antara rawatan hidung berdarah di rumah yang boleh dilakukan adalah:

#1. Tuam sejuk

Salah satu ubat yang paling berkesan untuk pendarahan hidung termasuk tuam sejuk. Meletakkan tekanan sejuk terhadap hidung anda selama beberapa minit dapat membantu menyempitkan saluran darah kecil di hidung anda yang berdarah. Selesema akan menggalakkan saluran darah dalaman hidung sempit.

#2. Picit hidung

Cara paling mudah adalah memicit hidung anda kerana ia menghantar tekanan ke titik pendarahan dalam septum hidung yang membantu darah berhenti mengalir dengan serta-merta. Apa yang perlu anda lakukan ialah duduk tegak dengan kepala anda condong sedikit ke hadapan. Menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, picit bahagian lembut hidung anda. Lakukan ini selama kira-kira lima hingga 10 minit. Pastikan anda bernafas daripada mulut. Melepaskan tekanan perlahan-lahan dan duduk diam selama kira-kira lima minit. Ulangi sehingga darah tidak berhenti mengalir.

#3. Vitamin K

Makanan kaya Vitamin K seperti bayam, brokoli, kubis, dan lain-lain terlibat dalam pembentukan kolagen yang membantu dalam membuat lapisan lembap di dalam hidung anda. Vitamin ini membantu menjaga saluran darah dalam keadaan baik dan menghalangnya daripada pecah dengan mudah. Untuk penawar jangka panjang, makan makanan yang kaya dengan vitamin K banyak membantu. Sayuran berdaun hijau memudahkan pembekuan darah.

#4. Vitamin C

Mendapatkan makanan vitamin C yang secukupnya setiap hari boleh membantu membuat saluran darah lebih kuat supaya tidak terdedah kepada pecah dan menyebabkan hidung berdarah.

#5. Minum banyak air

Kurangnya pengambilan cecair sepanjang hari boleh mengakibatkan kekeringan dalam membran mukus menyebabkan pendarahan hidung. Pastikan anda minum air yang mencukupi sepanjang hari.

Sekiranya berlaku pendarahan hidung yang teruk, segera berjumpa doktor untuk rawatan selanjutnya.

Konklusi

Konklusinya, masalah hidung berdarah dalam kalangan kanak-kanak adalah normal dan biasa berlaku kepada mereka. Cuma, ia kadangkala mungkin agak ringan dan sementara. Tetapi, ia juga boleh jadi agak teruk dan kritikal.

Rawatan segera merawat pendarahan hidung ini mungkin boleh ibu bapa lakukan sendiri di rumah. Pun begitu, ia agak berisiko kerana anda sendiri mungkin tidak tahu akan punca sebenar mengapa keadaan ini berlaku.

Jadi, anda sebaiknya membawa anak anda berjumpa dengan doktor sekiranya mereka mula menunjukkan gejala-gejala pendarahan hidung. Ini bertujuan untuk memastikan mereka didiagnosis dengan tepat serta mendapat khidmat nasihat dan rawatan yang sebetulnya.

Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda sedikit sebanyak mengetahui mengenai masalah hidung berdarah dalam kalangan kanak-kanak.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Artikel lain untuk anda

    dehydrated

    Dehidrasi Dan Apa yang Anda Perlu Tahu

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Farah Aziz
    Diterbitkan pada 29/01/2019 . 2 minit bacaan
    Kelesuan Haba

    Kelesuan Haba

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif
    Diterbitkan pada 25/05/2018 . 4 minit bacaan
    Panax Pseudoginseng

    Panax Pseudoginseng

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Nur Hadirah Mustafa
    Diterbitkan pada 22/05/2018 . 2 minit bacaan

    5 Punca Mulut Terasa Pahit Semasa Puasa

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Farah Aziz
    Diterbitkan pada 25/04/2018 . 2 minit bacaan