Komuniti merupakan platform selamat untuk anda berhubung dengan ahli lain, meinggalkan komen megenai topik yang anda pilih dan mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan kami.
FAQ: Pakar Pediatrik Jawab Soalan Lazim Tanda HFMD & Tip Penjagaan Anak
Penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) adalah jangkitan virus ringan dan mudah berjangkit yang biasa berlaku pada kanak-kanak kecil. Penyakit ini mendapat namanya daripada tanda HFMD itu sendiri iaitu kemunculan ruam lepuh pada tangan dan kaki.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Penyakit tangan kaki dan mulut HFMD
Penyakit HFMD mungkin nampak teruk dengan lepuh sana sini tetapi sebenarnya ia adalah penyakit yang tidak serius.
Biasanya mereka yang dijangkiti akan sembuh dengan sendirinya dalam jangka waktu tujuh hingga 10 hari. Jika muncul tanda HFMD pada anak, jangan panik kerana penyakit ini bersifat ‘self-limiting‘.
Walaupun penyakit ini dikatakan tidak serius, namun sebagai ibu bapa, melihat si kecil mengalami lepuh disebabkan HFMD pastinya akan menimbulkan kebimbangan di hati.
Kebimbangan yang dirasai itu sudah tentu membuatkan pelbagai soalan bermain di fikiran, betul tak?
Berita baiknya, Pakar Pediatrik dari Columbia Asia Hospital, Iskandar Puteri, Dr Azhar Napis mempunyai jawapan bagi persoalan yang mungkin bermain di minda anda.
HFMD disebabkan oleh virus daripada kumpulan coxsackie enterovirus, terutamanya virus coxsackie A16, yang menyebabkan lepuh pada tangan dan kaki, dalam mulut, serta di kawasan lampin.
Siapa yang selalunya dijangkiti HFMD?
HFMD banyak menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 10 tahun. Walau bagaimanapun, ia juga boleh menimpa kanak-kanak yang lebih tua, malahan juga orang dewasa!
Bagaimana jangkitan ini menular?
HFMD menular melalui sentuhan langsung dengan cecair dari kulit yang berlepuh, hidung, dan cecair tekak termasuk air liur, kahak, atau hingus, titisan bersin dan batuk, serta najis.
Kulit berlepuh disebabkan tanda HFMD pada anak adalah berjangkit selagi ia belum kering dan tidak mengandungi cecair di dalamnya.
Anda dinasihatkan untuk tidak mencucuk lepuh pada badan anak kerana cecair di dalamnya boleh menjangkiti orang lain.
Baca juga:
Biasanya, berapa lama seseorang itu dijangkiti HFMD sebelum sembuh?
HFMD biasanya berlangsung selama tujuh hingga 10 hari. Virus ini juga boleh berada di dalam najis selama beberapa minggu selepas lepuh pada kulit hilang.
Oleh itu, faktor kebersihan sangat penting untuk mengelakkan penularan kepada orang lain walaupun anak sudah sihat.
Apakah tanda HFMD pada anak?
Simptom HFMD termasuklah demam, sakit tekak, kehadiran luka kecil seperti lepuh dalam mulut, tepi lidah, tapak tangan, jari, tapak kaki dan kawasan lampin.
Kanak-kanak yang dijangkiti HFMD pula akan menunjukkan gejala meragam, letih dan tidak berselera makan.
Jika anak yang menghidap HFMD mengalami sakit kepala yang teruk, demam berterusan, atau gejala lain yang membimbangkan, segera dapatkan nasihat doktor.
Apakah rawatan untuk HFMD?
Tiada rawatan khusus untuk merawat HFMD. Biasanya rawatan di rumah sudah memadai bagi membantu mengurangkan gejalanya.
Anda boleh memberikan anak paracetamol (bukan aspirin) bagi meredakan demam.
Galakkan anak untuk memperbanyakkan minum air. Tetapi elakkan minuman berasid seperti jus oren yang boleh menyebabkan kesakitan terutamanya bagi kanak-kanak yang mengalami ulser dalam mulut.
Lepuh harus dibiarkan kering secara semula jadi dan elakkan daripada cubaan untuk memecahkannya kerana cecair di dalamnya boleh menjangkiti bahagian lain pada badan.
Apakah tip untuk ibu bapa menangani anak yang dijangkiti HFMD?
Bagi memastikan anak berada dalam keadaan selesa sepanjang proses pemulihan HFMD, ibu bapa boleh melakukan cara seperti berikut:
Memberikan ubat seperti paracetamol atau ibuprofen untuk menurunkan panas badan
Menyediakan semburan mulut untuk membantu membasmi kuman dan ulser
Mengelakkan minuman berasid dan air soda yang boleh merengsakan tekak
Apakah langkah-langkah pencegahan HFMD?
Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi mengurangkan risiko terkena HFMD, antaranya:
Amalkan tabiat mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas menyentuh pesakit HFMD
Basuh pakaian atau mainan yang mungkin terkena virus tersebut dengan bersih
Bersin dengan menutup mulut menggunakan lengan
Jangan berkongsi peralatan makanan dan minuman
Elakkan berkongsi barangan kebersihan diri seperti tuala, sabun dan berus gigi serta pakaian
Pastikan anak yang dijangkiti HFMD tidak menghadiri sekolah atau pusat jagaan (taska) kanak-kanak sehingga sembuh. Maklumkan keadaan anak kepada pihak sekolah atau pusat jagaan
Sekiranya terdapat sebarang keraguan atau kebimbangan mengenai tanda HFMD, berundinglah dengan doktor bagi mendapatkan lebih kepastian.
[embed-health-tool-child-growth-chart]
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hand-Foot-Mouth Disease. https://www.nationwidechildrens.org/conditions/hand-foot-mouth-disease. Accessed on Aug 1, 2023.
Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Malaysia. http://www.myhealth.gov.my/en/situasi-terkini-penyakit-tangan-kaki-dan-mulut-hfmd-di-malaysia-2/. Accessed on Aug 1, 2023.
Hand, Foot and Mouth Disease.https://www.who.int/westernpacific/emergencies/surveillance/archives/hand-foot-and-mouth-disease. Accessed on Aug 1, 2023.
Hand-foot-and-mouth disease. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/hand-foot-and-mouth-disease/symptoms-causes/syc-20353035. Accessed on Aug 1, 2023.
Hand, Foot and Mouth Disease. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/11129-hand-foot-and-mouth-disease. Accessed on Aug 1, 2023.
Hand, Foot, and Mouth Disease (HFMD). https://www.cdc.gov/hand-foot-mouth/about/signs-symptoms.html#. Accessed on Aug 1, 2023.