Ciri taska yang baik
Jika anda sebagai ibu bapa memutuskan untuk menghantar anak anda ke taska, pastinya anda perlu mengetahui dan memastikan tentang beberapa perkara sebelum menghantar anak anda. Antaranya adalah:
- Berdaftar
Taska yang anda pilih haruslah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini adalah penting untuk memastikan bahawa taska tersebut mengikut standard yang ditetapkan dan menepati piawaian dalam penjagaan kanak-kanak.
- Kawasan persekitaran
Perkara lain yang harus menjadi keutamaan pemilihan taska sebelum membuat sebarang keputusan adalah anda harus memastikan kawasan taska dan sekitarnya adalah selamat. Ini adalah faktor yang amat penting. Cuba lihat dan perhatikan kawasan persekitarannya, adakah ia kawasan perumahan atau kawasan perkilangan? Bagaimana pula dengan keadaan jalan, adakah terdapat jalan raya yang berhampiran dengan taska? Apakah ia boleh mengundang bahaya? Itu adalah antara perkara yang harus diambil kira.

- Aspek keselamatan
Sekiranya taska yang anda pilih itu merupakan rumah sama ada setingkat atau dua tingkat yang dijadikan premis pusat jagaan, beberapa perkara yang perlu anda lihat adalah; adakah terdapat tangga keselamatan, pintu kecemasan dan juga alat pemadam kebakaran? Ini antara perkara yang sangat penting untuk dititik beratkan. Pihak taska harus mendapatkan kelulusan pihak tertentu bagi menentukan sama ada jika berlaku kecemasan seperti kebakaran, pihak taska berkenaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
- Kebersihan
Selain faktor keselamatan, aspek lain yang harus menjadi keutamaan adalah soal kebersihan. Ini kerana, taska yang bersih adalah memainkan peranan yang penting dalam menjamin tahap kesihatan yang baik untuk anak-anak anda. Penyakit berjangkit seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) adalah antara penyakit yang mudah menjangkiti dalam kalangan kanak-kanak. Ia mudah merebak dan dijangkiti jika kawasan dan tempat anak-anak anda tinggal tidak berada dalam keadaan baik dan tidak dijaga kebersihannya.
Penyediaan menghantar anak ke taska atau pengasuh
Sekiranya anda sudah mendapat dan memilih taska atau pengasuh untuk anak anda, terdapat satu lagi perkara yang perlu anda lakukan iaitu persediaan untuk menghantar anak anda ke taska atau rumah pengasuh. Terdapat beberapa perkara yang mungkin akan berlaku, seperti anak anda mungkin akan menangis ketakutan sebelum pergi ke taska atau rumah pengasuh. Ia adalah satu perkara normal kerana ia melibatkan pengalaman baru dan perubahan besar kepada si manja, lebih-lebih lagi jika sebelum ini anda menghantarnya kepada pengasuh lain atau anda sendiri yang menjaganya. Adalah penting untuk menjaga emosi dan perasaan anak anda.
Memilih untuk menghantar anak ke taska atau pengasuh adalah cara terbaik untuk menjadikan anak anda lebih berdikari dan belajar bersosial bersama kanak-kanak lain seusianya. Berikut adalah beberapa tip persediaan untuk menghadapi cabaran bagi menghantar anak ke taska mahupun rumah pengasuh:
- Berbual
Dalam beberapa minggu sebelum anda mula menghantarnya ke taska atau rumah pengasuh, katakan kepada anak anda mengenai kanak-kanak lain yang sebaya dengannya yang pergi ke sekolah, contohnya seperti, kakak ataupun abang yang lebih tua. Atau anda boleh beri contoh individu dewasa yang pergi ke tempat yang berlainan pada waktu pagi. Contohnya ibu dan ayah yang pergi bekerja, kemudian pulang ke rumah untuk makan malam dan kita semua tidur di rumah yang sama. Inilah juga cara yang sama untuk kanak-kanak pergi ke taska, rumah pengasuh, sekolah atau tadika dan kemudian balik semula ke rumah.
- Penjelasan
Sebaiknya berikan penjelasan pada anak anda mengapa mereka perlu pergi taska atau rumah pengasuh. Katakan kepada anak anda bahawa anda dan pasangan, sebagai ibu bapa perlu bekerja untuk mendapatkan wang bagi menampung dan menyara keluarga. Kemudian, dengan cara yang baik, perjelaskan kepadanya mengapa kanak-kanak perlu pergi ke sekolah, taska atau rumah pengasuh; untuk belajar, berseronok, bermain dan berjumpa dengan rakan-rakan sebaya.
Sekiranya pada hari anda menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh, dan anak anda menangis, ini tidak bermaksud bahawa anak anda tidak faham. Jangan memandang rendah keupayaan anak anda untuk memahami penjelasan yang diberikan oleh ibu bapa. Ini kerana kanak-kanak mempunyai minda dan pemikiran yang aktif dan boleh menyerap apa yang dikatakan oleh ibu bapanya jika bahasa yang digunakan adalah mudah dan ringkas serta penggunaan nada yang lembut. Tetapi mereka mungkin menangis disebabkan perkara lain.
- Melawat
Jika anda mempunyai kelapangan, adalah sebaiknya anda mengambil peluang untuk membawa anak anda melawat taska atau rumah pengasuhnya. Ini adalah untuk memberikan peluang kepada anak anda melihat dan mencuba untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain. Ini mungkin dapat menarik minat anak anda dan memudahkan anda menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh apabila dia telah mendapat rakan yang baru. Namun sekiranya ia tidak berjaya menarik minat anak anda, malah anak anda mungkin menangis setiap kali anda menghantarnya ke taska dan rumah pengasuh, anda sebagai ibu bapa tidak perlu berasa bimbang. Anak anda pasti akan dapat membiasakan diri selepas beberapa hari ataupun minggu.
- Kenali pengasuh
Sebagai ibu bapa, anda tidak harus melepaskan tanggungjawab kepada pengasuh atau penjaga taska sebaik sahaja anda menghantar anak anda. Sebaiknya anda perlu mengambil peluang untuk saling mengenali dengan individu yang akan mengambil tanggungjawab dan peranan menjaga anak anda. Mungkin terdapat perkara yang boleh dibincangkan seperti cara didikan dan keperluan anak anda. Cara terbaik adalah untuk berkongsi dengan penjaga anak anda tentang perangai anak anda di rumah, ia pasti dapat membantu pengasuh atau pihak taska dalam menjaga anak anda.

Yang mana lebih baik?
Sebenarnya, apa yang boleh disimpulkan, keputusan sama ada untuk menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh, kedua-duanya tidak mendatangkan sebarang masalah sekiranya anda dapat menghantar anak-anak anda ke rumah pengasuh atau taska yang boleh dipercayai. Namun, mungkin sebaiknya, bagi anda yang mempunyai anak kecil atau bayi, sebagai permulaan, anda boleh menghantarnya ke rumah pengasuh yang berdaftar dan hanya mempunyai anak jagaan dalam jumlah yang kecil. Ini membolehkan anak kecil atau bayi anda mendapat perhatian dan jagaan yang lebih baik, berbanding menghantarnya ke taska yang kebiasaannya mempunyai bilangan anak jagaan yang lebih ramai.
Namun, apabila anak anda sudah boleh berjalan, berdikari seperti makan dan minum sendiri, sekitar usia 3 tahun dan ke atas, anda mungkin boleh menghantar anak anda ke pusat jagaan atau taska. Ini kerana apabila menghantar anak anda ke taska, ia sekali gus membolehkan anak anda untuk belajar bersosial dan berkomunikasi dengan kanak-kanak yang seusia dengannya. Walau bagaimanapun, pastikan taska yang anda pilih itu telah berdaftar untuk aspek keselamatan.
Jadi walau apa pun keputusan yang anda dan pasangan ambil, sama ada memilih taska ataupun menghantarnya ke rumah pengasuh, pastikan anda tetap mengambil kira tentang faktor dan aspek penting seperti yang dinyatakan di atas.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen