backup og meta

Ibu, Cukup Tak Air Yang Anak Minum Setiap Hari? Ini Panduan Jumlah Air Yang Si Kecil Perlukan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 11/07/2020

    Ibu, Cukup Tak Air Yang Anak Minum Setiap Hari? Ini Panduan Jumlah Air Yang Si Kecil Perlukan

    Sebagai ibu, pastinya anda akan sentiasa menyuruh anak minum air. Tapi adakah keperluan air seharian mereka mencukupi? Ini panduan yang boleh membantu anda. 

    Pentingnya minum air 

    Air adalah antara nutrien paling penting dalam badan. 

    Ini kerana seorang individu mungkin akan dapat bertahan sehingga 6 minggu tanpa sebarang makanan. 

    Tetapi mereka tidak akan mampu untuk hidup lebih daripada tempoh seminggu atau lebih tanpa air.

    Ia disebabkan air adalah tonggak utama bagi semua fungsi badan. Air merupakan zat paling banyak dalam badan, merangkumi 60% daripada berat badan.

    Keperluan air

    Anda mungkin berasa air cuma sekadar benda yang kita minum semata-mata. Hakikatnya, kepentingan air dalam kehidupan manusia tidak boleh dipertikaikan.

    Air membantu mengekalkan jumlah darah serta melancarkan sendi dan tisu pada bahagian mulut, mata dan hidung.

    Dengan minum air, ia membantu menjaga dan mengekalkan suhu badan pada sekitar 37℃.

    Di samping itu, anda tidak boleh menidakkan keperluan air yang membantu mengangkut nutrien dan oksigen ke semua sel serta membawa keluar bahan buangan. 

    Apabila badan menjadi panas – mungkin disebabkan bahang daripada keadaan cuaca ataupun kerana aktiviti fizikal – otak memberi isyarat pada kelenjar peluh untuk mengeluarkan peluh.

    Secara tidak langsung, badan akan menyejukkan diri dengan penyejatan peluh daripada kulit.

    Namun, andai badan mengalami dehidrasi, sudah tentu badan tidak akan dapat berpeluh untuk memastikannya kekal sejuk.

    Air juga memainkan peranan dalam menjaga pergerakan usus secara teratur dan mencegah sebarang keadaan seperti jangkitan saluran kencing dan batu karang.

    Berapa banyak anak anda perlu minum air?

    Individu dewasa digalakkan untuk minum sehingga 2.5 liter atau 8 gelas air setiap hari, bagaimana pula dengan kanak-kanak?

    Jumlah keperluan air harian yang diperlukan oleh anak anda bergantung kepada faktor seperti usia, berat badan dan juga jantina.

    Selain itu, suhu dan kelembapan persekitaran, tahap aktiviti dan kesihatan keseluruhan anak juga akan mempengaruhi kadar air harian yang diperlukan. 

    Sebagai panduan umum, berikut adalah kadar minum air untuk anak setiap hari:

  • Anak berusia 2 hingga 4 tahun, lelaki atau perempuan = 2 – 4 cawan
  • Anak berusia 4 hingga 8 tahun, lelaki atau perempuan = 5 cawan
  • Anak berusia 9 hingga 13 tahun 
    • Lelaki = 8 cawan
    • Perempuan = 7 gelas
  • Anak berusia 14 hingga 18 tahun
    • Lelaki = 11 cawan
    • Perempuan = 8 cawan
  • Jumlah air yang diperlukan oleh anak anda nampak seperti banyak. Namun ia merangkumi air daripada semua sumber seperti air kosong, minuman lain dan juga makanan.

    keperluan air

    Buah-buahan dan sayuran, umumnya, mempunyai kandungan air yang jauh lebih tinggi daripada makanan pejal lain. 

    Kandungan air yang tinggi membantu mengekalkan tahap kalori buah-buahan dan sayuran untuk sentiasa rendah dan tahap nutrien yang kekal tinggi.

    Ini pastinya 1 alasan baik untuk meminta si manja makan lebih banyak buah dan sayur, kan?

    Jenis minuman terbaik untuk anak

    Seperti dinyatakan di atas, keperluan air adalah merangkumi pelbagai jenis air daripada sumber yang berbeza.

    Jadi jom ketahui jenis air yang terbaik untuk si manja:

    1. Air kosong

    Pilihan yang terbaik kerana ia membantu menghidrat tanpa memberikan kalori tambahan atau membahayakan kesihatan gigi anak.

    1. Susu

    Sumber nutrien yang berguna, terutamanya protein, vitamin B, sodium dan kalsium.  

    Susu dengan kandungan gula tambahan seperti milkshake, coklat panas atau minuman malt disyorkan untuk diminum sekali-sekala.

    1. Jus buah-buahan

    Jus yang dihasilkan daripada buah-buahan dan sayuran juga pastinya dapat memberikan beberapa vitamin dan mineral.

    Tetapi ada sesetengah jus yang berasid dan mempunyai kandungan gula tinggi.

    Jadi anda disarankan untuk mengehadkan jumlah pemberian jus dalam gelas kecil dengan isipadu 150 ml jus asli sahaja pada anak. 

    Tetapi isipadu 150 ml jus itu adalah jumlah maksimum 1 bahagian untuk 5 hari. 

    Anda boleh mencairkannya dengan mencampurkan dengan air bagi mengurangkan kandungan asid dan gula.

    1. Minuman manis

    Memberi anak minum air manis bukanlah 1 idea yang baik. Sebaiknya anda harus mengelakkannya.

    Ini kerana minuman manis seperti air soda mengandungi gula yang tinggi. Bahkan terdapat asid yang boleh menghakis lapisan permukaan luar gigi.

    1. Teh & kopi

    Kandungan kafein secara semula jadi terdapat dalam kedua-dua minuman ini. Pengambilan dalam jumlah yang sedikit tidak berbahaya.

    Tetapi jika si manja gemar minum air teh atau kopi dengan banyak, anda perlu lakukan sesuatu untuk menghentikannya.

    minum air

    1. Minuman tenaga

    Biasanya minuman jenis ini mempunyai tahap kandungan gula yang tinggi. Dan terdapat juga minuman sukan yang turut mengandungi kafein atau bahan perangsang lain. 

    Sudah tentu ia bukan minuman yang sesuai untuk anak kecil.

    Sentiasa ingatkan anak…

    Anak-anak memang selalu terlupa untuk minum air, apatah lagi apabila sibuk bermain.

    Jadi sebagai ibu bapa, anda harus sentiasa cuba menggalakkan mereka minum secara berkala bagi memenuhi kadar keperluan air harian mereka.

    Pastikan anda sentiasa membawa bekalan air kosong ke mana sahaja pergi, okay?

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 11/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan