Hidung tersumbat dan selesema boleh menyebabkan bayi sukar melelapkan mata dengan lena, kesannya mereka lebih cenderung menjadi mudah meragam. Berita baiknya, terdapat posisi tidur untuk bayi selsema membolehkan si kecil melelapkan mata dengan nyenyak.
Ingin tahu posisi tidur bayi selsema yang bagaimana? Ayuh teruskan membaca perkongsian artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Punca hidung tersumbat & selesema bayi
Sebelum mengetahui apakah posisi tidur untuk bayi selsema, anda sebagai ibu bapa harus fahami apakah puncanya keadaan ini terjadi.
Seperti orang dewasa, bayi mengalami masalah hidung tersumbat atas pelbagai sebab.
Jika si kecil mengalami selesema atau mendapat jangkitan virus, badan akan mengeluarkan lendir tambahan untuk menghalang lebih banyak bakteria dan kuman daripada memasuki tubuh.
Sekiranya bayi berdepan alahan bermusim atau bahan pencemar seperti asap, badan juga akan menghasilkan lendir tambahan untuk memerangkap penceroboh ini.
Persekitaran udara kering turut merangsang tubuh mengeluarkan lebih banyak lendir sebagai pelincir saluran hidung – turut menyumbang kepada masalah hidung tersumbat.
Baca juga:
Oleh sebab saluran pernafasan dan saluran hidung bayi bersaiz kecil, peningkatan lendir walaupun sedikit cenderung mengakibatkan hidung tersumbat.
Jika bayi mengalami hidung tersumbat, antara gejala yang boleh dikenal pasti adalah:
- Hidung berair dengan hingus tebal
- Pernafasan bising
- Bersin
- Batuk
- Keengganan makan atau tidur
- Mudah meragam
Kenal pasti faktor risiko
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan kemungkinan si kecil mengalami masalah hidung tersumbat, sekali gus menjadikan posisi tidur bayi selsema penting untuk diamalkan.
Kecenderungan ini lebih tinggi terjadi jika anda berada dalam iklim kering atau altitud tinggi. Ini kerana udara kering merengsakan saluran hidung dan menyebabkan tersumbat. Dalam beberapa kes boleh mengakibatkan jangkitan sinus atau sinusitis.
Bagi bayi pramatang dan si kecil yang dilahirkan melalui kaedah pembedahan caesarean, mereka lebih terdedah untuk mengalami keadaan selesema dan hidung tersumbat ini.
Risiko selesema dan hidung tersumbat juga lebih tinggi kepada bayi yang dilahirkan oleh ibu dengan masalah diabetes.
Posisi tidur untuk bayi selsema
Kekerapan bayi mengalami masalah hidung tersumbat ini boleh disebabkan faktor sistem imun tubuh yang sedang berkembang.
Berbeza seperti individu dewasa, si kecil tidak tahu cara bernafas melalui mulut atau menghembus hingus. Ini menyebabkan mereka menjadi lebih sukar bernafas – kesannya si kecil akan meragam dan merengek terutamanya ketika tidur siang serta waktu menyusu.
Selain kesukaran untuk bernafas, hidung tersumbat yang disebabkan selesema ini boleh mengakibatkan mulut dan tekak kering.
Jadi apakah terdapat posisi tidur untuk bayi selsema yang dapat membantu si kecil melelapkan mata lebih lena?
Posisi tidur bayi selsema yang terbaik dan paling selamat adalah secara menelentang. Malah kedudukan tidur ini amat disarankan untuk si kecil di bawah usia setahun. Bayi yang mengalami perut berangin juga disyorkan untuk tidur dalam posisi ini.
Tetapi bagaimana jika si kecil masih tidak selesa dalam posisi ini? Jangan risau, ada cara lain!
Bantu si manja berehat dengan posisi tidur untuk bayi selsema
Oleh sebab posisi tidur secara mengiring atau meniarap untuk si manja adalah tidak digalakkan, anda boleh mencuba menidurkan bayi di dalam buaian bersama tetapan tidur bagi membolehkannya lena dengan selamat pada kedudukan sedikit condong, seperti:
- Baby bouncer (pengenjut bayi)
- Baby swings (buaian bayi jenis elektrik)
- Baby carrier wrap (pengendong bayi)
Ini kerana dalam kedudukan condong atau sedikit tegak ini dapat memudahkan aliran lendir ke tekak. Ini menjadikan ia posisi tidur untuk bayi selsema yang lebih menyelesakan.
Tetapi tidak disyorkan untuk meninggalkan bayi yang sedang tidur di dalam bouncer atau swings tanpa sebarang pengawasan.
Jika anda terfikir untuk meletakkan bantal atau barangan lain di dalam katil untuk membuatkan si kecil tidur condong, hentikannya. Tindakan anda ini meningkatkan risiko sindrom kematian mengejut (SIDS) kepada si kecil.
Sebaik sahaja si manja tertidur dan anda tidak dapat memantaunya, disarankan untuk mengalihkan mereka dengan perlahan-lahan untuk berbaring secara menelentang di atas katilnya.
Kesimpulan
Kini anda sudah mengetahui posisi tidur untuk bayi selsema yang dapat membantu mereka melelapkan mata dengan lebih lena dan selesa.
Namun harus diingatkan, sekiranya posisi tidur disarankan telah dicuba tetapi bayi masih tidak selesa, malah menunjukkan simptom disenaraikan di bawah, pastikan anda segera membawa mereka untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan perubatan:
- Mengalami batuk berterusan atau teruk
- Kesukaran bernafas
- Demam panas
- Kulit kebiruan atau sangat pucat
- Tidak mahu makan atau minum
- Tampak mengantuk
- Muntah-muntah
Sekiranya terdapat sebarang kebimbangan mengenai keadaan si kecil atau masalah selesema dan hidung tersumbatnya berlanjutan walaupun telah mencuba pelbagai petua dan tip, lakukan pemeriksaan dengan doktor bagi mendapatkan lebih kepastian, okay?
[embed-health-tool-child-growth-chart]