Mungkin anda masih rasa bersalah untuk mengejutkan si kecil yang sedang lena, namun berikut adalah sebabnya:
- Perut bayi cepat kosong
Fakta mengatakan bayi akan mencerna susu ibu dengan cepat dan mudah, malahan lebih cepat berbanding pencernaan susu formula.
Proses pencernaan yang cepat, ditambah dengan saiz perut bayi yang kecil – saiz perut bayi hanya lebih besar sedikit daripada bola ping-pong pada usia 2 minggu – maka keperluan fisiologinya perlu dipenuhi setiap 2-3 jam.
Manakala bayi yang diberikan susu formula, waktu penyusuan pula adalah lebih kurang antara 3-4 jam pada bulan pertama.
Ini kerana susu formula memerlukan waktu lebih lama untuk dicerna.
- Perlu tambahkan berat badan
Tidak mendapat makanan yang mencukupi boleh memperlahankan proses pertambahan berat bayi.
Bayi baru lahir biasanya hilang antara 5-10% berat selepas kelahiran, bergantung kepada kaedah bersalin.
Mereka memerlukan tempoh beberapa minggu pertama untuk mendapatkan kembali kehilangan berat tersebut.
Tidak mendapat makanan yang mencukupi juga cenderung menyebabkan masalah komplikasi berkaitan jaundis (demam kuning) dan tekanan darah rendah.

- Bekalan susu
Jika anda menyusu badan, penyusuan yang kerap dapat membantu menambah dan mengekalkan tahap bekalan susu badan.
Sekiranya anda kurang menyusukan bayi, ia boleh mengurangkan penghasilan dan pengeluaran susu.
- Tanda kelaparan
Bayi biasanya akan mengeluarkan isyarat kelaparan seperti memegang bibir atau menghisap jari.
Namun, apabila mereka benar-benar lapar, tangisanlah isyarat paling nyata.
Dan, jika ia berlaku anda mengalami sedikit kesukaran untuk menenangkan bayi yang menangis.
Jadi perhatikan sebarang signal tanda lapar yang mungkin diberikan si manja bagi memudahkan proses penyusuan.
Tetapi bagaimana untuk bangunkan si manja yang sedang tidur tanpa membuatkan mereka terkejut dan menangis?
Cara bangunkan bayi untuk menyusu
Untuk bangunkan si manja yang sedang lena bukanlah 1 perkara mudah.
Berikut dikongsikan 7 cara yang boleh ibu cuba untuk bangunkan si manja:
-
Sentuh si manja
Bangunkan si kecil dengan sentuhan lembut. Caranya adalah dengan menyentuh tapak kakinya. Anda juga boleh berikan sentuhan lembut pada tangan, kaki dan belakang badannya.
-
Bercakap dengan bayi
Cuba untuk ‘berbual’ dengan si manja yang sedang tidur. Mendengar suara anda mungkin cukup untuk membuatkan mereka terjaga.
-
Alihkan selimut
Jika bayi kelihatan selesa dengan selimut yang membaluti tubuhnya, cuba alihkan selimut tersebut.
Tetapi ingat, bayi boleh kehilangan suhu badan dengan cepat, jadi jangan biarkan bayi terdedah kepada cuaca sejuk untuk tempoh yang lama.
-
Cara bangunkan bayi untuk menyusu: Tukar lampin
Pergerakan yang berlaku di sekitarnya dan perasaan apabila lampin ditukar cukup bagi bangunkan bayi untuk menyusu.
Pastikan anda sudah bersedia untuk proses penyusuan badan selepas itu.

-
Gunakan kain basah
Aik, masih tidak bangun lagi? Mungkin anda boleh cuba lapkan kain basah (suam) pada muka si kecil.
-
Sendawakan bayi
Tepuk dan gosokkan perlahan-lahan bahagian belakang bayi untuk membuatkan dia terjaga.
Sendawa juga dapat menyingkirkan udara yang terperangkap dalam perut si kecil dan boleh menyebabkan mereka berasa tidak selesa.
-
Dekatkan bayi kepada payudara
Seandainya tip di atas masih tidak berjaya, cuba kaedah ini sebagai cara bangunkan bayi untuk menyusu.
Rooting reflex (refleks menghisap) yang ada dalam bayi akan membuatkannya tetap menyusu walaupun sedang tidur.
Anda juga boleh menitiskan beberapa titisan susu pada mulut si manja. Bau dan rasa susu mungkin akan membantu mereka menyusu.
Waktu penyusuan penting
Walaupun anda berasa kasihan perlu bangunkan bayi untuk menyusu, tetapi ia adalah 1 proses penting dalam tumbesaran si manja.
Jadi walau senyenyak mana bayi anda sedang lena, bangunkan dia untuk penyusuan. Sebaiknya ikutilah waktu penyusuan disarankan demi perkembangan bayi yang sihat.