Si kecil mula menunjukkan keinginan untuk naik turun anak tangga? Jangan bimbang, itu adalah salah satu perkembangan baik buat mereka. Jom ketahui teknik turun anak tangga yang boleh diajar kepada si manja.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Bila si comel mula naik turun anak tangga?
Seperti titik perkembangan lain, usia anak mula menunjukkan kemahuan memanjat tangga mungkin berbeza.
Usia 12 bulan
Bayi yang sudah pandai merangkak akan mula meneroka persekitarannya, termasuklah tangga. Menjelang usia setahun, si kecil mungkin akan mula memanjat tangga menggunakan lutut dan tangannya.
Biasanya apabila si kecil sudah mahir naik ke atas, mereka memerlukan beberapa minggu sebelum belajar menuruni tangga pula.
Usia 18 bulan
Sebaik sahaja si kecil mula berjalan dan berdiri dengan lebih stabil, mereka mungkin bersedia untuk menaiki tangga.
Pada usia ini, anak mungkin memanjat tangga langkah demi langkah pada satu masa. Dalam masa sama, mereka juga mungkin memerlukan bantuan pemegang tangga dan memegang tangan anda.
Usia 2 tahun
Menjelang ulang tahun keduanya, anak seharusnya sudah boleh naik tangga dengan sendiri – namun mungkin masih bergantung pada pemegang.
Usia 3 tahun
Sekitar usia ini, anak akan berjalan menaiki tangga sama seperti individu dewasa lain – kaki berselang-seli untuk setiap langkah.
Tetapi semasa menuruni tangga, mereka mungkin masih bergantung kepada corak langkah satu demi satu.
Usia 4 tahun
Memasuki usia prasekolah, anak biasanya sudah dapat menguasai teknik naik turun tangga, bahkan mungkin tidak lagi bergantung kepada pemegang.
Teknik turun anak tangga: Tip keselamatan
Sudah tentu apabila anak mula belajar memanjat tangga, sebagai ibu bapa, kita akan berasa risau. Tetapi terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk memastikan keselamatan mereka.
Tangga berkarpet
Sebaiknya, anak harus belajar memanjat tangga berkarpet. Ini kerana ia adalah lebih mudah dikemudi si kecil berbanding tangga konkrit atau jubin.
Mungkin anda boleh pertimbangkan untuk menambah karpet pada tangga di rumah.
Tangga berpagar kiri-kanan
Si kecil seharusnya belajar dan berlatih naik turun tangga dengan pagar di kiri-kanannya. Anda boleh meletakkan railing yang kukuh demi keselamatan mereka.
Pagar keselamatan, dalam teknik turun anak tangga
Demi keselamatan bayi, anda pastinya akan memasang pagar keselamatan pada tangga.
Jika anda ingin memberi ruang kepada si kecil untuk berlatih memanjat tangga dengan selamat, biarkan 3 anak tangga dari bawah tidak berpagar.
Halangan di tangga
Pastikan tangga anda bebas daripada sebarang halangan seperti barang mainan, buku atau sebarang item yang boleh menghalang si kecil berlatih menaiki dan menuruninya.
Bantu si kecil fahami teknik turun anak tangga
Tunjukkan cara menaiki tangga
Mulakan dengan menunjukkan kepada anak cara menaiki tiga tangga pertama.
Pegang pemegang tangga dan berjalan menaikinya perlahan-lahan. Kemudian, berpusing dan berjalan menuruni tangga.
Pegang tangan si kecil
Apabila si kecil memerhatikan anda menaiki tangga, tanyakan kepada mereka, “Husna nak cuba?”, Kemudian, pegang tangan dan berdiri di sebelah mereka semasa menaiki tangga satu demi satu.
Pastikan mereka meletakkan tangan sebelah lagi pada pemegang tangga atau railing supaya dapat mengekalkan keseimbangan.
Langkah demi langkah antara teknik turun anak tangga
Menuruni tangga mungkin lebih sukar untuk si kecil kerana mereka perlu pandai mengekalkan keseimbangan diri.
Berikan sokongan kepada mereka dengan memegang tangannya dan mengambil langkah satu demi satu.
Anda juga boleh mengira setiap langkah dengan kuat untuk membantu anak menumpukan fokus dan mengekalkan keseimbangan.
Mara ke atas
Apabila si kecil sudah menguasai tiga tangga pertama dari bawah, anda boleh membuka pagar keselamatan dan membiarkan mereka cuba menaiki tangga hingga ke puncaknya.
Pastikan anak memegang railing dan anda disarankan untuk berdiri satu atau dua langkah di belakangnya sekiranya mereka terjatuh.
Kesimpulan
Banyak latihan dan kesabaran yang diperlukan sebelum anak dapat berjalan naik dan turun tangga dengan cemerlangnya.
[embed-health-tool-child-growth-chart]