Jangan terkejut kerana antara ayah dan anak terdapat pengaruh kuat sehingga mampu diangkat menjadi sumber aspirasi kepada si kecil. Segalanya bermula dengan hanya melakukan tugasan rumah.
Teruskan membaca bagi mengetahui jenis tugas ayah setelah bayi lahir dan bagaimana ia boleh mempengaruhi anak.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Aspirasi ayah dan anak
Tidak dinafikan, ada kalanya anak-anak terlalu asyik bermain dalam dunia mereka dan seperti tidak mempedulikan kita sebagai ibu bapa.
Namun sebenarnya, tanpa disedari, terdapat banyak perkara yang kita lakukan boleh mempengaruhi mereka.
Antara ayah dan anak perempuannya, jika mereka gemar melakukan tugasan rumah, ia secara tidak langsung cenderung menjadi aspirasi untuk si kecil menjadi lebih berjaya di masa hadapan.
Ini kerana berdasarkan kajian, kanak-kanak perempuan dibesarkan dalam keluarga di mana si ayah melakukan kerja rumah yang sama atau lebih banyak berbanding ibu dikatakan mempunyai cita-cita lebih tinggi.
Jadi apa yang perlu dilakukan oleh kaum bapa adalah untuk merajinkan diri menolong isteri dalam tugasan rumah ini. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan prospek kerjaya anak perempuan anda.
Bagaimana pula dengan anak lelaki? Anak lelaki yang melihat ayahnya bersama-sama berganding bahu melakukan tugasan rumah turut akan menjadi individu ringan tulang ketika dewasa nanti.
Baca juga:
Jenis tugasan rumah boleh dilakukan ayah
Jadi dengan impak positifnya kepada anak-anak, berikut disenaraikan beberapa tugasan yang boleh kaum bapa lakukan:
Mendandan rambut
Bun dan high ponytail antara gaya dandanan rambut yang bukan mudah untuk dibuat, apatah lagi jika anda tidak pernah mempunyai rambut panjang. Tetapi percayalah, ia cara yang paling comel untuk merapatkan hubungan kalian.
[embed-health-tool-child-growth-chart]
Menyemak kerja rumah bantu eratkan hubungan ayah dan anak
Melainkan si ibu adalah seorang guru, maka sebagai ayah tiada salahnya anda membantu anak menyiapkan tugasan kerja rumah mereka.
Menyediakan botol susu
Apabila mempunyai bayi, antara perkara paling ketara adalah anda tidak akan cukup tidur. Ini kerana kebanyakan ibu bapa – khususnya ibu menyusu badan, perlu bangun dan menyusukan si kecil pada tengah malam.
Jadi apakah tugas ayah setelah bayi lahir? Anda boleh memanaskan susu yang dipam atau membancuh susu formula.
Membasuh baju
Jumlah baju kotor akan meningkat apabila anda mempunyai anak kecil dan bersekolah dan tugas ini tidak hanya perlu digalas oleh ibu.
Sebaliknya, sebagai ayah, kalian juga boleh membantu. Mungkin tip memastikan baju sekolah kekal putih boleh dijadikan panduan.
Menghantar anak ke sekolah
Apa salahnya jika si ayah membantu menghantar anak ke sekolah sebelum ke tempat kerja? Jika berkesempatan, anda juga boleh membantu menjemput anak pulang selepas habis sesi persekolahan.
Hubungan ayah dan anak #Luangkan masa sebelum tidur
Menidurkan anak antara cara terbaik mengeratkan hubungan dengan ibu bapa. Jika selalunya si ibu yang melakukannya, apa kata tugasan ini diambil ayah sekali-sekala?
Mengemas pakaian
Kebiasaannya tugas melipat, menyusun dan mengemas pakaian akan dilakukan si ibu, betul? Tetapi hakikatnya ayah juga perlu sama mengambil bahagian.
Memotong kuku, salah satu tugas ayah setelah bayi lahir
Bayi baru lahir mempunyai cakaran kuku yang sangat tajam. Ada kalanya, sebagai ibu, wujud rasa bimbang untuk memotong kuku si kecil – risau terpotong isi. Jadi ayah, ayuh galas tanggungjawab merapikan kuku si kecil!
Memandikan anak
Siapa yang tidak suka bermain air? Ayah, jangan lepaskan peluang ini untuk merapatkan hubungan dengan anak-anak. Sambil memandikan anak, ajak mereka bermain buih bersama beberapa ekor itik getah.
Membeli barangan runcit
Tugasan membeli barangan runcit turut harus sama digalas kaum bapa. Apa kata ayah dan anak lelaki, meluangkan masa bersama membeli barangan di pasar?
Memasak hidangan makanan
Hidangan makanan di sini bermaksud hidangan lengkap dan berkhasiat, bukan sekadar roti bersama sapuan mentega kacang.
Jika selalunya si ibu yang akan ‘bertukang’ di dapur untuk menyediakan hidangan makan, apa kata sesekali, ayah mengambil tugas ini? Ia bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan anak, tetapi ikatan perkahwinan kalian juga akan semakin utuh.
Membasuh pinggan
Tugasan mencuci pinggan ini boleh dilakukan secara bergilir antara ibu dan ayah. Jangan hanya mengharapkan isteri membasuh pinggan setelah selesai makan.
Eratkan hubungan ayah dan anak #Menjaga ketika sakit
Sebagai seorang bapa, anda juga memainkan peranan penting untuk menjaga anak yang tidak sihat. Jangan hanya membiarkan si ibu menggalas tanggungjawab ini.
Menukar lampin, tugas ayah setelah bayi lahir
Tidak tertulis tanggungjawab menukar lampin ini jatuh kepada si ibu, betul tak? Jadi ayah juga harus bersama-sama menggalas tugasan ini.
Usah berasa geli melihat najis anak dan segan untuk membantu menukar lampin si kecil di tempat awam.
Akhir kata
Tiada salahnya untuk bapa sama-sama berganding mahu melakukan tugasan rumah bersama ibu.
Sebaik sahaja menjadi pasangan suami isteri dan seterusnya bergelar ibu bapa, segala tugasan rumah adalah tanggungjawab bersama. Susah sama dipikul, ringan sama dijinjing.