Dalam hidup ini, ada had atau batasan dalam sesuatu perkara seperti melibatkan adab berkawan. Jika tidak, ia boleh menyebabkan kesan negatif, bukan sahaja kepada diri sendiri, bahkan persekitaran kita.
Seperti peribahasa ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’, ayuh teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui kepentingan mendidik anak mengenai had atau boundaries terutamanya berkaitan adab berkomunikasi dengan individu lain.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Kesan tanpa adab komunikasi
Mengapa anak perlu mengetahui adab berkawan?
Pernah tak anda mengalami situasi di mana anak balik dari sekolah dengan muka yang sedih atau monyok dan apabila ditanya, katanya diejek atau dibuli kawan?
Ada sekali selepas mengambil anak daripada sesi persekolahan, wajah si kecil tampak suram – tidak seceria biasa. Sudah tentu sebagai seorang ibu, hati berasa bimbang dan tertanya-tanya puncanya.
Setelah ditanya, akhirnya si kecil mengadu bahawa dirinya diejek rakan sekelas dengan mengatakan dirinya ‘kecik’.
Tindakan yang boleh penulis lakukan adalah untuk memujuk anak menerimanya dari sudut positif, seperti “Baguslah kawan cakap Husna kecil, sebab kecil itukan comel”.
Dalam masa yang sama penulis memberi pujian di atas tindakan anak kerana tidak membalas ejekan rakannya itu.
Inilah pengalaman yang penulis hadapi dan pastinya ada ibu bapa di luar sana turut pernah mengalami pengalaman sama seperti ini, betul tak?
Memang tidak dinafikan apabila anak bercerita apa yang berlaku, perasaan menjadi bercampur-baur.
Tetapi walau apa pun kita sebagai ibu bapa mesti sentiasa mengajar anak ke arah kebaikan dan bukannya untuk memburukkan lagi keadaan.
Atas sebab inilah pentingnya untuk kita mendidik anak mengenai batasan (boundaries) seperti melibatkan tingkah laku, adab berkomunikasi, sentuhan dan sebagainya.
Adab berkawan: Pentingnya sempadan dalam hidup
Sempadan/batasan adalah had yang kita tetapkan untuk diri sendiri dan orang lain agar berasa selamat dan dihormati. Ia membantu diri mengetahui perkara yang boleh diterima dan tidak boleh diterima dalam hubungan sosial kehidupan ini.
Mendidik anak untuk memahami mengenai sempadan ini penting kerana mereka masih dalam proses belajar tentang diri dan dunia di sekeliling.
Dengan menetapkan sempadan, ia boleh membantu anak berasa selamat dan terjamin, di samping mengajar mereka mengenai rasa hormat terhadap individu lain.
Sempadan juga memberikan anak kawalan ke atas kehidupan mereka – yang membantu terutamanya apabila berdepan tekanan atau perubahan.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Fahami jenis sempadan dalam adab berkawan
Sempadan adalah had ditetapkan untuk berinteraksi dengan individu lain atau peraturan yang perlu dipatuhi.
Antara kategori sempadan yang penting diajar kepada anak adalah:
- Batasan fizikal melibatkan ruang peribadi, keselesaan anak dengan sentuhan dan dapat memenuhi keperluan fizikal seperti makanan, air dan rehat.
- Batasan seksual melibatkan persetujuan, penghormatan dan privasi anak – sentuhan selamat dan tidak.
- Batasan emosi melibatkan menghormati perasaan dan emosi anak serta perasaan individu lain. Anak harus mengetahui bahawa mereka tidak perlu melayani setiap kata-kata individu lain jika ia hanya akan menyakiti dirinya.
- Batasan topik di mana anak mempunyai hak mengelakkan bercakap mengenai perkara yang tidak disukainya. Ajarkan anak untuk tidak bercakap buruk tentang individu lain.
- Batasan material melibatkan cara anak melayan barang dan harta peribadi diri. Melibatkan cara anak memilih untuk berkongsi dengan individu lain dan cara anak menjangkakan barangan tersebut akan dilayan oleh individu lain apabila berkongsi.
- Batasan masa di mana anak perlu memahami dan mengetahui bahawa dirinya berhak dalam menentukan masanya sendiri.
Mendidik anak mengenai sempadan dalam adab berkawan
Berikut antara cara yang boleh membantu dalam mengajar anak menerapkan adab dengan rakan sebaya dan batasan ini:
Menjadi teladan dalam adab berkomunikasi
Ibu bapa akan sentiasa menjadi contoh kepada anak-anak terutamanya dalam perihal melibatkan tingkah laku, empati dan kesedaran diri. Jangan jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.
Tunjukkan kepada anak cara pertuturan yang baik, pentingnya untuk menepati masa dan sebagainya.
Adab berkawan #Bersikap tegas
Galakkan anak untuk menggunakan pernyataan ‘saya’ bagi menyatakan fikiran dan perasaan mereka semasa berkomunikasi dengan individu lain, seperti “Saya rasa ___ apabila awak ___”.
Ini membantu anak mengetahui bahawa tiada salahnya untuk membela diri dan menyatakan pendirian mereka sebagai adab dengan rakan sebaya.
Jelas dan spesifik
Bantu anak untuk menjelaskan had atau batasan diri mereka kepada individu lain dengan sejelas yang mungkin. Ini dapat membantu menghindari sebarang kekeliruan atau salah faham.
Berlatih situasi melibatkan sempadan dalam adab berkawan
Mempelajari cara menjadi lebih empati boleh membantu anak apabila melibatkan interaksi sosial.
Tetapi dalam masa yang sama, bantu anak untuk belajar membela diri dan batasan mereka apabila ada kanak-kanak lain bersikap memaksa atau agresif sebagai adab dengan rakan sebaya.
Ajari mereka mengenai perkara yang boleh dilakukan jika ada rakan yang tidak menghormati perasaan atau batasan diri dengan memberi anak peluang untuk berlatih membela diri. Ini sangat penting dalam adab berkomunikasi.
Sebagai contoh, tanyakan kepada anak tentang adab dengan rakan sebaya, “Apakah cara boleh Husna lakukan bagi menegur rakan yang suka mengambil barangan tanpa bertanya terlebih dahulu?”
Sarankan beberapa frasa mudah yang boleh digunakan anak untuk membela diri sendiri seperti, “Saya tidak suka awak mengambil barangan saya tanpa minta izin.”
Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan rasa keyakinan diri mereka dalam menempuhi kehidupan mendatang.
[embed-health-tool-child-growth-chart]