Baru Lepas Rebonding Rambut? Lakukan 8 Tip Ini Untuk Rambut Lurus Lebih Lama!

    Baru Lepas Rebonding Rambut? Lakukan 8 Tip Ini Untuk Rambut Lurus Lebih Lama!

    Anda suka buat rawatan rebonding rambut tetapi tidak bertahan lama? Sebenarnya ada petua perlu anda lakukan selepas rawatan meluruskan rambut agar ia kekal lurus lebih lama.

    Ingin tahu rahsianya? Teruskan membaca perkongsian artikel ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

    Rawatan rebonding rambut

    Rambut terdiri daripada asid amino. Protein ini disambungkan oleh ikatan yang menentukan struktur rambut – lurus, beralun atau keriting.

    Melakukan rawatan rebonding atau meluruskan rambut ini melibatkan prosedur ‘melonggarkan’ rambut secara kimia dengan memecahkan ikatan tersebut dan kemudian membina semula bagi mengubah struktur asalnya.

    Proses ini bermula dengan penggunaan relaxant, yang membantu memecahkan ikatan protein dalam rambut. Rambut kemudiannya akan diluruskan dan peneutral digunakan bagi membina semula ikatan dengan struktur yang diubah.

    Tip penjagaan selepas rebonding rambut

    Jadi untuk mengekalkan struktur ikatan ini selepas meluruskan rambut, anda perlu menjaga rambut dengan lebih berhati-hati.

    1. Elakkan membasuh rambut dengan segera

    Elakkan daripada mencuci rambut sejurus selepas rawatan rebonding. Anda disarankan untuk menghindari mencuci rambut sekurang-kurangnya 2-3 hari selepas rambut diluruskan.

    Ini bagi membolehkan krim rebonding meresap jauh ke dalam akar, sekali gus memberikan anda faedah maksimum.

    2. Hindari air panas selepas rebonding rambut

    Jangan sesekali membasuh rambut menggunakan air panas. Air suam juga tidak digalakkan untuk digunakan selepas rawatan rebonding.

    Anda disarankan untuk menggunakan air sejuk untuk mencuci rambut.

    3. Perapi rambut

    Menggunakan perapi pada rambut yang telah rebonding satu kemestian. Ini bagi membantu rambut untuk mengekalkan kelembapan, terhidrat dan bebas keriting.

    rebonding rambut

    Sapukan perapi dalam jumlah yang banyak dan lakukan urutan perlahan. Jangan mengehadkan penggunaan perapi kerana ia penting untuk membantu mengekalkan kesihatan rambut.

    Jangan lupa basuh perapi dengan air sejuk. Anda boleh memilih menggunakan leave-on conditioner jika ingin melakukan aktiviti luar.

    4. Jenis syampu yang betul

    Anda harus sentiasa menggunakan syampu yang bersesuaian dengan jenis rambut dan boleh digunakan selepas rawatan rebonding.

    Jangan malu untuk bertanyakan kepada pakar salun bagi mengetahui produk terbaik untuk digunakan pada rambut. Pastikan anda tidak terlupa untuk menggunakan perapi rambut selepas bersyampu!

    5. Sikat bergigi jarang

    Selepas melakukan rawatan rebonding, sudah tentu anda akan lebih teruja untuk menyikat rambut, betul tak?

    Tetapi pastikan anda menggunakan sikat bergigi jarang bagi mengelakkan rambut menjadi rosak.

    6. Pengering dan mengikat rambut

    Bagi yang berambut panjang, anda pasti terbiasa untuk mengikat rambut. Namun elakkannya untuk bulan pertama selepas rebonding kerana ia boleh merosakkan rambut.

    Elakkan juga menggunakan pengering rambut. Biarkan rambut kering secara semula jadi selepas mencucinya.

    rebonding rambut

    7. Pemakanan seimbang penting selepas rebonding rambut

    Amalkan diet seimbang dengan melebihkan pengambilan buah-buahan dan sayuran serta mengelakkan makanan ringan.

    Tingkatkan juga pengambilan protein harian kerana ia memberikan manfaat kesihatan kepada rambut anda.

    8. Gaya rambut

    Perkara paling penting selepas meluruskan rambut adalah untuk tidak terfikir menukar gaya rambut. Jika tidak ia boleh menjejaskan tahap kesihatan rambut anda.

    Walaupun pendandan rambut mungkin akan mengesyorkan penggayaan lain untuk rambut anda, namun sila elakkan.

    Sebaliknya, trim rambut amat disyorkan terutamanya selepas rawatan rebonding. Anda dinasihatkan untuk memotong rambut dengan kerap bagi menghilangkan hujung rambut bercabang.

    Memotong rambut secara amnya dapat membantu memelihara kesihatan rambut dan mengekalkan rambut lurus lebih lama.

    Baca juga:

    Produk selepas meluruskan rambut

    Selepas rawatan rebonding, adalah penting untuk menggunakan produk yang betul bagi membantu mengekalkan gaya baharu anda.

    1. Syampu

    Cari syambut berlabel ‘untuk rambut yang dirawat secara kimia’.

    Ia mungkin lebih mahal, tetapi ia dapat memenuhi keperluan rambut anda dan membantu mengekalkan gaya lurus serta tahap kesihatannya.

    Syampu jenis ini juga dapat menyuburkan rambut dengan protein yang mungkin hilang semasa proses rebonding.

    2. Perapi selepas rebonding rambut

    Perapi rambut sangat penting selepas rawatan rebonding kerana rambut akan cenderung menjadi kering.

    3. Masker rambut

    Pemecahan dan pembinaan semula ikatan semasa rebonding memberikan kesan serius kepada kesihatan rambut.

    Merawat rambut dengan protein dan rawatan perapi akan menghilangkan kerosakan sambil membantu memulihkannya.

    rebonding rambut

    4. Perapi dan serum

    Leave-on conditioner dan serum membolehkan pembentukan pelindung pada helaian rambut dan menghalang kehilangan lembapan. Ia juga membantu melindungi rambut daripada faktor persekitaran.

    5. Sikat gigi jarang kayu

    Rambut anda selepas rebonding adalah sangat sensitif, jadi penggunaan sikat bergigi jarang daripada material kayu amat disarankan. Ia dapat membantu mengelakkan rambut rosak dan tidak perlu risaukan mengenai statik.

    Elakkan juga daripada menyikat ketika rambut basah.

    6. Minyak

    Rawatan minyak yang kerap juga penting untuk membantu rambut kembali sihat. Anda boleh menggunakan minyak kelapa, zaitun, badam atau jojoba.

    Minyak dapat membantu meningkatkan kesihatan kulit kepala selepas prosedur meluruskan rambut.

    Kesimpulan

    Rawatan rebonding rambut sememangnya dapat menjadikan rambut tampak selembut sutera dan lurus seperti model.

    Tetapi ia sebenarnya menjadikan rambut rapuh dan tanpa penjagaan yang betul, ia boleh merosakkan keadaan rambut anda.

    Bahan kimia yang digunakan dalam proses meluruskan rambut menjejaskan kesihatan rambut dan memerlukan penjagaan bagi memastikan ia sihat kembali.

    Semoga petua yang dikongsikan dapat membantu anda. Jika ada keraguan, berundinglah dengan pakar rambut sebelum memilih untuk melakukan prosedur rebonding.

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 30/08/2022

    Iklan
    Iklan
    Iklan
    Iklan