backup og meta

Anak Selalu Batuk? Ini 5 Pilihan Humidifier Sesuai Untuk Keluarga Di Rumah!

Anak Selalu Batuk? Ini 5 Pilihan Humidifier Sesuai Untuk Keluarga Di Rumah!

Tahukah anda, salah satu fungsi humidifier adalah melegakan masalah pernafasan kita. Mungkin ramai yang ingin tahu, apa itu humidifier dan adakah ia berkesan untuk kanak-kanak yang mengalami batuk?

Ikuti jawapan bagi persoalan ini melalui artikel di bawah.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Keibubapaan, anda boleh klik di sini

Apa itu humidifier?

apa itu humidifier

Pasti ramai yang tertanya-tanya, apa itu humidifier. Dalam Bahasa Malaysia, humidifier bermaksud pelembap udara.

Ia merupakan sejenis alat yang berfungsi melepaskan wap air atau stim bagi meningkatkan tahap kelembapan dalam udara.

Terapi dengan menggunakan humidifier ini boleh menambahkan kelembapan pada udara, sekali gus mengelakkan kekeringan yang boleh menyebabkan kerengsaan di pelbagai bahagian badan.

Antara fungsi humidifier yang lain ialah merawat kekeringan kulit, hidung, tekak dan juga bibir.

Alat ini juga boleh membantu meredakan beberapa gejala yang disebabkan oleh selesema atau flu.

Walau bagaimanapun, penggunaan pelembap secara berlebihan boleh memburukkan lagi masalah pernafasan.

Oleh itu, amat penting untuk kita mengetahui cara menggunakannya dengan betul.

Sekarang anda telah mengetahui apa itu humidifier dan fungsinya secara ringkas. 

Jenis-jenis dan fungsi humidifier

apa itu humidifier

Terdapat pelbagai jenis pelembap udara yang ada di pasaran.

Pemilihan jenis pelembap udara ini bergantung kepada bajet anda, jenis yang anda gemari dan saiz ruang yang akan anda gunakan kelak.

Terdapat lima jenis humidifier yang ada pada masa kini:

#1. Pelembap udara pusat (central humidifier)

Pelembap udara pusat dibina terus ke dalam penyaman udara atau unit pemanas rumah anda.

Ini adalah jenis pelembap udara yang paling mahal, tetapi ia adalah pilihan terbaik jika anda ingin menambah kelembapan di seluruh kawasan rumah.

Pelembap udara pusat tidak mengeluarkan wap atau stim, oleh itu ia tidak akan menyebabkan risiko kebakaran. 

#2. Pelembap udara pendesak (impeller humidifier)

Jenis ini biasanya lebih murah.

Ia juga antara jenis pelembap udara yang paling mesra kanak-kanak kerana ia menghasilkan kabus sejuk dan tidak menyebabkan risiko melecur.

Kelemahannya adalah, ia hanya berfungsi secara terhad di sebuah bilik atau ruangan sahaja.

Selain itu, jenis ini juga berpotensi menyebabkan kesukaran bernafas bagi individu yang mempunyai alahan dan asma sekiranya ia digunakan secara berlebihan.

#3. Penyejat (evaporator)

Fungsi humidifier jenis ini adalah dengan mengeluarkan kelembapan melalui penapis yang telah dilembapkan.

Kipas akan menghidupkan penyejat dan mengeluarkan kelembapan ke udara.

Jenis ini jauh lebih murah dan lebih berpatutan berbanding daripada pelembap pusat.

Namun kekurangannya adalah, ia hanya berfungsi dalam satu bilik pada satu-satu masa.

Alat ini juga mungkin akan mengeluarkan terlalu banyak kelembapan ke udara.

Ini boleh menjadi satu masalah bagi penghidap asma, kerana ia meningkatkan kemungkinan pertumbuhan lebih banyak kulat dalam sesuatu ruang atau bilik. 

#4. Pelembap ultrasonik (ultrasonic humidifier)

Pelembap ultrasonik menghasilkan kabus sejuk dengan bantuan getaran ultrasonik.

Harga setiap unit adalah berbeza, bergantung pada saiz yang anda perlukan untuk rumah anda.

Jenis ini mempunyai kedua-dua versi udara, sama ada versi panas atau sejuk.

Pelembap ultrasonik, terutamanya versi udara sejuk adalah pilihan yang baik jika anda mempunyai anak kecil di rumah. 

#5. Penyejat wap (steam vaporizer)

Jenis ini akan memanaskan air, dan kemudian menyejukkannya sebelum mengeluarkannya ke udara.

Ini ialah jenis pelembap udara yang paling murah dan mudah alih.

Elakkan pelembap jenis ini jika anda mempunyai anak kecil. Ini kerana, air panas di dalam pelembap jenis ini boleh menyebabkan kejadian melecur jika tertumpah.

Adakah pelembap udara boleh membantu anak yang sedang batuk?

Bagi kanak-kanak yang sedang mengalami selesema atau batuk, udara yang kering akan menyukarkan mereka untuk mengeluarkan mukus atau kahak daripada tubuh badan.

Hidung mereka juga akan lebih mudah menjadi tersumbat dan ini pasti akan mengganggu waktu tidur mereka.

apa itu humidifier

Oleh itu, ramai pakar kanak-kanak menyarankan penggunaan pelembap udara atau humidifier bagi menangani masalah ini.

Antara fungsi humidifier adalah dengan meningkatkan kelembapan udara, sekali gus membantu melegakan anak anda yang sedang mengalami batuk atau selesema.

Namun ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian.

Jika anak anda menghidap asma atau alahan, penggunaan humidifier ini mungkin boleh memberikan kesan yang sebaliknya.

Ini kerana, habuk daripada pelembap udara yang kotor atau peningkatan alergen daripada kelembapan yang tinggi boleh memburukkan keadaan asma atau alahan sedia ada.

Selain itu, penggunaan jenis pelembap udara yang tidak sesuai juga boleh merisikokan anak anda kepada bahaya.

Alat yang mengeluarkan stim panas atau menggunakan air panas perlu dielakkan.

Ini kerana, jika wap menjadi terlalu panas atau air panas tertumpah, ia boleh menyebabkan kulit melecur pada anak anda.

Sebaliknya, anda boleh menggunakan pelembap udara yang mengeluarkan wap sejuk. 

Sudah tahu apa itu humidifier? Boleh cuba pasang di rumah

Kini anda telah tahu apa itu humidifier dan jenis-jenisnya.

Anda juga telah mengetahui manfaat dan fungsi humidifier terhadap anak yang sedang mengalami batuk atau selesema.

Jangan tunggu lagi, dapatkan jenis yang sesuai dan pasangkannya di rumah anda sekarang. 

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Humidifiers: Ease skin, breathing symptoms. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/common-cold/in-depth/humidifiers/art-20048021. Accessed on February 9, 2022.

When should I use a cool-mist humidifier versus a warm-mist humidifier for a child with a cold?. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/common-cold/expert-answers/cool-mist-humidifiers/faq-20058199. Accessed on February 9, 2022.

How You Can Tell If You Need a Humidifier. https://health.clevelandclinic.org/how-you-can-tell-if-you-need-a-humidifier/. Accessed on February 9, 2022.

Use and Care of Home Humidifiers. https://www.epa.gov/sites/default/files/2014-08/documents/humidifier_factsheet.pdf. Accessed on February 9, 2022.

Humidifiers for Respiratory Infections: Are They Helpful or Harmful?. https://www.nationwidechildrens.org/family-resources-education/700childrens/2018/01/humidifiers-for-respiratory-infections-are-they-helpful-or-harmful. Accessed on February 9, 2022.

Versi Terbaru

13/06/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Kasihan Tengok Anak Batuk Tak Henti-Henti, Cuba 10 Ramuan Ubat Semulajadi Dari Rumah Ini, Berkesan!

Kenapa Ibu Bapa TIDAK Boleh Bagi Anak Makan Ubat Batuk Sembarangan? Ini Sebabnya


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/06/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan