backup og meta

Serupa Tapi Tak Sama? Ini Beza Antara Selesema, Flu, Alahan & COVID-19!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 03/08/2021

    Serupa Tapi Tak Sama? Ini Beza Antara Selesema, Flu, Alahan & COVID-19!

    Setiap kali mengalami kondisi hidung berair dan tersumbat, mungkin ramai yang akan menyangka bahawa ia adalah disebabkan alahan rhinitis.

    Tidak kurang juga yang turut akan menganggap ia sebenarnya didalangi oleh penyakit biasa seperti selesema atau flu akibat jangkitan virus.

    Namun dalam era pandemik bertaraf global yang dialami seantero dunia kini, ia juga mungkin jadi petanda anda dijangkiti wabak Covid 19.

    Persoalannya, apakah perbezaan yang wujud di antara 4 penyakit hampir serupa ini? Jom teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut!

    Kesemuanya serupa tapi tidak sama?

    Kondisi selesema, flu, alahan rhinitis serta COVID-19 kesemuanya adalah hampir serupa tetapi tidak sama kerana wujud perbezaan yang ketara.

    Ini kerana keempat-empat jenis penyakit ini akan menyerang bahagian pada tubuh badan yang sama iaitu sistem pernafasan manusia.

    Mungkin salah satu perkara yang boleh dilakukan untuk membezakan penyakit-penyakit ini adalah dengan melihat pada punca dan simptom.

    “Membezakannya adalah sangat penting agar penderita mampu mendapat rawatan yang tepat dan mengambil ubatan yang betul,” jelas Pakar Penyakit Jangkitan Pernafasan Dr. Teresa Hauguel.

    Jadi, apakah yang kita semua perlu tahu tentang perbezaan 4 penyakit ini sebelum diagnosis?

    penyakit selesema

    Perbezaan punca 4 jenis penyakit ini!

    Untuk pengetahuan anda, kondisi selesema, flu, alahan rhinitis serta COVID-19 kesemuanya didalangi oleh penyebab yang berbeza.

    Memang benar bahawa 3 daripada 4 penyakit ini dicetuskan oleh jangkitan virus namun 1 daripadanya disebabkan oleh perkara lain.

    Berikut adalah perbezaan punca penyakit-penyakit ini:

    Selesema

    Selesema berlaku akibat daripada jangkitan virus bernama rhinovirus yang boleh berjangkit dari individu ke individu lain melalui udara serta kontak rapat.

    Flu

    Flu berlaku akibat daripada jangkitan virus bernama influenza yang juga berjangkit dari individu ke individu lain melalui udara serta kontak rapat.

    Alahan rhinitis

    Alahan rhinitis terjadi akibat alergen yang terdapat di udara seperti debu, habuk, pasir, asap, debunga, bulu haiwan serta pelbagai lagi perkara lain.

    COVID-19

    Wabak Covid 19 yang sedang menular di seluruh dunia kini berpunca daripada virus korona baharu yang boleh merebak melalui udara, sentuhan dan titisan kontak rapat sesama manusia.

    Meskipun kesemuanya dikatakan akan mendatangkan simptom yang serupa seperti hidung berair dan tersumbat, namun masih wujud perbezaannya!

    tahap jangkitan covid

    Perbezaan simptom 4 jenis penyakit ini!

    Meskipun tanda-tanda menghidap 4 penyakit ini adalah hampir serupa namun ia tidak sama, perhatikan gambar rajah di bawah ini:

    Simptom Selesema Flu Alahan rhinitis COVID-19
    Demam Jarang Ya, terutamanya bagi golongan kanak-kanak Tiada
    Ya, dengan suhu yang tinggi
    Pening kepala Jarang Ya Jarang Ya
    Sakit tekak Ya Jarang Jarang Ya
    Sakit dada Tidak teruk Ya Jarang, kecuali bagi penghidap penyakit asma Ya
    Lenguh badan Tidak teruk Ya, kebiasaannya teruk Tiada Ya
    Lemah badan Jarang Ya, boleh berlanjutan sehingga berminggu Jarang Ya
    Penat badan Tiada Ya, pada permulaan jangkitan berlaku Tiada Ya
    Hidung berair dan tersumbat
    Ya Jarang Ya Ya
    Bersin Ya Jarang Ya Jarang
    Batuk Ya Ya, kebiasaannya teruk Jarang
    Ya, kebiasaannya kering

    Sebagai tambahan, wabak Covid 19 juga akan mendatangkan beberapa simptom lain yang tidak terdapat pada 3 penyakit itu termasuklah:

  • Hilang deria rasa dan bau
  • Mual-mual
  • Muntah-muntah
  • Cirit-birit
  • Dapat disimpulkan di sini adalah wabak Covid 19 akan membawa simptom yang paling teruk dan perlu segera mendapatkan rawatan.

    Pun begitu, tidak wajar juga untuk anda hanya membiarkan sahaja simptom penyakit yang lain kerana ia juga berisiko sebabkan komplikasi.

    hidung berair covid-19

    Apa anda perlu buat jika menghidap penyakit ini?

    Sudah tentu perkara pertama yang kalian perlu buat adalah berjumpa dengan doktor untuk melakukan diagnosis bagi menentukan jenis penyakit terbabit.

    Selepas itu, sila berkonsultasi dengan doktor untuk mendapat rawatan dan mengambil ubatan yang diperlukan bagi merawat penyakit yang tertentu.

    Bagi kondisi alahan rhinitis, mungkin apa yang kalian perlu lakukan adalah mengambil ubat antihistamin selain mengelak daripada segala alergen.

    Bagi kondisi selesema dan flu pula, pengambilan ubat antiviral serta ubatan lain mungkin akan diperlukan untuk merawat simptom-simptom tersebut.

    Sekiranya anda sah dijangkiti COVID-19, sila patuhi arahan untuk menjalani kuarantin di rumah bagi mengelakkan virus itu tersebar dengan makin teruk.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 03/08/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan