Biasanya kita akan melihat warna susu ibu berwarna putih, kuning atau krim kebiruan. Tetapi jangan terkejut kerana susu badan juga boleh menjadi warna lain.
Bergantung kepada apa yang anda makan atau minum, susu badan juga boleh berwarna hijau atau merah jambu, bahkan ia boleh menjadi warna coklat.
Jadi apakah warna susu badan yang normal? Bagaimana pula warna tanda susu ibu basi ya? Teruskan membaca perkongsian ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Peringkat warna susu ibu
Dalam beberapa minggu pertama selepas melahirkan bayi, susu badan akan berubah dengan cepat. Bukan sahaja dalam komposisi dan jumlahnya, tetapi juga melibatkan warnanya.
Jadi susu badan yang normal berwarna apa? Berikut adalah perubahan normal dalam warna susu badan:
Kolostrum
Kolostrum adalah susu ibu pertama yang dihasilkan badan. Jumlah yang dihasilkan adalah sedikit, tetapi ia pekat dan berkhasiat tinggi.
Walaupun ada kalanya kolostrum berwarna jernih dan cair, namun ia lebih kerap berwarna kuning atau oren dan pekat. Paras beta-karotena tinggi dalam kolostrum memberikan warna kuning gelap atau oren.
Warna susu ibu peralihan
Selepas beberapa hari pertama kolostrum, pengeluran susu ibu meningkat dan badan akan mula menghasilkan susu peralihan.
Dalam tempoh peralihan dua minggu ini, warnanya biasa berubah daripada kuning kepada putih apabila susu mula dihasilkan.
Susu matang
Selepas dua minggu, badan mencapai peringkat susu matang – ia berubah berdasarkan jumlah lemak yang terkandung di dalamnya.
Di sini anda akan dapat mengenali perbezaaan susu ibu cair dan warna susu pekat:
Foremilk
Secara umumnya, susu matang yang mula mengalir keluar daripada payudara pada permulaan sesi penyusuan atau pam, ia lebih cair dan lebih rendah lemak.
Susu ini biasanya dikenali sebagai foremilk dan cenderung berwarna kebiruan disebabkan kandungan elektrolit tinggi.
Hindmilk
Semasa sesi penyusuan atau mengepam susu diteruskan, kandungan lemak dalam susu akan meningkat.
Apabila lemak bertambah, susu ibu bertukar menjadi susu berkrim yang disebut hindmilk – ia biasanya berwarna putih atau kuning dan lebih pekat.
Perubahan warna susu ibu lain dan maksudnya
Makanan, herba, suplemen pemakanan dan ubat-ubatan tertentu boleh mengubah warna susu badan. Bahan tambahan ini juga boleh menjejaskan warna air kencing ibu dan bayi.
Ia mungkin mengejutkan dan menakutkan untuk dilihat, tetapi ini adalah perkara biasa untuk berlaku perubahan dalam warna susu badan ibu. Dalam kebanyakan kes, ia adalah tidak berbahaya.
Berikut beberapa perubahan warna yang boleh berlaku:
Susu hijau
Rona hijau dalam susu mungkin terhasil selepas anda mengambil makanan hijau atau yang mengandungi pewarna hijau.
Antara jenis makanan yang boleh menyebabkan susu berubah hijau adalah pengambilan banyak sayuran hijau seperti bayam atau rumpai laut, menambah herba atau suplemen vitamin tertentu dalam diet.
Warna susu ibu merah jambu, oren dan merah
Susu ibu juga boleh berwarna merah jambu, jingga atau merah selepas makan makanan dengan warna ini secara semula jadi atau selepas makan atau minum yang mengandungi pewarna merah, kuning atau oren.
Ubi bit, soda oren dan minuman buah merah atau sayur oren seperti lobak merah, boleh menyebabkan susu bertukar warna.
Warna coklat berkarat, merah darah
Jika terdapat darah dalam payudara dan masuk ke saluran susu, susu badan mungkin berwarna coklat, oren gelap atau warna karat.
Jika susu ibu tampak seperti air kotor daripada paip lama berkarat, ia dikenali sebagai sindrom paip berkarat (rusty pipe syndrome).
Darah juga boleh masuk ke dalam susu jika puting luka. Usah panik! Penyusuan boleh diteruskan macam biasa dan usah dibuang susu yang telah dipam. Sedikit darah dalam susu ibu tidak membahayakan bayi.
Dalam kebanyakan kes, ia akan hilang dengan sendirinya dalam tempoh beberapa hari. Tetapi jika berlanjutan, lakukan pemeriksaan doktor.
Warna susu ibu hitam
Selain warna susu kuning, ia juga boleh berwarna hitam. Ia dikaitkan dengan pengambilan antibiotik Minocin – juga punca kulit menjadi gelap. Penggunaan Minocin amat tidak digalakkan semasa menyusu.
[embed-health-tool-child-growth-chart]
Warna tanda susu ibu basi
Akan berlaku perubahan warna ke jika susu ibu basi? Seperti susu lembu biasa, warna tanda susu ibu basi sukar untuk dikenal pasti melainkan dengan 5 tanda ini:
-
Rasa masam
Pernah bau susu ibu tak? Jika pernah, anda pasti mengetahui susu ibu ada sedikit bau. Bahkan, selepas dibekukan ia juga mungkin berbau tengik kerana enzim lipase memecahkan lemak dalam susu.
Sudah tentu, ini cara untuk mengetahui sama ada susu badan dipam masih dalam keadaan elok atau basi dengan merasainya sendiri. Susu ibu yang basi akan terasa masam.
-
Susu berketul
Susu beku apabila disejukkan, akan terpisah lapisan antara lemak dan airnya. Tetapi setelah dipanaskan dengan cara yang betul, lapisan ini akan bercampur kembali.
Pun begitu, jika ia masih berketul dan tidak bercampur, itu mungkin petanda susu tersebut sudah basi dan rosak.
Akhir kata
Kini anda sudah mengetahui perbezaan jenis warna susu ibu boleh berlaku disebabkan makanan atau minuman yang diambil.
Biasanya ia tidak perlu dirisaukan. Namun jika anda mempunyai pertanyaan, berundinglah dengan doktor bagi mendapatkan lebih kepastian.