backup og meta

Janin Tidak Membesar Dalam Kandungan? Ini Antara Risiko Kehamilan Anggur, Ibu Kena Tahu

Janin Tidak Membesar Dalam Kandungan? Ini Antara Risiko Kehamilan Anggur, Ibu Kena Tahu

Kehamilan atau kandungan anggur terjadi apabila janin tidak berkembang seperti yang sepatutnya. Ia bukan salah ibu mengandung tetapi ini penyebabnya yang perlu anda fahami.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

Apa itu kandungan anggur?

Anda disahkan mengandung setelah telur selamat disenyawakan dan masuk ke dalam rahim.

Pun begitu, adakalanya pada tahap permulaan proses ini, ia mungkin boleh terjejas.

Sekiranya keadaan itu terjadi, kehamilan mungkin tidak berjalan seperti sebagaimana yang sepatutnya. Sudah tentu ia satu situasi yang tidak diingini oleh mana-mana pasangan.

Kandungan anggur atau molar pregnancy berlaku apabila plasenta tidak berkembang secara normal.

Sebaliknya, tumor terbentuk pada rahim dan menyebabkan plasenta menjadi jisim kantung berisi cecair – disebut sista

kandungan anggur

Dianggarkan 1 daripada setiap 1,000 kehamilan (0.1%) adalah kehamilan anggur. 

Selalunya, kehamilan seperti ini tidak akan kekal lama kerana plasenta tidak berfungsi dengan baik dan janin tidak berkembang sama sekali. 

Dalam kes yang jarang berlaku, keadaan kehamilan ini juga boleh menyebabkan risiko kesihatan bagi ibu.

Kehamilan molar ini juga dikenali sebagai penyakit kandungan trofoblast (gestational trophoblastic disease).

Setiap wanita hamil boleh berdepan komplikasi kehamilan ini walaupun anda mempunyai sejarah kehamilan normal.

Satu berita baik – wanita yang pernah mengalami kehamilan anggur ini, boleh menjalani kehamilan normal pada kandungan akan datang.

Kehamilan molar penuh & separa

Jenis kehamilan ini boleh diklasifikasikan kepada:

  • Kehamilan molar penuh
  • Kehamilan molar separa

Kedua-duanya memberikan hasil yang sama. Ini bermakna tiada jenis yang lebih baik atau lebih buruk berbanding yang lain.

Molar penuh adalah apabila hanya terdapat tisu plasenta yang tumbuh dalam rahim tanpa sebarang tanda kewujudan janin.

Manakala molar separa pula berlaku dengan kewujudan tisu plasenta dan beberapa tisu janin. Namun tisu tersebut tidak lengkap, membuatkan janin tidak berkembang menjadi bayi.

kandungan anggur

Punca janin tidak berkembang dalam rahim

Usah menyalahkan diri sendiri kerana tiada apa yang dapat anda lakukan untuk mengelakkan kandungan anggur ini.

Ia terjadi bukan kerana apa yang anda lakukan.

Sebaliknya, mana-mana wanita tanpa mengira etnik, umur dan latar belakang mempunyai risiko berdepan kehamilan seperti ini. 

Ada masanya situasi janin tidak berkembang ini berlaku kerana percampuran pada proses genetik. 

Setiap wanita membawa ratusan ribu telur dan sebahagian daripadanya mungkin tidak terbentuk dengan betul. 

Selalunya telur yang tidak sempurna ini akan diserap tubuh. Tetapi adakalanya telur kosong ini mungkin disenyawakan oleh sperma.

Akibatnya, telur itu mempunyai genetik bapa, namun tidak mempunyai DNA daripada si ibu. Ia sekali gus membawa kepada kandungan anggur ini.

Dalam cara sama, sperma juga mungkin tidak sempurna atau lebih daripada satu sperma yang bersenyawa dengan telur yang baik. Akhirnya berlaku juga masalah kehamilan ini.

Faktor risiko

Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko seseorang wanita untuk mengalami kehamilan molar ini, termasuklah:

# Usia

Walaupun ia boleh berlaku kepada sesiapa, tetapi ia cenderung terjadi kepada wanita yang hamil pada usia bawah 20 tahun atau lebih daripada 35 tahun.

#Sejarah kehamilan terdahulu

Sekiranya anda pernah berdepan kandungan anggur ini pada kandungan sebelumnya, kemungkinan untuk anda mengalaminya sekali lagi adalah besar.

Tetapi usah bimbang, anda juga mempunyai peluang untuk menjalani kehamilan normal yang berjaya tanpa sebarang masalah.

Baca juga:

Kenali simptom kandungan anggur

Seringkali tiada sebarang gejala untuk kandungan anggur ini. 

Ia hanya dapat didiagnosis semasa sesi imbasan ultrabunyi rutin pada minggu ke-8 hingga 14 ataupun semasa ujian dilakukan selepas keguguran.

Pun begitu, sesetengah wanita yang mengalami kehamilan di mana janin tidak berkembang mungkin akan mengalami gejala seperti:

  • Pendarahan faraj atau cecair faraj gelap pada awal kehamilan – biasanya pada trimester pertama. Ia mungkin mempunyai benjolan kecil seperti anggur
  • Mabuk pagi yang teruk
  • Pembengkakan pada perut yang luar biasa

Doktor juga mungkin menemui tanda-tanda lain seperti:

Adakalanya simptom yang dialami merupakan gejala kehamilan biasa dan tidak semestinya petanda sesuatu yang tidak normal pada kandungan.

Sekiranya terdapat kebimbangan, lakukan pemeriksaan segera.

Rawatan yang perlu dilakukan

Malangnya apabila janin tidak berkembang, ia tidak bertahan dan perlu dikeluarkan.

Anda mungkin perlu menjalani pembedahan untuk membuang kandungan. Ia dinamakan sebagai prosedur cuci rahim atau dilation and curettage (D&C).

kandungan anggur

Kebanyakan besar wanita yang berjaya dirawat dengan D&C boleh pulang ke rumah pada hari yang sama.

Pencegahan kandungan anggur

Sekiranya anda mengalami kehamilan anggur, berbincanglah dengan doktor sebelum merancang untuk hamil lagi.

Doktor biasanya akan mengesyorkan untuk menunggu selepas tempoh 6 bulan hingga setahun sebelum mencuba untuk hamil kembali.

Risiko berulang adalah rendah. 

Tetapi buat wanita yang pernah mengalaminya, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mempunyai sejarah kehamilan molar.

[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

All been accessed on Feb 9, 2021 from

  1. Molar pregnancy. https://www.pregnancybirthbaby.org.au/molar-pregnancy ,accessed on Feb 9, 2021
  2. Molar Pregnancy. https://americanpregnancy.org/healthy-pregnancy/birth-defects/molar-pregnancy-919/, accessed on Feb 9, 2021
  3. Molar Pregnancy. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/molar-pregnancy/symptoms-causes/syc-20375175 ,accessed on Feb 9, 2021
  4. Molar Pregnancy. https://www.marchofdimes.org/complications/molar-pregnancy.aspx ,accessed on Feb 9, 2021
  5. About Molar Pregnancy. https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/gestational-trophoblastic-disease-gtd/molar-pregnancy/about ,accessed on Feb 9, 2021
  6. Molar Pregnancy. https://www.miscarriageassociation.org.uk/information/molar-pregnancy/ ,accessed on Feb 9, 2021
  7. Molar Pregnancy. https://www.nhs.uk/conditions/molar-pregnancy/ ,accessed on Feb 9, 2021
  8. Partial Molar Pregnancy. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/12332-partial-molar-pregnancy ,accessed on Feb 9, 2021
  9. Molar pregnancy information and support. https://www.tommys.org/pregnancy-information/pregnancy-complications/baby-loss/molar-pregnancy-information-and-support  ,accessed on Feb 9, 2021

Versi Terbaru

05/09/2022

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Hentikan Mitos Nanas Punca Gugur, Ini 3 Manfaat Untuk Ibu Hamil

Benarkah Bekerja Pada Waktu Malam Boleh Jadi Punca Keguguran Janin? Ini Kata Kajian!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/09/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan