Penemuan daripada kajian yang diterbitkan oleh Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism menunjukkan bahawa para ibu yang mempunyai tekanan darah tinggi semasa kehamilan boleh meningkatkan risiko anak mereka mengalami obesiti.
Pengkaji menganalisis tahap tekanan darah dan berat 88,406 ibu dan anak-anak mereka yang mengambil bahagian dalam kajian. Tekanan darah para ibu diperiksa selama 3 trimester dan anak mereka ditimbang antara umur 4 dan 7 tahun.
Pengkaji mendapati bahawa kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai tekanan darah tinggi pada trimester kedua mempunyai risiko 49% lebih tinggi dalam mengalami masalah terlebih berat badan atau obes berbanding dengan kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang mengalami tekanan darah rendah, menurut kajian tersebut.
Sealain itu, kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai tekanan darah tinggi semasa trimester ketiga mempunyai risiko 14% lebih tinggi dalam mengalami masalah terlebih berat badan atau obes. Bahkan risiko masih wujud bagi kanak-kanak yang dilahirkan oleh para ibu yang tidak mempunyai tekanan darah tinggi, tetapi tekanan darahnya semasa kehamilan berada pada tahap tinggi (namun masih normal) daripada kebiasaan. Pengkaji juga mendapati bahawa saiz badan ibu bukanlah faktor penentu sama ada anak mereka mengalami obesiti atau tidak.
Penemuan ini menunjukkan bahawa mengekalkan tekanan darah normal terutamanya semasa trimester kedua adalah sangat penting untuk memastikan anak tidak mengalami masalah berat badan. Kesemua wanita hamil harus dipantau dan mengelakkan sebarang peningkatan tekanan darah sewaktu pertengahan kehamilan hingga ke akhir. Ini boleh membantu mengurangkan kemungkinan anak-anak mereka terjejas dengan obesiti.