backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

5

Tanya Doktor
Simpan

UPT Positif Hamil TAPI Kantung Rahim Kosong? Ini Punca Sebenarnya, Ibu Jangan Bersedih Ya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 14/08/2023

    UPT Positif Hamil TAPI Kantung Rahim Kosong? Ini Punca Sebenarnya, Ibu Jangan Bersedih Ya!

    Gembira melihat dua tanda pada alat penguji kehamilan, tapi apabila melakukan ultrasound untuk tahu perkembangan embrio, tiada apa yang dilihat. Ia mungkin berkaitan keadaan hamil kosong. 

    Baca lebih lanjut tentang Kehamilan di sini.

    Keadaan hamil kosong

    Situasi wanita hamil kosong atau blighted ovum ini, turut dikenali sebagai anembryonic pregnancy.

    Ia terjadi apabila perkembangan embrio tidak berlaku seperti biasa atau terhenti sehingga meninggalkan kantung kehamilan kosong

    Umumnya, punca berlakunya keadaan ini masih tidak dapat dipastikan, tetapi dipercayai kerana kelainan kromosom pada telur yang disenyawakan. 

    Kehamilan tanpa embrio ini biasanya berlaku pada awal tempoh mengandung – adakalanya sebelum anda menyedari diri berbadan dua. 

    Berlaku keguguran

    Masalah hamil kosong ini menjadi punca kepada 1 daripada 2 keguguran pada trimester pertama kehamilan

    Keguguran adalah keadaan di mana kehamilan berakhir dengan sendirinya dalam tempoh 20 minggu pertama. 

    Bagi wanita hamil, telur yang disenyawakan akan menempel pada dinding rahim. Dalam tempoh kehamilan 5 hingga 6 minggu, perkembangan embrio pastinya dapat dikesan dan dilihat.

    Biasanya kantung kehamilan – tempat janin membesar – akan berkembang sehingga selebar 18 mm (milimeter).

    hamil kosong

    Pun begitu, bagi kehamilan tanpa embrio, kantung kehamilan terbentuk dan membesar, cuma perkembangan embrio tidak berlaku. Ini yang dipanggil hamil kosong atau blighted ovum

    Punca perkembangan embrio tidak berlaku

    Keguguran yang berlaku daripada keadaan kehamilan tanpa embrio sering disebabkan oleh masalah dengan kromosom – struktur yang membawa genetik. 

    Ia mungkin disebabkan telur atau sperma yang kurang berkualiti. Keadaan ini juga boleh berpunca kerana pembahagian sel yang tidak normal.

    Walau apa pun puncanya, badan anda menghentikan kehamilan tersebut kerana menyedari kelainan yang berlaku. 

    Penting untuk anda dan pasangan fahami bahawa tiada apa anda lakukan yang mengakibatkan keguguran dan tidak ada cara untuk mencegahnya. 

    Bagi kebanyakan wanita, situasi hamil kosong ini berlaku hanya sekali. 

    Tanda hamil kosong

    Apabila terjadinya blighted ovum, anda mungkin akan mengalami tanda-tanda kehamilan. Contohnya, ujian kehamilan yang positif atau tiada pendarahan haid yang berlaku. 

    Kemudian anda mungkin berdepan tanda-tanda keguguran seperti:

    • Kekejangan perut
    • Pendarahan faraj atau tompokan
    • Tempoh haid yang lebih lama daripada biasa
    • Hilang kesakitan payudara

    Sekiranya terjadi simptom di atas, anda mungkin mengalami keguguran. Pun begitu, tidak semua pendarahan yang berlaku pada trimester pertama berakhir dengan keguguran.

    Oleh sebab itu, adalah penting untuk anda melakukan pemeriksaan doktor jika mengalami simptom tersebut. 

    hamil kosong

    Merawat kehamilan tanpa embrio

    Sekiranya masalah hamil kosong dikesan semasa temu janji pranatal, doktor akan membincangkan pilihan rawatan yang ada dengan anda. Ini termasuklah:

    • Menunggu tanda keguguran berlaku secara semula jadi
    • Mengambil ubat seperti misoprostol (Cytotec) untuk menyebabkan keguguran
    • Menjalani prosedur D&C – kaedah cuci rahim untuk membuang tisu plasenta daripada rahim

    Tempoh kehamilan, sejarah perubatan serta keadaan emosi diri akan diambil kira oleh doktor dan anda semasa memutuskan pilihan rawatan. 

    Cara mengatasi kehamilan kosong

    Bagi pasangan yang amat menantikan kehadiran zuriat, pastinya kalian seboleh-bolehnya mahu mengelak dan menghindari keadaan di mana tidak berlakunya perkembangan embrio ini, kan?

    Malangnya, dalam kebanyakan kes, keadaan hamil kosong ini tidak dapat dicegah. 

    Sesetengah pasangan berkahwin mungkin akan melakukan ujian genetik sekiranya keguguran awal berlaku beberapa kali. 

    Selalunya doktor akan mengesyorkan setiap pasangan untuk menunggu sekurang-kurangnya sekitar 1 hingga 3 kitaran haid biasa sebelum mencuba hamil kembali setelah mengalami keguguran. 

    Pun begitu, satu berita yang boleh dianggap melegakan adalah anembryonic pregnancy jarang sekali berlaku lebih daripada sekali. 

    Adakah wujud komplikasi pada kehamilan akan datang?

    Sama seperti masalah keguguran biasa, tubuh dan emosi anda memerlukan masa untuk sembuh. 

    Paling penting, anda harus mengetahui bahawa kebanyakan wanita yang pernah mengalami situasi hamil kosong ini berjaya mengandung kembali tanpa sebarang masalah

    hamil kosong

    Akhir kata

    Penyebab spesifik kehamilan tanpa embrio atau blighted ovum tidak dapat diketahui. Tetapi anomali kromosom dipercayai menjadi faktor utama. 

    Mengalami masalah ini tidak bermakna ia akan berulang, malahan sebilangan besar wanita yang pernah berdepan situasi kehamilan kosong dapat melalui proses mengandung tanpa sebarang masalah. 

    Sekiranya anda mempunyai kebimbangan, berbincanglah dengan doktor mengenai kemungkinan penyebab genetik dan prosedur ujian yang boleh membantu mengelakkannya. 

    Pastikan anda juga memaklumkan jika berdepan persekitaran yang bertoksin – ia mungkin mempunyai kaitan dengan hamil kosong dan keguguran. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 14/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan