Anda mempunyai pengalaman berdepan kesukaran untuk hamil. Jadi apakah persediaan sebelum mengandung yang perlu dilakukan bagi memastikan anda mendapat kehamilan sihat?
Ikuti perkongsian artikel ini jika ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Kehamilan sihat: Persediaan sebelum mengandung
Masalah kemandulan, kesukaran untuk hamil atau keguguran pastinya sedikit sebanyak memberi impak kepada emosi anda.
Namun jika sedang merancang untuk hamil, anda perlu memastikan diri dalam keadaan sihat semaksimum mungkin. Ini penting bagi meningkatkan peluang untuk memiliki zuriat.
Berikut Hello Doktor kongsikan beberapa tip untuk membantu meningkatkan tahap kesuburan anda dan mendapatkan kehamilan yang sihat.
Pengambilan air
Ketika merancang kehamilan, sangat penting untuk memastikan anda mendapatkan air secukupnya – antara 8-10 cawan sehari.
Ini membantu buah pinggang untuk mengeluarkan bahan buangan daripada tubuh dan meningkatkan cecair serviks lebih berkualiti serta subur.
Persediaan sebelum mengandung #Hindari alkohol
Idea yang baik adalah untuk mengelakkan atau sekurang-kurangnya mengehadkan pengambilan alkohol kerana minuman ini boleh mengurangkan kesuburan.
Jika anda ingin mencuba untuk hamil atau sedang mengandung, elakkan alkohol sepenuhnya.
Kafein
Kafein dianggap menyekat pertumbuhan bayi yang sedang berkembang dengan menyempitkan saluran darah dan mengurangkan alirannya ke rahim.
Anda dinasihatkan untuk mengehadkan pengambilan kafein hingga di bawah 300 mg sehari, bersamaan 4 cawan kopi segera, 3 cawan kopi segar atau 6 cawan teh.
Elakkan merokok sebagai tip persediaan sebelum mengandung
Wanita yang merokok mempunyai peluang untuk hamil 40% lebih rendah berbanding dengan mereka yang tidak merokok.
Merokok juga mengurangkan jumlah sperma dan meningkatkan keabnormalan sperma pada lelaki.
Ini bermakna untuk kehamilan sihat, anda dan pasangan perlu berhenti merokok.
Baca juga:
Bersenam untuk kehamilan sihat
Wanita yang kerap bersenam cenderung untuk tidak mengalami kesan sampingan atau komplikasi kehamilan yang tidak menyelesakan seperti sakit belakang dan pergelangan kaki bengkak, kenaikan berat badan berlebihan malah lebih yakin dengan perubahan diri.
Tubuh yang sihat dan cergas juga dapat membantu melalui proses kelahiran anak dengan lebih baik.
Namun pastikan anda bersenam secara seimbang kerana jika dilakukan secara berlebihan boleh menyebabkan masalah kesuburan seperti haid tidak teratur dan kitaran anovulasi – kitaran ovulasi tidak berlaku.
Persediaan sebelum mengandung: Kurangkan stres
Ramai wanita mempunyai kebimbangan yang berlebihan mengenai kehamilan dan boleh menyukarkan peluang untuk berbadan dua.
Jadi sebaiknya, cuba untuk melepaskan tekanan dan nikmati keseronokan mencuba untuk hamil.
Hubungan seks
Untuk meningkatkan peluang anda untuk hamil, lakukan hubungan seks dengan kerap, sekurang-kurangnya 3x seminggu. Semakin kerap anda mencuba, semakin besar peluang untuk berbadan dua.
Selain itu, anda juga disarankan untuk berbaring selama 15 minit selepas seks untuk memberikan sperma ‘lebih masa’ menuju ke telur yang menunggu.
Suplemen, antara persediaan sebelum mengandung
Pengambilan suplemen yang dirumus khas sebelum kehamilan dapat membekalkan tubuh 400 mcg asid folik dan nutrien lain seperti vitamin D dan B12 – membantu menyokong keperluan nutrisi wanita yang sedang mencuba untuk hamil.
Saringan STD
Untuk mendapatkan kehamilan sihat, pastikan anda dan pasangan telah menjalani saringan penyakit kelamin (STD).
Penyakit radang pelvis adalah penyakit kelamin utama yang menular pada wanita yang tidak dirawat, jadi awas ya!
Ubatan
Sekiranya ada mengambil ubat preskripsi atau ubatan di farmasi, pastikan anda bertanyakan kepada doktor sama ada ia selamat untuk terus diambil apabila disahkan hamil.
Diet pemakanan
Penjagaan aspek pemakanan juga penting kerana ia boleh mempengaruhi ovulasi dan kesuburan anda.
Amalkan diet seimbang yang sihat semasa mencuba untuk hamil sebagai persediaan sebelum mengandung bagi membantu tubuh berada dalam keadaan optimum untuk konsepsi dan kehamilan.
Antara makanan yang disarankan pengambilannya semasa merancang kehamilan adalah:
- Sayuran berdaun hijau seperti brokoli, bijirin sarapan diperkaya, buah sitrus dan legum yang membekalkan asid folik penting untuk perkembangan tiub saraf bayi
- Bijirin sarapan diperkaya, lentil, kacang soya, buah-buahan kering dan sayuran berdaun seperti bayam adalah sumber zat besi yang hebat
- Makan makanan mengandungi lemak mono tak tepu seperti kacang tanah, badam dan gajus juga membantu meningkatkan peluang kehamilan
- Ikan, roti gandum, asparagus, bayam dan selada air dapat menyediakan zink untuk membantu mengekalkan sistem imun kuat penting bagi wanita yang sedang mencuba untuk hamil. Zink juga membantu penghasilan telur dan sperma yang sihat
- Untuk kehamilan sihat, anda juga digalakkan untuk mengambil makanan tinggi serat seperti kacang dan bijian bagi menjadikan usus sihat dan membantu membuang sisa tubuh, sekali gus meningkatkan peluang untuk mengandung
- Anda juga disarankan untuk mempertimbangkan pengambilan suplemen yang mengandungi 400 mcg asid folik dan nutrien lain – ia membantu menyokong keperluan pemakanan bagi wanita yang merancang kehamilan
Anda juga boleh mendapatkan nasihat doktor untuk mengetahui diet pemakanan yang bersesuaian dengan keadaan diri bagi meningkatkan peluang mendapatkan zuriat.
[embed-health-tool-ovulation]