backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Asid Folik: Manfaatnya Terhadap Kesuburan dan Kehamilan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 04/07/2022

    Asid Folik: Manfaatnya Terhadap Kesuburan dan Kehamilan

    Setiap pasangan suami isteri sudah pasti menginginkan kehadiran zuriat sebagai pelengkap kepada rumah tangga mereka. Disebabkan itu, pelbagai cara dan usaha akan cuba dilakukan oleh wanita yang sedang merancang untuk mengandung bagi meningkatkan peluang untuk mereka hamil. Ini termasuklah mengubah gaya hidup, pemakanan dan lain-lain. Salah satu daripadanya adalah dengan pengambilan asid folik.

    Namun begitu, benarkah asid folik boleh membantu tingkat kesuburan wanita? Ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

    Apa itu asid folik?

    Asid folik yang juga dikenali sebagai folat, ialah vitamin B-kompleks – vitamin B9. Vitamin ini amat penting untuk tubuh mencipta sel-sel baru, membina DNA baru serta membaiki DNA yang telah rosak. Folat juga diketahui dan dikenali akan peranannya dalam mencegah kecacatan kelahiran, kelahiran pramatang dan banyak lagi masalah kesihatan kelahiran yang lain.

    Pun begitu, fakta yang ramai individu tidak tahu adalah asid folik juga sebenarnya boleh membantu meningkatkan kesuburan. National Institute of Health menyarankan pengambilan kira-kira 400 mikrogram folat pada setiap hari untuk kebanyakan individu dewasa. Walau bagaimanapun, jika anda sedang dalam fasa mencuba untuk hamil, anda mungkin memerlukan dua kali ganda daripada jumlah ini, atau juga mungkin lebih.

    Benarkah ia mampu meningkatkan kesuburan wanita?

    Jika anda sedang merancang untuk mengandung, ini bermakna anda perlu mempersiapkan diri untuk lebih mudah ‘lekat’. Antara caranya untuk merealisasikan hasrat ini adalah dengan mengambil segala vitamin dan mineral yang diperlukan untuk meningkatkan peluang kehamilan. Secara kasarnya, mungkin kebanyakan wanita sudah sedia maklum akan kepentingan pengambilan folat buat wanita yang sedang hamil.

    Ada kontroversi yang mengatakan bahawa asid folik mampu membantu pasangan berkahwin untuk berjaya hamil. Ini sebenarnya masih tidak dapat dibuktikan lagi dari sudut perubatan. Mungkin sudah banyak kajian mengenainya telah dijalankan namun kepastian mengenai dakwaan ini masih belum dapat dibuktikan sepenuhnya dan kajian lanjut perlu dilakukan untuk mengetahui kesahihannya.

    Kajian-kajian berkaitan asid folik dan kesuburan

    Kaitan antara asid folik dan kesuburan banyak dipersoalkan dalam kebanyakan kajian. Terbaharu, dikatakan folat dapat membantu meningkatkan kesuburan wanita. Walau bagaimanapun, keadaan ini hanya berlaku jika pengambilan dos tinggi diambil, dan ia tidak dijamin dapat membantu wanita untuk hamil. Wanita yang mengambil paras vitamin ini yang lebih tinggi tidak semestinya dapat meningkatkan kesuburan mereka.

    Menariknya, kajian tersebut menunjukkan tahap kesuburan lebih tinggi cenderung berlaku apabila pengambilan dos tinggi vitamin ini dilakukan. Sebarang suplemen daripada 2 hingga 12.5 kali jumlah harian biasa yang disyorkan telah diambil. Asid folik pada dos yang begitu tinggi itu juga dilihat dapat menambahkan jumlah sperma lelaki sekali gus akan meningkatkan kesuburan mereka.

    Menurut kajian yang lain pula, pengkaji menyatakan wanita yang mengambil suplemen folat pada setiap hari akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk hamil. Kajian dijalankan melibatkan lebih daripada 18,000 wanita yang mengambil multivitamin – terutamanya asid folik, bagi meningkatkan kesuburan wanita.

    Dalam kajian ini, wanita yang mengambil suplemen setiap hari mempunyai 40 peratus risiko lebih rendah untuk mengalami masalah menghasilkan telur – penyebab terbesar kedua kepada ketidaksuburan wanita. Kajian tersebut melihat kepada diet wanita, sama ada mereka mengambil multivitamin dan tempoh pengambilan multivitamin tersebut. Mereka yang mengambil multivitamin, termasuklah asid folik, selama enam hari dalam masa seminggu atau lebih mempunyai 40 peratus risiko lebih rendah menghidap kegagalan ovulasi, berbanding dengan wanita yang tidak makan pil.

    Dalam kajian tersebut juga, pakar berkata kesan bermanfaat kesuburan berterusan meningkat jika seseorang wanita itu mengambil amaun tinggi asid folik. Walau bagaimanapun, had pengambilan folat harian adalah 1 mg. Menurut pakar lagi, wanita yang merancang untuk hamil disarankan untuk mengambil 400 mcg suplemen folat pada setiap hari sehinggalah tempoh 12 minggu pertama kehamilan. Saranan ini dibuat untuk mereka yang ingin mencegah kecacatan kelahiran pada bayi dalam kandungan – berbanding untuk meningkatkan peluang mereka untuk hamil.

    Pun begitu, jika anda mempunyai masalah untuk hamil, anda perlu mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum mula mengambil suplemen folat bagi mengetahui dos yang sepatutnya anda ambil. Ini kerana pengambilan vitamin ini secara berlebihan juga boleh memberikan kesan sampingan yang tidak baik buat kesihatan anda secara umum.

    Apa fungsi asid folik?

    Folat mempunyai banyak fungsi dalam tubuh badan manusia antaranya adalah dalam membantu pertumbuhan tisu dan sel berfungsi, bekerja dengan vitamin B12 dan vitamin C untuk membantu tubuh memecah, mengguna dan membuat protein baru, membantu membentuk sel darah merah serta membantu menghasilkan DNA.

    Selain itu, folat juga dapat membantu mencegah pelbagai masalah kesihatan seperti anemia, diarhea dan ulser, begitu juga kondisi yang kronik seperti strok, kanser, penyakit jantung dan gangguan neurologi. Disebabkan asid folik boleh membantu mencegah kecacatan kelahiran dan kelahiran pramatang, vitamin ini juga diketahui akan kepentingannya dalam perkembangan janin. Ia juga penting bersama-sama dengan nutrien penting lain bagi membantu seseorang individu untuk kekal sihat.

    Folat boleh didapati melalui makanan seperti sayur-sayuran hijau, buah-buahan sitrus dan banyak lagi makanan yang lain. Namun begitu, disebabkan sukar untuk mendapat cukup folat melalui makanan, ramai wanita yang sedang merancang untuk hamil perlu mendapatkan vitamin ini melalui suplemen vitamin ini. Pengambilan jumlah asid folik yang betul sebelum dan semasa hamil dapat membantu mencegah kecacatan tiub neural, termasuklah spina bifida. Malahan, pengambilan dos tinggi folat sebelum kehamilan dan semasa trimester pertama juga dapat membantu mengurangkan risiko anda mengalami keguguran.

    Apa makanan yang mengandungi asid folik?

    Paling utama, folat boleh didapati dalam sayur-sayuran hijau seperti bayam serta buah-buahan sitrus seperti oren. Selain itu, U.S. Food and Drug Administration juga telah menyatakan dan menyarankan anda untuk mengambil makanan yang mempunyai kandungan folat yang tinggi seperti berikut:

    • Bijirin
    • Kekacang
    • Roti
    • Nasi
    • Pasta

    Pun begitu, sentiasa berhubung dan berbincang dengan pakar diet anda tentang pengambilan asid folik. Ini kerana makanan yang anda ambil tersebut mungkin tidak mencukupi kandungan vitamin ini. Disebabkan itu, anda mungkin akan disarankan untuk mengambil suplemen tambahan.

    Bila perlu ambil asid folik?

    Ya, memang benar folat adalah sangat penting buat kehamilan tidak kira buat wanita yang ingin hamil mahupun wanita yang sedang hamil. Pun begitu, vitamin ini seharusnya diambil oleh wanita yang tiada keinginan atau perancangan untuk hamil sekalipun. Ini kerana kecacatan janin kebiasaannya akan terjadi semasa berusia 28 hari – usia di mana wanita itu sendiri tidak menyedari bahawa dia sedang hamil.

    Selain itu, wanita yang mempunyai berat badan berlebihan disarankan untuk mengambil lebih 400 mikrogram folat dalam sehari. Jika bayi anda yang sebelum ini mempunyai kecacatan, doktor mungkin akan menyarankan anda untuk mengambil 4,000 mikrogram folat sehari. Pastikan doktor anda peka terhadap rekod kesihatan anda dan rancang masa untuk melakukan pemeriksaan. Jika anda hamil anak kembar pula, pakar menyarankan anda untuk mengambil sekurang-kurangnya 1,000 mikrogram folat dalam sehari.

    Jika anda telah disahkan hamil, segera berhubung dan berbincang dengan pakar diet anda untuk mula mengamalkan pemakanan atau suplemen yang mengandungi asid folik. Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang kecacatan pada janin terutamanya pada trimester pertama kehamilan anda.

    Berapa banyak asid folik yang sebenarnya diperlukan?

    Pakar menyarankan anda perlu mengambil sekurang-kurangnya 400 mikrogram folat pada setiap hari untuk mengurangkan risiko bayi dalam kandungan anda mengalami kecacatan. Ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sebelum anda mencuba untuk hamil lagi.

    Dalam beberapa kes, kehamilan adalah di luar jangkaan, jadi kesemua wanita disarankan mengambil 400 mikrogram folat dalam sehari. Ada juga pakar yang menyarankan anda untuk meningkatkan pengambilan folat kepada 600 mikrogram semasa sedang hamil.

    Periksa label vitamin dan suplemen anda atau terus berjumpa doktor untuk memastikan anda telah mengambil asid folik secukupnya. Jika masih kurang, pertimbangkan untuk menukar jenama vitamin atau suplemen anda. Jika anda disarankan untuk mengambil vitamin pranatal, ia mungkin sudah memberikan anda sekurang-kurangnya 800 hingga 1,000 mikrogram folat. Namun begitu, anda masih perlu memeriksa label atau terus sahaja berjumpa doktor.

    Apa kesan jika ambil lebih dos asid folik?

    Folat tidak berbahaya jika diambil pada dos yang telah disarankan. Ini kerana vitamin ini adalah larut dalam air. Ini bermakna ia sentiasa akan keluar daripada tubuh badan melalui urin, jadi pengambilan amaun yang berlebihan tidak akan berkumpul dalam badan.

    Pun begitu, jangan mengambil lebih daripada 1,000 mikrogram folat sehari melainkan atas saranan doktor. Ia sangat penting terutamanya kepada golongan vegetarian. Golongan ini mempunyai kecenderungan kekurangan vitamin B12. Ini menyebabkan kesukaran untuk menentukan sebanyak mana vitamin ini yang perlu atau sudah diambil.

    asid folik

    Benarkah asid folik dapat membantu anda mendapatkan bayi kembar?

    Selain bermanfaat untuk kesuburan dan kehamilan wanita, terdapat satu lagi keajaiban tentang pengambilan folat ini yang tidak sangat mengejutkan, iaitu meningkatkan kemungkinan wanita untuk hamil bayi kembar. Namun begitu, sejauh manakah kebenarannya?

    Sehingga kini, terdapat beberapa kajian kecil yang menunjukkan bahawa pengambilan folat boleh meningkatkan peluang untuk kehamilan kembar. Akan tetapi, tiada mana-mana kajian besar yang mengesahkan perkara ini.

    Menurut kajian yang dilakukan di Sweden, bakal ibu yang mengambil suplemen folat cenderung untuk hamil bayi kembar. Kajian ini mungkin membuktikan bahawa vitamin ini mungkin boleh meningkatkan peluang untuk kehamilan kembar. Ahli saintis di Sweden berkata, pengambilan suplemen folat boleh menggandakan peluang untuk kehamilan kembar.

    Dr. Bengt Kallen daripada Tomblad Institute di Lund, Sweden dan pasukannya telah mengkaji kes yang melibatkan 2,569 wanita di Swedish Medical Birth Registry, yang mengambil suplemen asid folik. Kadar kelahiran kembar dalam kalangan wanita-wanita ini adalah sebanyak 2.8 peratus – iaitu kira-kira dua kali ganda daripada populasi umum masyarakat Sweden, iaitu 1.5 peratus kelahiran adalah kembar.

    Dalam laporannya, Dr. Kallen mengatakan bahawa terdapat kebarangkalian pengambilan vitamin ini mampu meningkatkan kemungkinan kadar ovulasi wanita atau implantasi lebih daripada satu telur.

    Pun begitu, terdapat perselisihan pendapat di sini. Sir John Grimley Evans dari Oxford University menegaskan bahawa ia mungkin benar dan juga mungkin tidak benar dan banyak lagi kajian perlu dibuat bagi mengetahui kesahihan kaitan antara asid folik dan kehamilan kembar.

    Jadi, kebenarannya adalah masih belum pasti kerana terdapat beberapa percanggahan pendapat. Hakikatnya, cahaya mata adalah rezeki dan kurniaan daripada Tuhan, bukan?

    asid folik

    Benarkah asid folik dapat membantu mencegah pra-eklampsia?

    Baru-baru ini, terdapat kajian yang mengaitkan asid folik dengan pra-eklampsia, iaitu komplikasi kehamilan yang biasa dialami oleh ibu hamil. Adakah perkara ini benar?

    Komplikasi kehamilan pra-eklampsia

    Pra-eklampsia adalah komplikasi serius yang dialami oleh kira-kira 5 peratus di kalangan wanita hamil. Ibu hamil akan disahkan mengalami pra-eklampsia jika tekanan darah tinggi dan protein pada air kencing, ginjal atau hati abnormal selepas 20 minggu kehamilan.

    Sekiranya pra-eklampsia tidak dirawat dengan kadar segera, ia boleh menyebabkan komplikasi yang lebih serius kepada ibu seperti kegagalan fungsi hati atau buah pinggang dan risiko masalah jantung. Ibu juga berkemungkinan untuk mendapat sawan. Pra-eklampsia juga boleh mengakibatkan plasenta tidak mendapat darah yang mencukupi, sekali gus menyebabkan bayi yang lahir kurang berat badan.

    Bagi mengelakkan pra-eklampsia, wanita hamil perlu mengurangkan pengambilan makanan bergaram, mengelakkan minuman berkafein dan mendapatkan posisi tidur yang betul seperti berbaring mengiring ke kiri bagi membolehkan pengaliran darah yang optimum. Ibu hamil perlu minum air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari, mendapatkan rehat yang mencukupi dan mengambil ubat atau suplemen tambahan yang disyorkan oleh doktor.

    Bolehkah asid folik mencegah pra-eklampsia?

    Meskipun folat diketahui sebagai vitamin super untuk wanita yang ingin hamil dan yang sedang hamil, namun terdapat kajian terbaru yang mengaitkan pengambilan folat dan komplikasi kehamilan, pra-eklampsia. Kajian terbaru ini mendapati bahawa pengambilan folat dengan dos yang tinggi sebenarnya tidak boleh melindungi wanita hamil yang berisiko tinggi daripada mendapat komplikasi pra-eklampsia.

    Dalam kajian tersebut, penyelidik mendapati bahawa suplemen folat berdos tinggi yang diambil selepas trimester pertama kehamilan, tidak berupaya mencegah pra-eklampsia dalam kalangan wanita yang berisiko tinggi. Walau bagaimanapun, pengambilan suplemen folat berdos rendah sebelum dan semasa awal kehamilan masih boleh mencegah masalah kecacatan kelahiran, seperti spina bifida, malahan ia amat disarankan untuk semua wanita.

    Pra-eklampsia ialah komplikasi kehamilan yang bukan sahaja membahayakan ibu malahan juga bayi dalam kandungan. Kajian pemerhatian sebelum ini menunjukkan bahawa terdapat kesan perlindungan berpotensi yang menunjukkan kaitan antara vitamin ini dan pra-eklampsia, namun penemuannya tidak konsisten, dan tiada panduan jelas yang menunjukkan penggunaan folat yang berdos tinggi boleh mencegah wanita hamil yang berisiko tinggi mendapat pra-eklampsia.

    Oleh itu, sepasukan penyelidik antarabangsa menjalankan ujian rawak – Ujian Klinikal Asid Folik (FACT) – untuk menilai kesan pengambilan suplemen folat berdos tinggi selepas trimester pertama pada risiko mendapat pra-eklampsia dalam kalangan wanita hamil yang sudah berisiko tinggi mendapat komplikasi ini. Ujian dijalankan kepada 2,301 wanita yang sedang hamil antara 8 dan 16 minggu pada permulaan kajian, dan mengalami sekurang-kurangnya satu faktor risiko pra-eklampsia (seperti tekanan darah tinggi sedia ada, diabetes pra-kehamilan, hamil kembar dua, mengalami pra-eklampsia pada kehamilan sebelum ini, ataupun indeks jisim tubuh 35 atau lebih). Wanita-wanita ini menerima secara rawak sama ada dos tinggi folat, 4 mg ataupun pil gula (placebo) dengan tambahan sehingga 1.1 mg asid folik sepanjang kehamilan mereka.

    Menurut Mark C. Walker, MD, dari Ottawa Hospital Research Institute di Canada, dalam penemuan kajian tersebut, sebanyak 14.8% wanita dalam kumpulan yang mengambil folat mendapat pra-eklampsia sementara pra-eklampsia dalam kalangan kumpulan placebo ialah 13.5%. Tiada bukti perbezaan antara kumpulan untuk mana-mana hasil sebaliknya lain. Oleh itu, penyelidik menyimpulkan bahawa pengambilan dos tinggi suplemen folat selepas trimester pertama tiada manfaat untuk mencegah pra-eklampsia.  

    Jadi, penyataan ini adalah tidak benar. Meskipun vitamin ini sangat bermanfaat untuk kesuburan dan kehamilan, ia tidak mampu untuk mencegah wanita daripada terkena komplikasi pra-eklampsia ini.

    Konklusi

    Konklusinya, asid folik adalah sangat penting kerana ia mendatangkan pelbagai manfaat terhadap kesuburan dan kehamilan terutamanya buat wanita. Meskipun ia masih belum dapat dibuktikan dapat mendatangkan manfaat lain seperti menggalakkan kehamilan bayi kembar atau mencegah kondisi pra-eklampsia seperti yang telah diutarakan di atas, vitamin ini masih merupakan salah satu nutrien yang perlu anda ambil.

    Oleh itu, bagi individu terutamanya wanita yang ingin hamil, sedang hamil atau juga yang sudah melahirkan, perlu mengambil folat tidak kira dalam diet pemakanan atau suplemen. Untuk mendapatkan kepastian, kesahihan dan dos yang sesuai, sila berhubung dan berbincang dengan pakar diet yang anda kenali dan percayai.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 04/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan