backup og meta

Aplikasi DLP Bantu Penghidap Diabetes Ubah Gaya Hidup Untuk Kawal Penyakit

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/03/2023

    Aplikasi DLP Bantu Penghidap Diabetes Ubah Gaya Hidup Untuk Kawal Penyakit

    Pengambilan ubat-ubatan sememangnya penting sebagai rawatan kencing manis. Tetapi berita baiknya, terdapat aplikasi yang boleh digunakan sebagai cara kawal kencing manis untuk penghidap diabetes tanpa bergantung kepada ubat sepenuhnya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan, sila dapatkannya di sini.

    Aplikasi DLP cara kawal kencing manis tanpa ubat

    Sebuah aplikasi berasaskan web telah dilancarkan yang bertujuan untuk menambahbaik hasil rawatan diabetes, di samping mengurangkan beban terhadap pesakit, keluarga mahupun sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi negara.

    Program Gaya Hidup Diabetes (Diabetes Lifestyle Programme, DLP) merupakan aplikasi menerapkan intervensi gaya hidup dalam amalan pengurusan diabetes yang utama.

    diabetes
    Aplikasi web yang boleh diakses melalui https://lifestylechange.mydlp.my/

    Menurut Pengerusi Panel Pakar DLP, Dr Zanariah Hussein “Kajian membuktikan perubahan gaya hidup dapat memberikan kesan positif selain daripada pengambilan ubatan sebagai rawatan kencing manis.”

    “Pengurusan diet, gaya hidup aktif, pemantauan gula darah secara kendiri, dan penurunan berat badan merupakan langkah asas dalam menguruskan diabetes.”

    “Kelestarian perubahan gaya hidup dan mengekalkan penurunan berat badan akan mengurangkan paras gula darah, kolesterol dan tekanan darah, serta jumlah ubat yang diperlukan. Malah dalam sesetengah kes, diabetes dapat mencapai remission!,” tambah beliau lagi.

    Perubahan gaya hidup sebagai asas cara kawal kencing manis ini sangat bermanfaat kepada pesakit sehinggakan ia disyorkan dalam garis panduan amalan klinikal tidak kira untuk individu yang belum atau telah mengambil ubat mahupun menerima rawatan insulin.

    Baca juga:

    Cara kawal kencing manis melalui 3 objektif DLP

    Tiga objektif DLP ini adalah untuk:

    1. Mengangkat profesional penjagaan kesihatan sebagai advocate atau pendukung pengurusan diabetes holistik (gaya hidup sihat & perubahan tingkah laku).
    2. Berganding tangan dengan pakar-pakar perubatan dan kesihatan bersekutu untuk membangunkan kandungan digital yang berfokuskan diet dan gaya hidup serta panduan yang praktikal.
    3. Menyatukan pihak pakar perubatan, pakar kesihatan bersekutu dan pesakit dalam satu usaha bersama untuk menguruskan Diabetes Jenis 2, disokong oleh satu sistem digital.
    cara kawal kencing manis
    Pengerusi Program Gaya Hidup Diabetes (DLP) dan Pakar Perunding Kanan Endokrinologi, Datuk Dr Zanariah Hussein

    Dr Zanariah yang juga merupakan Pakar Perunding Kanan Endokrinologi berharap, melalui aplikasi ini semua pihak menyedari bahawa perubahan gaya hidup adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan dan mendatangkan manfaat besar sebagai pilihan rawatan kencing manis tanpa ubat.

    Sebagai contoh, merancang saiz hidangan nasi, sumber protein dan sayur-sayuran berdasarkan prinsip pinggan sihat atau ‘suku-suku-separuh’ akan menjamin diet seimbang dan memenuhi keperluan pemakanan pesakit.

    Selain itu, pemilihan bijirin penuh dan makanan tinggi serat memerlukan lebih masa untuk dicerna akan membantu mengelakkan peningkatan gula darah mendadak yang lazim berlaku apabila mengambil karbohidrat diproses.

    Dari aspek aktiviti fizikal, melakukan kerja rumah atau berjalan pantas setiap hari akan membolehkan insulin, iaitu hormon yang wujud secara semula jadi dalam badan, bertindak dengan lebih berkesan untuk mengekalkan paras gula darah dalam julat sihat.

    DLP turut menggalakkan penghidap diabetes untuk melakukan pemantauan gula darah kendiri secara teratur bagi memahami corak gula darah mereka pada masa berlainan dalam sehari sebagai cara kawal kencing manis. 

    cara kawal kencing manis

    Cara tersebut membolehkan mereka melaraskan pengambilan makanan dan gaya hidup bagi mengekalkan paras gula darah dalam julat sasaran.

    MoU tanda sokong panel pakar

    DLP dilancarkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Zaliha Mustafa, yang diwakili oleh Dr Mohd Azman Yacob, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Sempena majlis pelancaran tersebut, turut diadakan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara pelbagai panel pakar yang merupakan peneraju utama DLP, iaitu:

    • Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS)
    • Persatuan Perubatan Malaysia (MMA)
    • Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA)
    • Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AFPM)
    • Persatuan Dietitian Malaysia (MDA)
    • Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES)
    cara kawal kencing manis
    Dari kanan: Presiden Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AFPM); Dr Lee Cheng Yew, Naib Presiden Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA); Dr Wong Ping Foo, Naib Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS); Prof. Dr. Muhammad Yazid Jalaludin, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan; Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Dr Mohd Azman Yacob, Pengerusi Panel Pakar Program Gaya Hidup Diabetes (DLP); Dr Zanariah Hussein, Presiden terdahulu Persatuan Perubatan Malaysia (MMA); Dr Koh Kar Chai, Presiden Persatuan Dietitian Malaysia (MDA); Prof Winnie Chee Siew Swee dan Presiden Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES); Yong Lai Mee menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Kuala Lumpur.

    MoU tersebut bertujuan menzahirkan semangat dan komitmen setiap panel pakar terlibat dalam menyokong cara kawal kencing manis ini melalui perubahan gaya hidup.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/03/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan