Bagi ibu melahirkan anak, penjagaan kesihatan sepanjang tempoh darah nifas atau puerperium adalah penting. Jika tidak, ia meningkatkan risiko masalah kesihatan. Jom fahaminya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Memahami tempoh darah nifas
Nifas atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai puerperium adalah tempoh daripada tahap akhir bersalin sehingga sebahagian besar organ ibu kembali ke keadaan prakehamilan.
Tempoh ini bermula apabila plasenta dikeluarkan daripada rahim dan berlangsung selama 6 minggu (42 hari).
Walau bagaimanapun, beberapa organ mengambil masa lebih dari 6 minggu, bahkan beberapa bulan untuk kembali kepada keadaan prakehamilan, seperti sistem urin (ureter).
Pun begitu, ada juga organ yang tidak akan kembali kepada keadaan prakehamilan seperti perineum.
Selepas bersalin, ini tempoh darah nifas segera
24 jam pertama selepas bersalin dikenali sebagai immediate puerperium dan ia adalah tahap kritikal.
Ini adalah masa di mana rahim anda harus berkontraksi dengan baik. Ia perlu untuk menghentikan pendarahan daripada tapak pelekatan plasenta.
Selain itu, tempoh ini juga merupakan permulaan penyusuan dan ikatan.
Pun begitu, dalam jangka masa ini juga boleh berlaku banyak komplikasi kelahiran yang boleh mengancam nyawa.
Ini termasuk pendarahan berlebihan yang dialami ibu melahirkan anak, kegagalan jantung dan lain-lain masalah kesihatan.
Keadan ini umumnya jarang untuk berlaku. Tetapi walaupun dengan kelahiran faraj normal, masih wujud risiko kematian kepada 1 dalam 10,000 wanita.
Risiko ini mungkin lebih tinggi kepada wanita dengan masalah kesihatan sedia ada seperti anemia, darah tinggi atau penyakit jantung.
Jika kaedah melahirkan anak adalah melalui pembedahan atau bersalin caesarean, risikonya juga semakin tinggi.
Disebabkan itu, kebanyakan ibu yang telah selamat melahirkan anak akan disaran dan dinasihatkan untuk tinggal di hospital sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam.
Tempoh puerperium awal
Tempoh darah nifas ini merujuk kepada hari ke-2 hingga 7, di mana perubahan besar berlaku bermula pada saluran faraj.
Ini mungkin juga merupakan masa penyesuaian maksimum untuk anda memahami peranan baru bergelar ‘ibu’.
Terdapat banyak perubahan kecil pada tubuh, namun perkara penting yang harus anda ketahui, seperti:
Berlaku disebabkan penyingkiran lapisan dalam rahim. Selama 4 hari pertama, terdapat pendarahan segar, seperti aliran haid yang berat.
Anda mungkin perlu menggunakan 2 tuala wanita pada satu masa, menukar 3 – 4 kali sehari.
Walau bagaimanapun, jika anda berasa sangat berat, atau terdapat gumpalan darah besar terus keluar, maklumkan segera kepada doktor.
Menjelang hari ke-5, biasanya aliran darah akan berkurangan dan mungkin lebih banyak darah berwarna coklat kekuningan. Teruskan memakai tuala wanita.
Pendarahan ini biasanya akan berhenti pada akhir minggu kedua.
Dalam masa yang sama, penjagaan kebersihan episiotomi penting bagi mengelakkan jangkitan.
Jika muncul sebarang bau busuk, maklumkan kepada doktor.
Baca juga:
Hari pertama anda mesti kencing sekurang-kurangnya 2 – 3 jam sekali, walaupun sakit pada bahagian jahitan.
Ini kerana pundi kencing boleh menjadi penuh tanpa anda sedari dan boleh menyebabkan jangkitan.
Pada minggu pertama bersalin, ibu melahirkan anak akan menyedari bahawa kekerapan kencing lebih tinggi.
Ini kerana tubuh sedang membuang lebihan air dan garam yang tersimpan sepanjang tempoh kehamilan.
2 hari pertama selepas melahirkan anak, anda mungkin tidak mempunyai pergerakan usus yang baik.
Ia dipengaruhi pelbagai faktor, antaranya anda mungkin tidak makan banyak sebelum bersalin, keletihan dan mengantuk.
Selain itu, kesakitan pada bahagian episiotomi juga boleh menjadi punca yang menyebabkannya.
Sepanjang tempoh nifas, penting untuk anda mengambil makanan tinggi serat bagi mengelakkan sembelit atau najis keras.
Pada hari pertama, anda akan mengeluarkan susu kolostrum – cecair kekuningan daripada payudara.
Menjelang hari ke-3, aliran susu akan semakin meningkat. Ia disebabkan perubahan hormon.
Jadi, pastikan proses penyusuan badan dilakukan secara berkala bagi mengelakkan payudara menjadi bengkak.
Tempoh darah nifas tidak normal bagi ibu melahirkan anak
Seorang ibu melahirkan anak berisiko mengalami abnormal puerperium. Ia melibatkan keadaan kesihatan seperti:
1. Hemorrhage
Ditakrifkan sebagai kehilangan darah yang berlebihan semasa atau selepas tahap ketiga bersalin.
Pendarahan awal selepas bersalin digambarkan berlaku dalam tempoh 24 jam pertama selepas kelahiran.
Pendarahan lewat pula kerap berlaku 1 – 2 minggu selepas melahirkan anak tetapi mungkin juga terjadi selepas minggu ke-6 bersalin.
2. Jangkitan
Pembengkakan pada dinding rahim. Punca keadaan ini biasanya disebabkan oleh bakteria normal faraj atau bakteria enterik (enteric bacteria).
-
Jangkitan saluran kencing
Urinary tract infection (UTI) ditakrifkan sebagai keradangan bakteria pada pundi kencing atau salurannya.
Patogen paling biasa adalah E coli. Semasa hamil, UTI boleh berlaku berpunca daripada kumpulan B Streptococcus.
Dalam tempoh darah nifas ini, masalah mastitis juga boleh berlaku. Ia didefinisikan sebagai keradangan kelenjar susu.
Simptom yang boleh dialami ibu adalah demam, tubuh menggigil dan bengkak pada payudara.
Jangkitan luka selepas bersalin merangkumi jangkitan pada perineum yang berkembang di tempat episiotomi serta jangkitan pada luka di perut selepas pembedahan C-Sec.
3. Septic Pelvic Thrombophlebitis
Merujuk kepada keradangan vena dengan pembentukan trombus bersama dengan demam yang tidak responsif terhadap terapi antibiotik.
4. Gangguan endokrin ketika tempoh darah nifas
Disfungsi tiroid selepas melahirkan anak boleh berlaku bila-bila masa pada tahun pertama selepas bersalin.
5. Gangguan psikiatrik
Tiga gangguan psikiatri mungkin timbul dalam tempoh nifas adalah kemurungan selepas bersalin, blues selepas bersalin dan psikosis selepas bersalin.
Kesimpulan
Selepas bersalin dan sepanjang tempoh darah nifas, khasnya, adalah waktu sangat ‘rapuh’ kepada ibu melahirkan anak. Disebabkan itu, penjagaan yang rapi diperlukan merangkumi aspek fizikal, mental serta emosi.
Jika terdapat sebarang kebimbangan, lakukan pemeriksaan doktor dengan segera.
[embed-health-tool-ovulation]