Nama lain kaedah melahirkan anak ini dikenali sebagai C-Sec, di mana bayi akan dilahirkan melalui pembukaan pada bahagian abdomen ibu dan pembedahan pada uterus untuk mengeluarkan bayi akan dilakukan.
Cara ini berasal daripada perkataan Latin, “Caedare”, yang bermaksud ‘untuk memotong’ (the cut), sebab itu ia dipanggil C-Sec.
Bagi ibu yang bakal menyambut kelahiran kembar, bersilang atau melintang mahupun bayi dengan saiz yang besar, ini merupakan antara pilihan yang terbaik.
- Cara bersalin normal selepas C-Sec
Dalam kebanyakan kes, wanita yang pernah menjalani kaedah melahirkan anak melalui pembedahan mempunyai peluang yang tipis untuk bersalin normal.
Tetapi seiring dengan kemajuan teknologi, prosedur yang dikenali sebagai VBAC, singkatan kepada Vaginal Birth After Cesarean ini menjadikan impian wanita untuk merasai pengalaman bersalin normal tercapai.
Namun, tidak semua hospital menyediakan perkhidmatan VBAC ini kerana kekurangan sumber dan tenaga untuk mengendalikan kes seperti ini.
Malahan, sebarang komplikasi atau keadaan yang dialami ketika proses kelahiran terdahulu akan menyebabkan doktor tidak menyarankan untuk teruskan prosedur bersalin ini.
- Kelahiran forcep
Kaedah kelahiran ini agak unik dan diperlukan dalam sesetengah kes melibatkan cara melahirkan anak secara normal.
Ia boleh dianggap sebagai 1 bantuan kepada prosedur bersalin normal apabila bayi yang sedang dilahirkan gagal untuk dikeluarkan sepenuhnya.
Antara penyebabnya mungkin kerana wujud halangan kecil atau ibu sudah mengalami keletihan dan kepenatan sehingga tidak berupaya menolak bayi keluar.
Dalam kes seperti itu, doktor akan menggunakan alat khas menyerupai forcep dan memasukkan secara perlahan-lahan ke dalam saluran kelahiran.
Ia akan digunakan untuk menarik kepala bayi dengan perlahan dan membawanya keluar melalui saluran faraj.

- Melahirkan anak dengan bantuan vakum
Fungsinya sama seperti kelahiran forcep, di mana ia adalah bantuan yang akan digunakan dalam kaedah melahirkan anak secara normal. Tetapi bila kaedah ini akan diperlukan?
Apabila bayi yang sedang dalam proses kelahiran berhenti bergerak di dalam saluran faraj, maka doktor akan memutuskan untuk menggunakan bantuan vakum.
1 pam vakum khas akan dimasukkan melalui saluran kepala bayi. Pada penghujung vakum mempunyai cawan lembut yang akan diletakkan pada bahagian atas kepala bayi.
Cawan lembut itu akan ‘memegang’ kepala bayi dan si manja akan dibawa keluar dengan perlahan melalui saluran faraj.
Pro dan kontra pemilihan cara bersalin
Setiap kaedah melahirkan anak mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Namun matlamat yang penting adalah bagi memastikan tahap keselamatan ibu dan bayi yang akan dilahirkan.
Sebelum memutuskan sebarang prosedur bersalin, anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat dan pandangan pakar. Semoga proses kelahiran si comel anda akan berjalan dengan lancar.