
Ubat dilarang semasa hamil merupakan salah satu pertanyaan yang sering diajukan oleh ibu mengandung.
Mungkin ramai yang sudah hafal makanan atau aktiviti yang perlu mak buyung elakkan.
Namun begitu, tahukah anda terdapat ubat yang boleh mempengaruhi kesihatan janin di dalam kandungan?
Oleh sebab itulah ibu hamil perlu peka terhadap ubat yang diambil.
Temujanji secara berkala dengan doktor perlu dipatuhi agar tahap kesihatan boleh dipantau dan sekiranya terdapat persoalan, boleh ditanyakan ketika itu.
Artikel ini akan menyenaraikan 10 jenis ubat yang perlu bakal ibu elak semasa hamil.
Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut.
Pengelasan mengikut profil keselamatan kepada ibu mengandung
Mudah untuk setiap wanita hamil keliru apabila ia berkaitan dengan ubat yang boleh atau tidak boleh diambil.
Saranan berkenaan dengannya bergantung kepada dapatan kajian semasa yang disokong oleh badan kesihatan global.
Apabila sesuatu larangan dibuat untuk elakkan pengambilan ubat tertentu, ia boleh membawa 2 maksud:
- Ubat yang diambil boleh menyebabkan kesan negatif terhadap tahap perkembangan janin.
- Dapatan kajian masih tidak mencukupi untuk membuktikan ubat tersebut selamat diambil oleh ibu hamil.
Jika ia berkaitan dengan isi nombor 2, keputusan untuk mempreskripsikan ubat terletak pada tangan doktor selepas menimbang kebaikan dan keburukan yang bakal dialami ibu hamil.
Bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan petugas kesihatan, sistem pengelasan ubat dibuat mengikut risiko kepada ibu mengandung.
Suatu ketika dahulu, Food and Drug Administration (FDA) telah memperkenalkan 5 kategori ubat berdasarkan abjad A, B, C, D dan X.
Kategori A selamat untuk digunakan manakala kategori X tidak boleh diberikan kepada ibu hamil.
Namun, pada tahun 2015, sistem pengelasan tersebut telah diubah agar ia lebih sistematik.
Usaha sebegini dianggap penting bagi menjaga kesihatan ibu mengandung di seluruh dunia.
Pun begitu, ia bukanlah satu bahan bacaan yang sesuai digunakan oleh orang awam memandangkan kandungannya kompleks dan hanya difahami oleh mereka yang mempunyai asas perubatan.
Pengambilan ubat dilarang semasa hamil tingkat risiko kecacatan kongenital
Berikut merupakan ubat berserta risikonya untuk menyebabkan kecacatan janin.
Jika anda dipreskripsikan dengan ubatan di bawah, sila rujuk dengan doktor anda.
- Chloramphenicol – Ini merupakan ubat antibiotik yang dipreskripsikan untuk merawat jangkitan. Pengambilan ubat ini semasa hamil meningkatkan risiko sindrom bayi kelabu (keadaan kesihatan yang boleh mengancam nyawa bayi).
- Levofloxacin dan ciprofloxacin – Sama seperti chloramphenicol, kedua-dua ubat ini adalah antibiotik untuk merawat jangkitan bakteria. Menurut satu kajian pada tahun 2017, pengambilan ubat ini boleh meningkatkan risiko keguguran. Ia juga boleh menyebabkan masalah pada tumbesaran tulang dan otot bayi di dalam kandungan.
- Ubat malaria primaquine – Tidak banyak kajian yang dibuat untuk melihat kepada kesan ubat primaquine terhadap ibu hamil. Namun kajian terhadap subjek haiwan menunjukkan ia boleh menyebabkan kecacatan janin.
- Sulfonamides – Lagi antibiotik. Ubat ini meningkatkan risiko keguguran dan masalah jaundis (kekuningan) pada bayi baru lahir.
- Trimethoprim – Antibiotik ini boleh menyebabkan kecacatan tiub saraf pada bayi yang sedang membesar.
- Codeine, ubat batuk – Siapa yang ketagih dengan ubat batuk tu harapnya berhentilah ambil ubat ini. Ia boleh menyebabkan simptom withdrawal pada bayi baru lahir.
- Ibuprofen, ubat tahan sakit – Selain keguguran, ubat ibuprofen boleh menyebabkan pelbagai jenis komplikasi pada bayi seperti jaundis, pendarahan, kerosakan pada dinding usus perut. Ia juga boleh menyebabkan masalah jantung pada saluran penting duktus arteriosus.
- Ubat cair darah warfarin – Selain daripada mengelakkan pembekuan darah, warfarin juga boleh menyebabkan kecacatan kongenital pada janin. Pengambilan ubat ini perlu dipantau oleh doktor.
- Clonazepam, ubat tidur – Selain daripada merawat masalah keresahan dan serangan panik, ia boleh menyebabkan simptom withdrawal pada bayi baru lahir.
- Lorazepam – Sama seperti clonazepam, ubat ini juga boleh menyebabkan masalah simptom withdrawal. Namun, skala keterukannya boleh mengancam nyawa bayi yang baru lahir.
Bagaimana jika doktor preskripsikan saya ubat yang tersenarai di atas?
Larangan berkenaan dengan pengambilan ubat yang tersenarai adalah berdasarkan kajian berkaitan.
Namun begitu, terdapat beberapa situasi yang membenarkan penggunaan ubat yang tersenarai.
Mereka yang dipreskripsikan dengan ubat yang berisiko menyebabkan komplikasi akan dipantau dengan lebih rapi.
Anda mungkin berminat:
- Ibu Hamil, Nak Mandi Pun Kena Berjaga-jaga Juga Tau, Ini 23 Benda PENTING Perlu Ambil Tahu
- Nutrisi Dah Cukup Jika Ibu Hamil Makan Vitamin Pranatal, Betul Ke? Ini Yang Anda Patut Tahu
Kesan positif ubat yang diberikan perlu ditimbang tara dengan risiko komplikasi yang dialami oleh ibu hamil.
Sebagai contoh, sekiranya anda terkena jangkitan dan tiada satu pun antibiotik yang berkesan (atau anda alergi) melainkan apa yang disenaraikan di atas, situasi tersebut adalah lebih klinikal.
Ini bermakna, pemberian ubat tersebut dibuat atas dasar untuk menyelamatkan nyawa ibu dan dalam masa yang sama meminimumkan risiko ke atas janin.
Oleh sebab itulah penting bagi anda untuk menuruti nasihat doktor yang merawat.
Konklusi
Pemberian ubat dilarang semasa hamil adalah berdasarkan kepada keadaan klinikal pesakit.
Namun, alternatif yang lebih selamat biasanya akan digunakan untuk meminimumkan kesan negatif terhadap ibu dan janin.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Baca juga:
- Nutrisi Dah Cukup Jika Ibu Hamil Makan Vitamin Pranatal, Betul Ke? Ini Yang Anda Patut Tahu
- Bukan Semua Vitamin Ibu Hamil Boleh Ambil, Ini 2 Jenis Yang Perlu DIELAKKAN!
- Pil Perancang Keluarga Bukan Untuk Elak Kehamilan Saja, Tapi Ini 7 Kebaikannya Yang Lain!
- Ibu Hamil Alami Stres Melampau, Adakah Ubat Antidepresi Beri Kesan Kepada Bayi Dalam Kandungan?
- Ubat Kesuburan: Hormon Suntikan Dan Clomid – Apa Kita Perlu Tahu Tentangnya?