Banyak tanda-tanda awal kehamilan sebelum lewat haid yang boleh anda perhatikan untuk mengetahui diri mengandung atau tidak. Namun sudah tentu, kaedah yang paling tepat adalah dengan menggunakan kit ujian kehamilan.
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Banyak tanda-tanda awal kehamilan sebelum lewat haid yang boleh anda perhatikan untuk mengetahui diri mengandung atau tidak. Namun sudah tentu, kaedah yang paling tepat adalah dengan menggunakan kit ujian kehamilan.
Namun wujud ke tanda-tanda hamil 1 minggu sebelum haid? Secara amnya, pada waktu ini, jika berlaku kehamilan, kandungan akan berusia 3 minggu. Tetapi boleh ke nampak sebarang tanda pada tempoh ini?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Sesetengah individu tidak merasakan perbezaan pada peringkat awal, namun ada juga yang mula menyedari simptomnya.
Jangan bimbang jika kalian belum merasakan sebarang perbezaan. Ini kerana walaupun pada usia kehamilan 5 minggu, hanya separuh wanita merasakan gejala kehamilan.
Jika anda mengalami simptom kehamilan pada tempoh ini, ia mungkin seperti senggugut. Amnya pengalaman kehamilan 3 minggu adalah berlainan bagi setiap individu.
Baca juga:
Semasa hamil 3 minggu, gejalanya mungkin belum muncul lagi. Ini kerana kebanyakan simptom awal kehamilan disebabkan oleh hormon kehamilan dan anda mungkin belum mempunyai tahap yang sangat tinggi di dalam badan.
Namun, berikut merupakan antara tanda-tanda awal kehamilan sebelum period:
Telur yang bakal menjadi embrio telah pun sampai ke ‘rumah baharunya’. Anda mungkin akan melihat sedikit tompokan darah semasa telur yang disenyawakan masuk ke dalam lapisan rahim.
Ini adalah pendarahan implantasi – berlaku sekitar masa telur diimplan dalam rahim. Ia lebih ringan daripada haid biasa dan mungkin hanya berlangsung selama 1 hingga 3 hari.
Namun jika anda mengalami kesakitan bersama tompokan pendarahan, lakukan pemeriksaan doktor segera. Ini kerana ia boleh menjadi tanda kehamilan ektopik.
Apabila hormon kehamilan, human Chorionic Gonadotropin (hCG), mula memasuki badan, anda akan mula merasa mual atau loya teruk sehingga muntah.
Morning sickness (mabuk hamil) atau sepatutnya all-day sickness boleh berlaku tidak kira waktu dalam sehari.
Jika mengalami loya dan muntah dalam tempoh ini, usia kehamilan mungkin lebih daripada 3 minggu atau merupakan kandungan kembar.
Ini kerana bakal ibu dengan kehamilan berganda selalunya mempunyai tahap hCG lebih tinggi, kesannya anda akan mengalami gejala mual yang teruk.
Adakah bau di sekeliling anda menjadi lebih kuat berbanding sebelum ini? Ia boleh menjadi petanda bahawa diri sedang hamil!
Deria bau lebih sensitif adalah kesan sampingan kehamilan yang disebabkan oleh hormon seperti estrogen dan hCG.
Kelemahan deria baharu lebih sensitif ini? Ia boleh memburukkan lagi mabuk hamil anda. Jika itu situasi yang dialami, elakkan untuk berada di dapur dan kedai makan serta pastikan tingkap sentiasa dibuka untuk membolehkan pengudaraan lebih baik.
Hormon progesteron menenangkan otot seluruh badan, termasuklah dalam saluran penghadaman anda.
Kesan keadaan tersebut, ia memperlahankan proses penghadaman yang boleh menyebabkan gas dan kembung perut serta menimbulkan sensasi tidak selesa dalam usus anda.
Malah, dianggarkan separuh daripada wanita hamil mengalami sembelit semasa kehamilan mereka.
Untuk memastikan pergerakan usus berjalan lancar, pastikan anda kekal terhidrat dan mengambil makanan berserat tinggi seperti bijirin penuh, buah-buahan dan sayuran.
Payudara akan mula sakit dan puting mungkin menjadi gelap apabila badan mula ‘bersiap’ untuk menghasilkan susu.
Jika anda membuat catatan suhu badan, ia sepatutnya kekal tinggi pada minggu ini.
Untuk jejaki perubahan suhu, gunakan termometer badan basal dan ukur suhu sejurus selepas bangun pada waktu pagi.
Jika kitaran haid adalah lebih pendek daripada 28 hari, anda mungkin menyedari diri hamil menjelang hujung bulan ini.
Satu-satunya cara untuk mengetahui dengan pasti adalah dengan melakukan ujian kehamilan.
Jika anda mengalami beberapa tanda-tanda awal kehamilan seperti di atas, jangan lupa untuk melakukan ujian kehamilan di rumah untuk melihat ketepatan keputusannya sebelum terlewat haid.
Sekiranya ujian pertama kali yang dilakukan adalah negatif, lakukan ujian susulan dalam tempoh beberapa hari atau seminggu kemudian.
Ini kerana jumlah hormon hCG dalam badan mungkin tidak mencukupi untuk dikesan dengan segera oleh kit kehamilan pada awalnya. hCG biasanya akan meningkat dua kali ganda setiap 48 jam.
Dalam sesetengah kes seperti jika anda berisiko untuk keguguran atau mengalami kehamilan ektopik, doktor mungkin akan meminta anda untuk melakukan ujian darah.
Ujian darah boleh mengesan jumlah hCG yang lebih kecil daripada ujian air kencing, jadi anda mungkin mengetahui diri hamil lebih awal berbanding penggunaan kit kehamilan.
Sekiranya ada sebarang pertanyaan mengenai tanda-tanda hamil 1 minggu sebelum haid, berundinglah dengan doktor bagi mendapatkan lebih kepastian mengenai keadaan diri.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Disemak secara perubatan oleh
Panel Perubatan Hello Doktor
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen