backup og meta

Tengah Kira Detik Bersalin? Ini Tip Meneran Untuk Ibu, Boleh Rendahkan Risiko Koyakan!

Tengah Kira Detik Bersalin? Ini Tip Meneran Untuk Ibu, Boleh Rendahkan Risiko Koyakan!

Antara tip paling penting saat melahirkan anak adalah untuk mengetahui cara meneran yang betul.  Bagaimana? Hello Doktor akan menjelaskan melalui perkongsian artikel ini.

Baca lebih lanjut tentang Kehamilan di sini.

Mengetahui cara meneran yang betul

Selepas 9 bulan kehamilan, anda kini semakin menghampiri detik untuk bertemu dengan si manja. 

Sudah tentu ia menyebabkan anda berasa gementar mengenai proses melahirkan anak, lebih-lebih lagi jika ini kehamilan pertama.

Apabila bukaan rahim (pelebaran serviks) selesai, bermakna inilah masanya untuk membantu bayi anda melalui saluran kelahiran dengan cara meneran yang betul. 

Secara keseluruhan, kelahiran bayi biasanya memakan masa selama 30 minit hingga satu jam. 

Pun begitu, tempoh bersalin bagi kelahiran bayi kedua dan seterusnya dikatakan akan menjadi lebih cepat.

Namun hakikatnya, sama ada anak sulung, kedua atau berapa kelahiran sekali pun, proses melahirkan anak boleh menjadi sesingkat beberapa minit atau memakan masa berjam lamanya. 

Tip cara meneran yang betul

Untuk melahirkan anak, anda perlu berada dalam posisi meneran mengikut keselesaan. 

Anda juga disarankan untuk mengikuti arahan daripada pengamal perubatan mahupun jururawat di dalam bilik bersalin tersebut. 

Biasanya anda akan meneran secara berkala, iaitu 3 kali bagi setiap satu kontraksi yang dirasai atau apabila berasa seperti ada tolakan. 

Berikut terdapat 8 petua bagi cara meneran yang betul untuk dicuba:

1. Teran seolah-olah mengalami pergerakan usus

Tenangkan badan serta paha dan tekan seolah-olah anda ingin membuang air besar yang paling ‘hebat’ dalam hidup. 

Berikan tumpuan kepada proses tersebut dan teran sekuatnya. Jangan bimbang sekiranya anda mungkin terberak atau terkencing.

Ia situasi yang normal untuk berlaku dan tiada apa yang perlu dimalukan. 

Meneran tanpa teknik yang betul amat menyakitkan.
Meneran tanpa teknik yang betul amat menyakitkan.
2. Tekan dagu ke dada

Sekiranya anda duduk bersandar, pastikan dagu diletakkan ke dada untuk membantu melakukan cara meneran yang betul. 

Kedudukan ini membolehkan anda memusatkan tenaga dan usaha kepada tempat yang sepatutnya. 

3. 100% usaha dan tenaga

Apabila anda dapat meneran dengan betul bersama tenaga yang secukupnya, maka pergerakan bayi menuju ke saluran kelahiran akan bertambah cepat.

Jadi jangan berputus asa, ayuh teruskan usaha anda, wahai ibu!

4. Kekal fokus

Kekalkan kawalan dan cuba untuk elakkan daripada mengalami tekanan panik.

5. Menukar posisi

Adakalanya, apabila proses meneran yang dilakukan tidak membantu menggerakkan bayi ke saluran kelahiran, idea terbaik adalah untuk menukar posisi.

6. Percayakan kata hati

Tarik nafas sedalamnya ketika waktu kontraksi menghampiri supaya anda bersedia untuk meneran sepenuhnya. 

Apabila kontraksi memuncak, teran sekuat hati dan tenaga anda. 

Umumnya, tiada formula ajaib untuk membantu. Anda hanya perlu lakukan apa yang dirasakan secara semula jadi. 

Cuma, apabila anda terasa ingin teran, lakukan cara meneran yang betul.

7. Rehat antara kontraksi

Simpan tenaga untuk sesi meneran yang seterusnya. Proses melahirkan anak dan meneran sememangnya memerlukan dan akan menggunakan tenaga secara intensif.

8. Berhenti meneran seperti diarahkan

Pengamal perubatan yang bersama dalam bilik bersalin mungkin akan mencadangkan anda berhenti meneran bagi beberapa kontraksi berlaku.

Ia untuk membolehkan anda memperoleh kembali kekuatan.

Jika anda terasa ingin meneran pada ketika itu, gantinya dengan hembusan nafas daripada mulut.

cara meneran yang betul
Tarik nafas banyak kali ketika hendak meneran.

Proses melahirkan anak

Pastinya anda ingin mengetahui apa yang dilakukan oleh pengamal perubatan di dalam bilik bersalin, kan?

Sementara anda sibuk melakukan cara meneran yang betul, pengamal perubatan mahupun jururawat yang ada akan membantu dengan memberikan arahan dan sokongan.

Dalam masa yang sama mereka akan memantau degupan jantung bayi melalui monitor janin.

Selain itu, mereka juga akan bersiap untuk proses kelahiran bayi dengan menyediakan instrumen yang diperlukan seperti sarung tangan pembedahan dan span untuk kawasan perineum bersama antiseptik.

Fakta

Instrumen tersebut akan digunakan jika perlu melakukan prosedur episiotomi atau penggunaan pengekstrakan vakum mahupun forceps.
Apabila kepala bayi sudah keluar:
  • Jururawat akan menyedut lendir dari hidung dan mulut si kecil. Kemudian membantu mendorong bahu dan batang tubuh bayi keluar. Biasanya anda hanya perlu meneran sekali lagi untuk memudahkan proses tersebut
  • Tali pusat akan dikepit dan dipotong
  • Anda juga perlu bersedia untuk meneran sekali lagi bagi mengeluarkan plasenta
  • Bayi akan diserahkan atau diletakkan ke bahagian dada. Ini adalah masa untuk melakukan sentuhan kulit pertama dengan bayi. Kajian menunjukkan tindakan tersebut membolehkan si manja tidur lebih lama dan tenang untuk tempoh beberapa jam kemudiannya

Pengamal perubatan akan menentukan sama ada anda memerlukan jahitan pada kawasan faraj.

Jika perlu, anda akan diberikan anestetik di kawasan yang akan dijahit. 

Lakukan sebaiknya

Kini anda sudah mengetahui cara meneran tanpa koyakan yang perlu dilakukan nanti. Paling penting, jangan panik dan sentiasa bertenang. 

Jika tidak, anda akan meningkatkan risiko untuk mengalami koyakan faraj yang teruk ketika bersalin. 

Hello Doktor mendoakan semoga proses kelahiran bayi anda akan berjalan lancar.

[embed-health-tool-due-date]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Stages of labor. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/labor-and-delivery/in-depth/stages-of-labor/art-20046545. Accessed Dec 2, 2020. 
  2. Labor and birth. https://www.womenshealth.gov/pregnancy/childbirth-and-beyond/labor-and-birth. Accessed Dec 2, 2020.  
  3. Labor and birth. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1804305/Accessed Dec 2, 2020.  
  4. How to push out their babies. https://www.lamaze.org/Connecting-the-Dots/five-steps-to-teaching-students-how-to-push-out-their-babies. Accessed Dec 2, 2020.  
  5. Labor and delivery. http://www.babies.sutterhealth.org/laboranddelivery/labor/ld_push.html. Accessed Dec 2, 2020.  

 

 

Versi Terbaru

04/11/2024

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Faraj Koyak Besar Waktu Bersalin, Ibu Alami Trauma! Bagaimana Nak Atasi Rasa Trauma Kelahiran?

PENTING! Ibu Baru Bersalin Kena Pilih Seluar Dalam Yang Betul, Kalau Tak Nanti Luka Lambat Baik


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 3 minggu lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan